Berita Terkini| Bakar rumah sewa hari terakhir diarah keluar! Suspek halang bomba padam kebakaran
Published byKeadaan rumah sewa di Taman Pelangi, Johor Bharu yang dibakar oleh seorang penyewa pada hari terakhir mendiami.
SEORANG lelaki bertindak agresif dengan membakar rumah sewa pada hari terakhir dia mendiami kediaman berkenaan selain turut menghalang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memadam kebakaran di Jalan Maju 3, Taman Pelangi, Johor Bahru itu.
Dalam kejadian kira-kira pada awal pagi 30 April 2021, penyewa berusia 60-an itu membakar rumah tersebut bermula dari ruang tamu sebelum melarikan diri sehingga menyebabkan kemusnahan 80 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I, Mohd. Suhaimi Abdul Jamal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran pukul 12.10 pagi, 30 April 2021 dan bergegas ke lokasi dengan kekuatan 23 anggota menaiki lima jentera.
“Difahamkan,
penyewa bertindak membakar rumah tersebut pada hari terakhir mendiami rumah itu
setelah pemilik rumah memintanya mengosongkan kediaman. Kebakaran turut merebak
ke rumah bersebelahan yang terbakar kira-kira 10 peratus.
“Selepas menamatkan operasi jam 1.44 pagi dan dalam perjalanan pulang ke balai, kami menerima panggilan memaklumkan suspek cuba membakar rumah berkenaan sekali lagi. Anggota kemudiannya bergegas kembali semula ke lokasi.
“Suspek turut bertindak menghalang bomba memadamkan kebakaran hingga terpaksa ditahan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dipetik oleh Utusan Malaysia, 30 April 2021.
Tambah Mohd Suhaimi , kebakaran tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan suspek yang dipercayai punyai masalah kesihatan mental tinggal seorang diri, manakala anak serta isterinya berada di Singapura. - KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter