Kredit foto-foto: FB Jalaluddin Alias


PANDEMIK Covid-19 terus menerus menyerang masyarakat kita tanpa mengira latar belakang, geografi dan sesiapapun.

Terkini, sebuah kampung dalam daerah Jelebu, Negeri Sembilan telah diarahkan menjalani kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana diserang virus maut ini.

Menurut maklumat tempatan memberitahu, kira-kira sebanyak 175 buah rumah atau hampir keseluruhan Kampung Lakai telah diminta untuk melakukan kuarantin kendiri selama 10 hari akibat daripada penyebaran virus maut yang berlaku dengan begitu pantas.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kuarantin


Keadaan ini memaksa bantuan keperluan asas disampaikan kepada mereka kerana tiada seorang pun dalam kalangan penghuni yang dikuarantin tersebut dibenarkan keluar dari kediaman mereka.

Antara yang tampil memberi bantuan keperluan asas untuk dimanfaatkan para ahli keluarga yang dikuarantin adalah dari Kerajaan Negeri Sembilan.

Namun demikian, timbul isu dalam media sosial tempatan yang cuba mempertikaikan tindakan wakil Kerajaan Negeri Sembilan yang dikatakan cuba "pilih kasih" dengan memilih-milih rumah untuk disalurkan bantuan.


Kredit foto: Facebook


Walaupun ia telah tular dan menjadi isu dalam media sosial, namun pihak KitaReporters masih gagal mendapatkan kesahihan cerita ini daripada masyarakat kampung tersebut.

Dalam perkembangan berbeza, Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias telah mengarahkan skuad Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Jelebu untuk turun menyalurkan bantuan keperluan asas kepada setiap rumah yang telah diarahkan untuk kuarantin.

"Dikala mereka dilanda musibah ini, Pejabat Ahli Parlimen Jelebu dan Pejabat ADUN Pertang tidak pernah berdiam diri. Walaupun ada di kalangan sekretariat dan kakitangan yang sedang menjalani kuarantin, gerak kerja menyalurkan bantuan tetap diteruskan dengan baki sekretariat yang ada.

"Petang tadi, YB Azmi (ADUN Pertang) mewakili saya, bersama-sama dengan saudara Kamarulzaman (Ketua Pemuda), Saudara Atod (SU Bahagian), Saudari Tham (Pegawai Khas) dan juga team pemuda dan sekretariat yang lain, #GerakBersama menyalurkan bantuan kepada 175 buah rumah yang sedang menjalani kuarantin. Rombongan penyaluran bantuan ini turut diiringi oleh anggota polis dari Balai Simpang Durian bagi memastikan segala SOP dipatuhi," katanya melalui satu hantaran dalam Facebook beliau.



Kredit foto: Facebook Jalaluddin Alias


Jalaluddin turut meminta maaf dan berharap sekiranya masih ada keluarga yang belum menerima sumbangan keperluan asas ini boleh terus menghubungi pejabatnya segera.

"Bantuan yang diberi ini tidaklah semewah mana, tapi diharapkan serba sedikit dapatlah membantu keluarga yang terkesan. "Sikit sama dirasa, banyak sama dikongsi". Jika ada keluarga yang pihak kami terlepas pandang, mohon segera hubungi Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jelebu. Insyaallah kami bantu," katanya lagi.



Kredit foto: Facebook Jalaluddin Alias


Semoga para wakil rakyat di setiap kawasan yang diwakili dapat terus cakna kepada nasib rakyat yang diwakili terutama semasa total lockdown (sekatan penuh pergerakan atau SPP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Kita juga berharap jiran tertangga dapat bekerjasama dan 'menjaga tepi kain orang' secara positif agar kita tidak terlepas pandang mana-mana keluarga yang terputus bekalan keperluan asas. - KitaReporters




Kredit foto: Facebook Jalaluddin Alias

3
1
0
0
1

Copy Link: