7 TERKANDAS DI CHENNAI RAYU DIBAWA PULANG
Published byTUJUH lelaki warga Malaysia yang terkandas di Chennai, India berikutan perintah berkurung di negara itu bermula 25 Mac 2020, merayu agar kerajaan Malaysia membawa mereka pulang ke tanah air segera. Mereka yang tiba di India pada Februari 2020 itu adalah ahli jemaah Tabligh yang berada di India untuk melawat beberapa kawasan umat Islam dan beberapa masjid. : KitaReporters
Dalam satu rakaman video yang dimuatkan dalam akaun Facebook milik salah seorang ahli jemaah bernama Ibnu Hussin, mereka berasa bimbang kemungkinan akan dipenjarakan oleh pihak berkuasa India atas kesalahan penyalahgunaan visa pelancong.
"Mungkin ini post dan video terakhir kami sebelum dipenjarakan oleh pihak polis.
"Kami telah didakwa di atas kesalahan penyalahgunaan visa, bagaimanapun, kami tak faham apa kesalahan sebenar kami.
"Dan kami telah dipaksa menandatangani surat-surat yang kami tak dijelaskan dengan baik, polis juga tidak berkomunikasi dalam bahasa Inggeris atau Melayu dengan kami, kami tak faham," katanya dalam video yang mendapat ribuan reaksi, komen dan perkongsian daripada netizen.
Hussin berkata, mereka telah diambil saringan ujian COVID-19 oleh pihak berkuasa dan diberitahu akan dibawa ke penjara Chennai.
"Kami sangat mengharapkan bantuan kerajaan Malaysia agar kami dapat dibebaskan untuk pulang ke tanah air dengan segera," katanya.
Menurutnya, pihak polis sebelum ini ada memberitahu akan membawa mereka ke pejabat Kedutaan Malaysia di Chennai tetapi mereka bimbang ia tidak berlaku.
"Kami meminta rakyat Malaysia mendoakan keselamatan kami kerana kami dapat maklumat bahawa sebelum ini ada jemaah lain dari Indonesia dan Bangladesh telah dipenjarakan," jelasnya. - KitaReporters