OLEH: Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi & Nik Nurzayumie Che Mat Zailani


Bubur lambuk merupakan sejenis hidangan yang sangat popular apabila tiba bulan Ramadan. Kebiasaanya, ia dimasak secara bergotong royong lalu dijadikan menu berbuka puasa bersama atau diagih-agihkan kepada masyarakat setempat.

Tidak ingin melepaskan peluang, barisan pendidik Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Kota Masai berganding bahu bergotong royong memasak menu bubur lambuk untuk dikongsikan bersama murid-murid pendidikan khas.

Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, Jamilah Ali menyatakan bahawa program ini termasuk salah satu dari program Ihya Ramadan yang dianjurkan bersama bagi mewarnai kebersamaan antara guru dan murid di PPKI.

“Program ini adalah bertujuan bagi memupuk semangat kerjasama dalam kalangan guru dan murid untuk sama-sama kita indahkan bulan Ramadan dengan nilai kebersamaan dan keharmonian serta kasih sayang antara kita semua,” katanya.



Sepanjang bulan Ramadan, PPKI SMK Kota Masai mempersiap program-program keagamaan dalam menceritakan keindahan Ramadan kepada murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK). 

Sumbangan infak juga disempurnakan bagi meraikan pelajar yang kurang berkemampuan, sekali gus memupuk nilai saling berbagi dan berkongsi kemeriahan Aidilfitri yang menjelang.

Dalam pada itu, program ini berlangsung pada 2 April 2024 lalu bersamaan dengan Hari Kesedaran Autisme Sedunia bertemakan ‘Empowering Autistic Voices’ yang mengajak orang ramai untuk fokus pengetahuan, kesedaran dan keberdayaan golong autisme.

Barisan guru dan murid turut serta dengan memakai baju biru sebagai tanda sokongan kepada golongan autisme dan memberi kesedaran masyarakat untuk saling menghargai dan memahami golongan autisme.



Bulan Ramadan adalah bulan yang tepat untuk kita meningkatkan keimanan dan menanam nilai murni yang tinggi termasuk semangat untuk saling berkongsi rezeki dan sifat peduli antara sesama manusia.

Semoga dengan kehadiran Ramadan, akan menjadikan diri kita seorang manusia yang mempunyai nilai empati yang tinggi dan mewujudkan sifat mahmudah dalam diri untuk menjadikan kita seorang manusia yang membawa manfaat kepada orang lain. - KitaReporters


Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi ialah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (Kementerian Pendidikan Malaysia), Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Masai 81700 Pasir Gudang, Johor, Malaysia


15
11
0
18
0

Copy Link: