PEMINAT TAK 'READY' UNTUK "HARDTALK" SUKAN!!
Published byPERNAH ‘berguru’ malah ‘berseteru’ dengan bekas Menteri Belia dan Sukan (MBS), Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Johor. Mengakui terpengaruh dengan kepetahan pengacara Dateline Malaysia itu di kaca ntv7, Rizal Hashim juga gemar memilih untuk bertikam lidah dengannya dalam isu-isu sukan yang didakwanya hanya membazirkan duit rakyat. : KitaReporters
KHAIRY Jamaluddin Abu Bakar (kiri) bergurau mengacukan isyarat pistol kepada Rizal Hashim, pengacara bicarawara sukan Astro Arena, 'Dengan Izin'.
Bekas pemberita sukan akhbar The Malay Mail ini mengharungi dua senario itu ketika muncul pengamal media cetak pertama yang berhijrah ke dunia penyiaran sebagai pengulas dan pengacara stesen TV, Astro Arena.
“Mana-mana penyiar harus belajar dengan menonton dan mengkaji cara kerja penyiar lain.
"Saya akui saya terpengaruh dengan pengendalian dan penyampaian Azalina dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar – KJ (seorang lagi pengacara Dateline Malaysia yang turut menyandang jawatan menteri itu).
“Program yang melontarkan
soalan-soalan panas itu diadakan ketika rakyat Malaysia dicetuskan dengan
kesedaran politik susulan era reformasi (1998),” kata anak jati Kluang, Johor
yang kini bertugas dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sebagai
wartawan, Rizal mempertikaikan dasar Azalina ketika menjadi menteri seperti
berkaitan penerbitan akhbar sukan, cadangan penubuhan Pusat Latihan Prestasi
Tinggi di Brickendonbury, Hertfordshire, England dan penganjuran Piala
Juara-juara Belia (CYC).
BERSAMA Ong Kim Swee, tetamu terakhir musim keenam Dengan Izin pada 2016.
“Saya juga gemar menonton HARDtalk yang dikendalikan Stephen Sackur (hos bicarawara terbitan Perbadanan Penyiaran Britain - BBC),” katanya yang pada 2011 disandarkan harapan Astro Arena untuk mengacarakan ‘Dengan Izin’.
Namun Rizal
mendapati para penonton khususnya peminat sukan tanah air belum bersedia
menerima program HARDtalk sukan ala Malaysia itu kerana hosnya dikehendaki memotong
cakap tetamu seperti yang dikehendaki penerbit, Slamet Sazly Yakub.
“Sejujurnya, saya tidak boleh tidur lena menjelang episod pertamanya yang menampilkan Datuk Razif Sidek (bekas kapten skuad juara badminton Piala Thomas 1992).
"Saya kurang selesa dengan tanggungjawab itu dengan hanya pengalaman cetek penyiaran selain wartawan sukan.
“Slametlah yang
kerap meniupkan keyakinan dan menyalakan semangat tetapi hujahnya, tetamu akan
mengambil masa panjang jika terlalu banyak diberi ruang ‘berceloteh’ dalam
tempoh 30 minit 'Dengan Izin', tidak termasuk selingan iklan dan kata pembuka
serta penutup,” katanya.
RIZAL tidak tidur malam menjelang episod sulung 'Dengan Izin' yang mengundang Razif Sidek.
"Hos bodoh!" "Tidak tahu mengacarakan program!"
Merupakan sebahagian maklum balas penonton, namun banyak mengajar Rizal untuk terus bertahan sehingga 2016 dengan bekas jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee menjadi tetamu episod terakhir musim keenam itu.
Malah banyak
nama besar berjaya ‘disoal siasatnya’ di ‘kerusi panas’ tetamu 'Dengan Izin' seperti Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 2014 menjelang
pemilihan jawatan Presiden FAM selain KJ ketika menjadi Timbalan Presiden FAM dan MBS, Tan
Sri Annuar Musa, Tan Sri Mokhzani Mahathir, Tan Sri Nadzmi Salleh dan Datuk Seri
Ahmad Ismail.
Pernah anda terfikir
semasa kecil dan bersekolah untuk jadi seperti pengulas sukan TV ternama, Datuk
Rahim Razali, Allahyarham Datuk Hasbullah Awang, Jamaluddin Alias dan
Zulkarnain Hassan?
