Bekas imam meninggal ketika solat jenazah! Masjid yang sama arwah bertugas, mati, disolatkan!
Published byMASJID jamek ini Allahyarham pernah bertugas sebagai Imam selama 15 tahun. - Kredit foto: Google
KEMATIAN, yang disifatkan sebagai husnul khatimah, seorang warga emas, Ahmad Bidin semasa dia bersama jemaah lain sedang mengerjakan solat jenazah pada kira-kira 11 pagi 25 Februari 2021 amat dicemburi.
``Pada mulanya dia (arwah Ahmad ) rebah ketika sedang solat jenazah, seorang pemuda dan saya papah dia, kemudian saya letakkan dia di tepi tiang di Masjid Jamek Permatang Binjai serta saya nasihatkan supaya dia tidak payah meneruskan solat itu.
``Tetapi beberapa saat selepas itu, dia bangun kemungkinan dia rasa sihat sedikit lalu mendirikan semula solat jenazah dan pada takbir rakaat keempat dia sekali lagi rebah sebelum menghembus nafas yang terakhir,’’ kata Imam masjid kampung itu di daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, Mat Desa Sulaiman, 80.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan husnul khatimah:
https://kitareporters.com/search?search=husnul+khatimah
ALLAHYARHAM Ahmad Bidin meninggal dunia ketika solat jenazah di Masjid Jamek Permatang Binjai, Penaga, Seberang Perai Utara pada 25 Februari 2021. - Kredit Foto : Ihsan Pembaca
Mat desa memberitahu demikian ketika menceritakan Ahmad yang berusia 82 tahun juga bekas iman masjid berkenaan meninggal dunia semasa mendirikan solat jenazah seorang pemuda di kampung itu yang terbunuh selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Katanya, semasa Ahmad mula sembahyang solat itu dia telah terjatuh tetapi dia sempat dipapah oleh jemaah lain sebelum diletakkan bersandar di tepi tiang di masjid itu.
Sebelum itu, Ahmad tidak mempunyai sebarang tanda bahawa dia akan pergi buat selama-lama, sebaliknya dia seperti biasa bercakap dengan jemaah lain sebelum mengerjakan solat jenazah tersebut.
``Arwah merupakan bekas Imam Masjid Jamek Permatang Binjai dan walaupun dia sekarang tidak menjawat jawatan Imam tetapi dia seperti biasa datang solat berjemaah setiap waktu.
``Di masjid ini, arwah pernah bertugas selama 15 tahun. Di masjid ini, arwah meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika solat jenazah dan di masjid ini juga, jenazahnya disolatkan,’’ katanya pada 25 Februari 2021.
DI MASJID ini arwah pernah bertugas sebagai imam, dan kemudian rebah lalu meninggal dunia dan jenazahnya disolatkan.
Kematian warga emas seperti itu sememangnya dicemburi umat Islam kerana di masjid yang sama Allahyarham bertugas, meninggal dunia dan jenazahnya disembahyangkan.
Sementara itu, isteri Ahmad, Azizah Saad, 65, berkata ketika suaminya keluar rumah kira-kira jam 8 pagi untuk pergi menguruskan serta memandikan jenazah pemuda berkenaan, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan, sebaliknya seperti biasa.
Allahyarham merupakan pesara pekerja am di Pengkalan Tentera Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, Pulau Pinang meninggalkan empat orang anak. - KitaReporters