Terima kasih Yayasan Pahang! Sediakan peruntukan RM418k! Sebagai sumbangan Ahlan Ramadan 1446H/2025M!
Published byPenduduk Jelai gembira menerima sumbangan wang tunai yang disampaikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (dua, kiri) lebih-lebih lagi menjelang Ramadan ini.
Gembira dan bersyukur… Itulah perasaan yang dapat dilihat terpancar di wajah-wajah penduduk di 13 buah kampung sekitar Kawasan Jelai, dekat Kuala Lipis, Pahang apabila mereka menerima inisiatif dan wang tunai pada saat menjelang Ramadan yang jatuh pada 2 Mac 2025.
Prihatin dengan keadaan dan masalah rakyat, bantuan sebegini, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban untuk menampung perbelanjaan kehidupan mereka.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata, pemberian ini selaras dengan tradisi di Pahang yang sentiasa memastikan golongan yang memerlukan dapat terus dibantu.
Wakil pihak masjid dan surau juga hadir menerima sumbangan bagi membolehkan lebih banyak aktiviti keagamaan dilaksanakan sepanjang bulan mulia ini.
Bersempena Majlis Penyampaian Sumbangan Ahlan Ramadan 1446H/2025M Yayasan Pahang bagi kawasan Jelai dan Tanah Rata, yang diadakan pada 28 Februari 2025, sebanyak RM418,000 diperuntuk oleh Kerajaan Pahang melalui Yayasan Pahang (YP) untuk diagihkan.
Bantuan tersebut diberikan kepada 556 penduduk kampung membabitkan anak-anak yatim, ibu tunggal dan pesakit terlantar, manakala pusat ibadat membabitkan 18 buah masjid dan 64 surau termasuk di Tanah Rata, Cameron Highlands.
Tidak hanya rakyat yang mampu menarik nafas lega untuk membeli barangan menyambut Ramadan malahan masjid dan surau juga mendapat perhatian, dapat mengidupkan suasana Ramadan maka lebih banyak aktiviti keagamaan dapat dilaksanakan.
“Kita akan berikan bantuan wang tunai RM300 kepada 556 individu, termasuk ibu tunggal, anak yatim, dan pesakit terlantar.
“Setiap
masjid pula menerima RM5,000, manakala surau memperoleh RM2,500 sebagai dana
tambahan bagi program ibadah sepanjang bulan mulia ini.
“Dalam pada itu, tidak dilupakan sumbangan cek dan komputer riba kepada 38 penerima yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah,” katanya.
Kerajaan negeri Pahang sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat.
Selain
bantuan Ramadan, majlis itu turut menyaksikan kerajaan negeri Pahang menerima
sumbangan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Projek Pembinaan Rumah
Baiti Jannati bernilai RM100,000 setiap unit kepada tiga penduduk setempat.
Syarikat
Perumahan Negara Bhd (SPNB) turut menyalurkan Rumah Mesra Rakyat kepada 20
penerima yang bertuah.
Secara keseluruhan, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sempena Ahlan Ramadan kali ini mencecah sebanyak RM1.17 juta. - KitaReporters