Terima kasih kepada Rakan-Rakan Mesra Kabin! Gerobok Makanan Taman Danau Kota tamatkan operasi!
Published byKABIN di Taman Permainan Kanak-Kanak, Taman Danau Kota, Setapak yang menjadi pusat operasi Gerobok Rezeki Taman Danau Kota.
SETIAP yang bermula akan berakhir. Namun jasa baik membantu golongon yang memerlukan tetap tersimpan dalam ingatan. Jasa bakti yang dicurah tidak mudah dilupakan.
Begitulah juga dengan Gerobok Makanan Danau Kota, Taman Danau
Kota, Setapak, Kuala Lumpur.
Gerobok yang mula beroperasi pada Jun 2021 ditutup secara rasminya pada awal November 2021 setelah berjaya mencapai matlamat ia diwujudkan.
Untuk beberapa bulan selama tempoh gerobok itu beroperasi, ia telah memberi sumbangan makanan kepada puluhan penerima yang memerlukan, terutama yang terkesan akibat tempias Covid-19 sehingga kehilangan sumber rezeki.
Operasi gerobok rezeki itu ialah setiap hari Selasa, Khamis dan Sabtu, pukul 10 pagi hingga 5 petang.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Taman Danau Kota
Menurut salah seorang ‘orang kuat’ Gerobok Makanan Danau Kota, Guli Tahir, operasi gerobok dihentikan apabila tiada lagi yang datang memohon bantuan. Pada masa sama, sumbangan daripada penderma juga bekurangan kerana permintaan sudah berkurangan.
Antara bahan makanan yang disediakan di gerobok ialah beras, telur, sadin, bihun, gula, tepung, minyak masak, kicap, biskut yang didermakan oleh penduduk Taman Danau Kota dan penyumbang luar.
ANTARA stok barang makanan di Gerobok Makanan Danau Kota ketika aktif beroperasi.
Guli memberitahu, pihaknya gembira kerana selama beroperasi di kabin taman permainan kanak-kanak Taman Danau Kota, Gerobok rezeki itu telah dapat membantu meringankan kepayahan yang ditanggung oleh mereka yang kesusahan akibat Covid-19.
Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada Rakan-Rakan Mesra Kabin yang sama-sama menjayakan operasi Gerobok Makanan atas segala usaha keras tanpa berkira tenaga dan masa bagi memastikan operasi gerobok itu berjalan lancar.
Beliau juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada para penyumbang yang membolehkan gerobok berkenaan beroperasi lancar, di samping sukarelawan yang sentiasa memberi sokongan sehingga gerobok berkenaan megah berdiri di Danau Kota.
BARANG makanan terakhir di Gerobok Rezeki yang diagih kepada penerima sebelum operasi ditutup secara rasmi.
“Kami ahli-ahli pasukan Gerobok Makanan Danau Kota sentiasa saling bekerjasama menguruskan gerobok rezeki ini sebagai pemudah cara kepada mereka yang datang memerlukan bantuan. Kami menapis yang datang bagi memastikan hanya yang layak sahaja memperoleh bantuan.
“Kami juga memantau barangan yang diagihkan untuk memastikan mereka mengambil barangan sekadar yang diperlukan dan memberi peluang kepada yang lain untuk sama-sama merasainya,” kata Guli.
Beliau menekankan, tanpa bantuan penyumbang dalam bentuk wang tunai dan barangan, Gerobok Rezeki tidak akan dapat berfungsi dengan lancar bagi mencapai matlamat membantu.
“Kepada penyumbang semua terima kasih diucapkan. Jasa anda tetap dikenang selamanya,” kata Guli. - KitaReporters
GULI TAHIR antara 'orang kuat' Gerobok Rezeki Taman Danau Kota.