“Saya gemar menonton ulasan sebelum dan selepas perlawanan Datuk Rahim, Allahyarham Datuk Hasbullah, Abdullah Hasim dan Aziz Ibrahim.
"Datuk Rahim serba boleh dan serba tahu, manakala lenggok bahasa yang disulami fakta menarik menjadikan arwah Datuk Hasbullah '1 dalam 1,000'. Saya memilih Datuk Rahim sebagai ikon.
“Menjadi pengulas selari perlawanan 'live' memang mencabar malah ketika jadi stand-upper (pemberita secara
langsung di venue) sepanjang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, saya agak kekok
menyempurnakan tugasnya.
“Mengulasnya menuntut fokus, pengetahuan mendalam, cara penyampaian yang diadun
lenggok dan laras bahasa yang betul serta mengikut tempo pertandingan. Zainal Abidin Rawop masih bertahan dalam
arena ini kerana memiliki semua ciri itu.
BERSAMA anak dan anak saudara ketika bertemu Frederic Kanoute di Masjidilharam, Mekah pada 2011.
“Saya tidak takut dikecam malah dalam blog saya, ruang juga diberi untuk orang pula ‘menghentam’ saya.
"Cuma prinsip saya, kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga. Generasi yang datang kemudian nampaknya sukar meninggalkan impak yang sama.
“Lazimnya wartawan sukan akhbar dikenali masyarakat sukan sahaja dengan byline (nama penulis di atas berita), manakala capaian pengulas atau pengkritik sukan TV tentunya lebih besar.
"Dua kaedah yang berbeza namun bermatlamat yang sama iaitu berkongsi maklumat,” kata suami kepada seorang guru Bahasa Inggeris ini.
BYLINE bergambar dalam akhbar The Malay Mail ketika membuat liputan Sukan Asia Doha 2006.
Bukanlah seperti 'Faktor X' tetapi pengalaman kewartawanan akhbar ujar Rizal, “saya beruntung kerana mengumpul pengalaman itu untuk dikongsikan, malah diterjemahkan ke TV antaranya daripada penulisan berita, analisis dan penyelidikan, laporan perlawanan, wawancara serta sejarah.”
Bapa empat
cahaya mata ini sepanjang karier kewartawanan itu, sudah mengumpul ‘Grand Slam’ cap liputan antarabangsa
antaranya Sukan Asia Doha 2006, Sukan Komanwel Manchester 2002 dan Sukan
Olimpik Athens 2004 (tempat lahir temasya era moden) serta aneka Sukan SEA.
“Jika seorang wartawan am mengimpikan liputan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kemuncak wartawan sukan tentunya Olimpik.
"Kenangannya? Sesat membuat liputan pemanah negara, Mon Redee Sut Txi di Athens dan bertemu bekas pelari pecut olahraga dunia, Usain Bolt dalam sidang akhbar khas di pinggir laut Mediterranean."
BINGKISAN Rizal selaku pengarang e-majalah Arena, isu terakhir Februari 2016.
TRIVIA RIZAL HASHIM :
- Tarikh lahir 2 Ogos 1970.
- Mula menonton perlawanan bola sepak di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur - final Pestabola Merdeka 1980: Malaysia melawan Maghribi (1-2).
- Satu-satunya wakil media Malaysia terpilih mengundi anugerah pemain terbaik dunia, Ballon d’Or.
- Bertemu bekas penyerang Sevilla, Frederic Kanoute di dalam Masjidil Haram, Makkah pada 2011.
- Wartawan Berita Harian 1991-1996 dan The Malay Mail 1996-2008.
- Pemenang Anugerah Wartawan Sukan Institut Akhbar Malaysia 2005, Anugerah Penulis Bola Sepak Piala Asia AFC 2007 dan Anugerah Kewartawanan SAM 2014.
- Mesej: Dunia digital dan gajet canggih hari ini memungkinkan sesiapa menjadi pencatat dan perakam sejarah tetapi wartawan yang menyampaikan maklumat, laporan sahih dan analisis objektif berpandukan etika kewartawanan, akan sentiasa dihargai. Bezanya ialah ilmu dan pengalaman.