WALAU pun tertakluk dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menyebabkan solat berjemaah dan solat tarawih tidak dapat diadakan pada bulan Ramadan ini, Surau Al-Falah Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur tetap tidak mengabaikan tanggung jawab sosial pada bulan mulia ini. : KitaReporters

SURAU AL-FALAH, Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur.


Dalam keadaaan biasa, setiap tahun, surau Jumaat ini akan mengadakan majlis berbuka puasa dengan menyediakan juadah kepada 250 orang jemaah yang bersama-sama dinikmati pada majlis berbuka berama-ramai di surau berkenaan.

Istimewanya surau ini bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk Danau Kota dan masyarakat setempat, tetapi juga dimeriahkan oleh warga antarabangsa yang tinggal di rumah atau kondominium sekitar kawasan surau. Antaranya dari Sudah, Palestin, Yemen dan Somalia.

Namun tahun ini, kerana penguatkuasaan PKP, berbuka puasa tidak dapat diadakan di surau. 

Tetapi amalan menyediakan makanan berbuka puasa tetap dijalankan melalu Progam Dapur Al-It’am Ramadan Surau Al-Falah

Cuma kaedah pemberian dan jumlah juadah diberikan berbeza daripada amalan pada bulan-bulan Ramadan sebelum ini.

PEK makanan berbuka puasa Surau Al-Falah Danau Kota sedia untuk diagihkan kepada penerima.


PENGERUSI Surau Al-Falah Danau Kota, Zainuddin Ariffin (dua dari kiri) bersama wakil Hospital Columbia (tiga dari kiri) pada penyerahan pek berbuka puasa di surau tersebut baru-baru ini. Di kiri petugas Ghazali Katun dan kanan sekali Hamirudin.


Menurut Pengerusi Surau Al-Falah, Zainuddin Ariffin, jika dahulu makanan dinikmati di surau, kini ia disediakan dalam bungkusan atau pek. 

Konsep pengagihannya pula ialah secara ‘ambil dan pergi’ atau pick and go.

Pengedarannya adalah tertakluk kepada Garis Panduan Penyediaan sepanjang tempuh PKP yang  dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) iaitu Penguatkuasaan Pelaksanaan Aktiviti Surau.

Menurut Zainuddin, jumlah pek makanan yang disediakan pada awal Ramadan ialah 100 pek. Bagaimanapun jumlah itu kini ditambah kepada 120 pek setiap hari.

Setiap pek makanan ini yang termasuk nasi, lauk dan sayur bernilai RM8.00, selaras dengan kemampuan surau. Pembiayaan disediakan oleh pihak surau.

WAKIL penerima pek makanan berbuka puasa (berbaju hitam) bersama petugas Surau Al-Falah pada penyerahan bungkusan di surau tersebut baru-baru ini. Di kiri Ghazali Katun dan kanan Rahman Bakar.


Pek berbuka ini disediakan oleh pembekal berlainan menurut jadual, dan mereka juga merupakan jemaah surau. Antara menu ialah kari ayam, ikan goreng, ayam masak merah dan nasi beriani.

Pengagihan bermula pukul 5.30 petang setiap hari di dalam kawasan surau. 

Sasaran penerima ialah mereka yang berada dalam barisan hadapan mengekang Covid-19 seperti kakitangan hospital, asnaf, pelajar-pelajar dan anak-anak kariah Danau Kota.

“Kami meminta wakil dari hospital (Hospital Columbia berhampiran surau), dan masing-masing wakil asnaf, pelajar serta anak kariah untuk datang mengambil makanan untuk diagihkan kepada individu di bawah seliaan mereka,” kata Zainuddin.

WAKIL asnaf dari Flat Danau Kota, Setapak, Roziah Latif (kiri) menerima agihan pek berbuka puasa daripada Ahli Jawatankuasa Surau Al-Falah Danau Kota, Hamirudin (kiri) dan Basir.


Menurutnya, berdasarkan keupayaan kewangan surau dan infak daripada ahli-ahi kariah, pihak surau berharap dapat menyediakan bekalan makanan berbuka puasa ini setiap hari sehingga akhir Ramadan.

Namun buat masa ini, jumlah penyediaan akan terhad kepada 120 pek sehari. 

Jika ada pihak yang bersedia memberi infak atau menghulurkan derma kepada surau bagi tujuan ini, insya-Allah pihak surau boleh menambah pek makanan pada kadar bersesuaian.

Oleh itu, bagi orang ramai yang ingin beramal pada bulan mulia ini serta memberi bantuan, bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi Zainuddin Ariffin melalui talian 0133323444.

Mereka juga boleh menyumbang terus kepada akaun Surau Al-Falah Danau Kota dengan Bank Islam menerusi nombor akaun 12113010021501

Berdermalah untuk tujuan mulia, mudah-mudahan Allah memberi kita ganjaran yang berlipat ganda. -KitaReporters

0
0
0
0
0

Copy Link: