Nampak garang, bengis! Tapi Namat peramah, suka ambil berat!
Published byBERKUMIS tebal dan bekerja pula sebagai pegawai penjara. Sudah tentulah orangnya garang, bengis dan sentiasa serius atau sukar didekati sesiapa pun! Namun bagi Reduan Abdullah, perwatakan Allahyarham Datuk Namat Abdullah memang jauh berbeza dengan tanggapan awal biasa oleh sesetengah orang itu. : KitaReporters
NAMAT Abdullah, bekas kapten negara yang juga pesara Jabatan Penjara Malaysia berpangkat Sub Inspektor.
Lagi kisah-kisah berkaitan Namat Abdullah:
https://kitareporters.com/search?search=namat
“Setiap kali perlawanan Piala Malaysia apabila Selangor bertandang ke Pulau Pinang, Allahyarham akan sentiasa menjemput kami makan tengah hari di rumahnya.
“Saya, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, mendiang Datuk M. Chandran dan Datuk Santokh Singh ialah antara pemain Selangor yang menyahut undangannya untuk menjamu selera di rumah kuarters tempat kerjanya. Allahyarham akan sibuk membuat persiapan awal untuk melayan tetamu jauh macam kami.
“Saya tidak pasti sama ada kuarters itu masih ada lagi atau tidak pada hari ini tetapi lokasinya seingat saya ialah berdekatan Stadium Bandaraya, Pulau Pinang - venue pertembungan kedua-dua pasukan kami,” kata Reduan, bekas rakan sepasukan Allahyarham dalam skuad negara.
REDUAN Abdullah, legenda bola sepak Selangor dan Malaysia.
Walau bagaimanapun kemesraan hubungan itu hanya bertahan di luar padang kerana sebaik sahaja wisel perlawanan Pulau Pinang-Selangor ditiup oleh pengadil, mereka akan kembali ‘bermusuh’ di tengah padang demi memastikan kejayaan pasukan masing-masing.
“Pasukan Selangor tidak beri peluang dan rasanya, kami yang kerap memenangi kebanyakan pertemuan Piala Malaysia sama ada di gelanggang sendiri, Stadium Merdeka atau Stadium Bandaraya.
“Sayangnya kami tidak pernah jumpa dalam final Piala Malaysia. Waktu Pulau Pinang muncul juara 1974, Selangor pula disekat Perak dalam separuh akhir,” katanya yang juga pemenang trofi itu sebanyak lapan kali (1973, 1975, 1976, 1978, 1979, 1981, 1982 dan 1984).
Itulah antara memori manis yang masih berlegar pada ingatan Reduan, ‘junior’ Namat apabila membuat debut dengan pasukan kebangsaan pada 1973 sehingga meraih pingat gangsa Sukan SEAP Singapura yang juga tahun sulungnya menyarung jersi Selangor.
M. Chandran (gambar kiri, atas dan bawah) menjulang Piala Malaysia sebagai jurulatih Selangor, Reduan (gambar bawah, dua dari kiri). Gambar kanan: Chandran kapten Malaysia juara Pestabola Merdeka 1973 dengan Shaharudin (kanan) dan Namat di sebelahnya.
NAMAT (duduk, kanan) bersama skuad Sukan Olimpik Munich 1972, manakala Shaharudin (berdiri, enam dari kanan).
Bek kanan skuad Sukan Olimpik Munich 1972 selain pernah bergelar kapten Malaysia dan Pulau Pinang ini meninggal dunia kira-kira pukul 5.30 petang 17 Disember 2020 pada usia 74 tahun di kediaman anaknya, Taman Larah Aman, Kamunting, Perak.
Allahyarham yang juga pesara Jabatan Penjara berpangkat Sub Inspektor, dilaporkan menghidap penyakit barah usus dan angin ahmar selain pernah menjalani pembedahan ostomy bag di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah pada 24 Mac 2020 lalu.
Allahyarham Datuk Namat Abdullah bersama isteri Datin Mahani Sulaiman.
Bersama adiknya juga penyerang handalan, Shaharudin, mereka turut menganggotai skuad pemenang pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974, juara Pestabola Merdeka 1973 dan 1974 serta Piala Raja Thailand 1972 selain meraih dua pingat perak Sukan SEAP 1971 dan 1975.
“Allahyarham peramah orangnya malah gemar mengambil berat kami pemain junior dalam pasukan negara dengan memberikan dorongan dan sokongan, sekali gus menyuntik keyakinan dalam beraksi di tengah padang,” tambah perantara Selangor dan Malaysia dari 1973 hingga 1985 ini.
Kali terakhir Allahyarham sempat diziarahi sepanjang keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan dan terlantar di katil dan hanya bergerak dengan berkerusi roda itu kata Reduan, ialah pada awal Jun 2020 lalu.
“Dalam keadaan begitu pun, ingatannya masih kuat apabila diusik dengan cerita-cerita kenangan lama dalam karier bola sepak kami,” kata Reduan, 68, kini Pengarah Teknikal pasukan Liga Super, UiTM FC. - KitaReporters
REDUAN (tengah) dan Santokh Singh antara pemain Selangor yang kerap diundang Namat makan tengah hari di rumahnya dekat Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.