Sedarlah perokok perbuatan merokok di premis makan mengganggu pengunjung lain, terutama yang ada anak kecil.

APA perasaan anda ketika sedang khusyuk menikmati makanan dan minuman di restoran atau warung, tiba-tiba ada orang lain tanpa rasa bersalah menghisap rokok? 

Marah, geram, sakit hari saling berbaur, apatah lagi jika anda sendiri bukan perokok. Tetapi untuk melepaskan geram dan marah mungkin tindakan tidak sesuai, boleh mencetuskan perbalahan, malah perkelahian.

Oleh itu cara terbaik ialah segera menghabiskan makanan dan minuman kemudian angkat kaki. Lagi pun selera makan sudah mati kerana suasana yang segar nyaman diganggu oleh kepulan asap rokok mencemarkan udara di sekitar.  



Menganggu ketenteraman awam dengan asap rokok ini bukan sahaja menjengkelkan tetapi menyalahi undang-undang. Larangan merokok di premis makanan telah diwartakan pada 1 Januari 2019. 

Mereka yang melanggar peraturan boleh dikompaun RM250 bagi kesalahan pertama. Pengurangan ditawarkan kepada RM150 jika dibayar dalam tempuh sebulan. Bagi kesalahan kali kedua, kompaun RM250 tanpa pengurangan. Kesalahan ketiga dikenakan kompuan RM350.

Pemilik premis yang melakukan kesalahan seperti membenarkan pelanggan menghisap rokok di premis, boleh dikenakan kompuan RM250 bagi kesalahan pertama dan kedua tanpa pengurangan. Bagi kesalahan kali ketiga kompuan RM350.

Aspek kesihatan dan keselesaan pengunjung premis makanan amat diutamakan. Kerana itu dilarang merokok di tempat tersebut. Lebih buruk jika dalam premis makanan itu ada kanak-kanak atau ibu mengandung yang akan lebih terkesan dengan asap rokok.


Di dalam premis makanan biasanya ada tanda peringatan 'Dilarang Merokok'. Tetapi terdapat pelanggan yang tidak mempedulikan tanda ini dan merokok tanpa rasa bersalah.


Di premis makanan biasanya ada papan tanda ‘Dilarang Merokok’. Namun bagi perokok tegar peraturan ini selalunya dipermain.

Papan tanda hanya sekadar jadi hiasan. Perokok tidak pedulikan sensiviti orang lain. Langsung tidak ambil pusing undang-undang yang dikuat kuasa.

Perokok berani kerana sedar ketika berada di premis makanan tiada pemantauan. 

Sebenarnya bukan pihak berkuasa tidak bertindak. Sering mereka menjalankan operasi bagi menguat kuasa undang-undang serta memastikan peraturan dipatuhi.

Tetapi secara jujurnya penguat kuasa, sama ada daripada Kementerian Kesihatan atau pihak berkuasa kerajaan tempatan, tentu tidak mampu untuk membuat pemantauan sepanjang masa, tujuh hari seminggu merentas 24 jam. Bayangkan entah ada berapa banyak premis makanan di seluruh negara, bandar dan luar bandar, belum lagi di tempat tertutup seperti hotel atau premis makanan eksklusif lain.

Pihak berkuat kuasa menghadapi kekangan tenaga kerja. Mereka ada kerja lain hendak dibuat, bukan hanya memantau orang menghisap rokok. Yang terdaya mereka lakukan ialah mengadakan operasi berkala.


Di premis makan jamulah selera, bukan menghisap rokok sehingga merimaskan orang lain.


Kerana itu beban memastikan larangan merokok ini dipatuhi terletak di bahu pemilik premis makanan terlibat. Mereka mesti berani menegur pelanggan yang menghisap rokok. Lebih tegas lagi ialah meminta yang degil meninggalkan premis.

Tetapi berapa ramai yang berani berbuat demikian? Pemilik premis bimbang jika mereka bersuara akan mendatangkan masalah. Tidak mustahil pelanggan terlibat mengamuk dan bertindak kasar. Jadi diamkan diri dan terima sahaja apa yang berlaku di depan mata.

Pada hemat penulis, pemilik premis yang gagal mengawal pelanggan daripada merokok memang wajar diambil tindakan dan dikompuan seperti ditetapkan. Ini kerana sebagai pemilik mereka patut tegas terhadap perlakuan yang melanggar undang-undang.

Atau pelanggan lain juga boleh menegur perokok. Jika ada yang secara berseorangan berani menegur, memang dialu-alukan. Jika tidak, lakukan ia secara kolektif sesama pelanggan. Jika ramai membantah, mungkin perokok akan mengalah.


Orang awam boleh membuat aduan mengenai merokok di premis makan kepada pihak berkuasa melalui talian ditetapkan dengan menyertakan maklumat diperlukan.


Cara lain ialah membuat aduan kepada pihak berkuasa melalui talian ‘hotline’  010-8608949 atau 03-88924530 (waktu pejabat sahaja). 

Sertakan maklumat dan gambar seperti nama dan lokasi restoran, gambar perokok sedang merokok dalam premis, waktu dan tarik dirakam dan jika tiada papan tanda larang merokok dalam premis.

Namun yang penting ialah disiplin diri mematuhi undang-undang. Jangan patuh hanya jika ada penguat kuasa. Sebaliknya jadikan ia ciri dalam kehidupan, mematuhi peraturan tanpa paksaan.

Alangkah baiknya jika kehidupan kita tidak semua dikawal oleh undang-undang tetapi atas kesedaran diri. 

Misalnya dalam isu menghisap rokok. Ramai tahu ia tidak baik untuk kesihatan. Tidak bolehkah berhenti merokok atas kerelaan sendiri? - KitaReporters

 

 

  

 

10
14
0
11
0

Copy Link: