Buku Jumpa Nanti... Di Firdaus adalah lambang kasih dan sayang Bonda Nor kepada gurunya, Prof Muhd Kamil Ibrahim dan Puan Raudzah Roslan. - Credit Foto: FB Bonda Nor


DEMI cinta, kasih sayang dan ukhuwah kerana Allah, penulis buku dakwah santai terkenal, Bonda Nor berjaya menyiapkan sebuah buku dalam tempoh sehari.

Buku yang diberi tajuk Jumpa Nanti... Di Firdaus itu merupakan koleksi catatan Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli Madlan mengenai perhubungan yang terjalin dengan Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim dan isterinya, Raudzah Roslan yang juga merupakan pasangan penulis prolifik di negara ini.

Berkonsepkan travelog dan dipenuhi gambar berwarna-warni, naskhah istimewa itu telah diserahkan oleh Bonda Nor kepada Muhd Kamil ketika majlis pelancaran buku Karya Terakhir di Kompleks Dagangan Mahkota, Kuantan, Pahang pada 18 Jun 2022 lalu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Bonda Nor

Bonda Nor bersama pasukan Akademi Bonda Nor hadir memberi sokongan dan membuat kejutan kepada Prof Kamil pada majlis pelancaran buku Karya Terakhir di Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Menurut Bonda Nor, Prof Kamil dan Kak Roza (panggilan untuk pasangan tersebut) telah dianggap sebagai guru yang telah banyak memberi tunjuk ajar tentang ilmu kehidupan kepadanya.

"Walaupun saya tidak pernah belajar secara formal dengan mengikuti kelas atau bengkel penulisan anjuran mereka, namun saya sangat menghormati kedua-dua insan hebat ini. Ada dua perkara yang menyebabkan saya tertarik dengan mereka iaitu adab dan keikhlasan dalam persahabatan. Dan kerana itulah, hubungan yang terjalin antara kami sejak tahun 2014 kekal utuh hingga ke hari ini.

"Malah, kata-kata Jumpa Nanti... Di Firdaus adalah ungkapan Prof ketika bertandang ke rumah saya di Terengganu beberapa tahun yang lalu," ujar Bonda Nor ketika ditemui di Kuantan baru-baru ini. 



Tambah beliau, penghasilan buku itu adalah projek ad hoc tanpa sebarang perancangan teliti. Meskipun berdepan sedikit cabaran untuk merealisasikannya, tetapi beliau tetap menghadapi masalah yang tiba dengan hati terbuka. Antaranya rundingan dengan pihak kilang cetakan mengenai kos cetakan, bayaran designer dan sebagainya.

"Itu tak termasuk saya perlu menyunting semula status-status lama mengenai Prof Kamil dan Kak Roza kerana menggunakan singkatan dalam penulisan. Memang ia kerja gila. Tapi mengenangkan ukhuwah yang indah kerana Allah, saya telan saja semuanya. 

"Alhamdulillah, buku ini berjaya disiapkan dan diserahkan sendiri kepada Prof pada hari pelancaran buku Karya Terakhir," jelas Bonda Nor yang hadir bersama rombongan anak didiknya dalam pasukan Akademi Bonda Nor.


Ukhuwah yang terjalin antara Bonda Nor bersama Prof Kamil dan Kak Roza adalah berlandaskan kasih sayang kerana Allah.


Sementara itu, Muhd Kamil mengakui terharu dengan hadiah buku Jumpa Nanti... Di Firdaus oleh Bonda Nor. 

Dalam satu hantaran di Facebook. beliau menulis: "Saat ini baru saya boleh mencatatkan sesuatu tentang buku hadiah Bonda Nor semalam. Ketika berseorangan di rumah. Tulisan berteraskan catatan beliau tentang saya dan Roza, hampir 10 tahun lamanya dikumpulkan dalam sebuah buku. 

"Itulah perlambangan atau simbol persahabatan kami. Ia lebih hubungan hati dengan hati kerana kami jarang bertemu. Kami - saya dan Roza - sangat menghormati Bonda Nor atas kecekalan dan keinginannya menjadi manusia terbaik dengan apa yang diusahakan.

"Yang... Bonda Nor sangat gigih. Beliau bersungguh dengan apa yang beliau mahukan." Ucapan ini sering saya nyatakan kepada Roza. Ia tersemat di hati dan menjadikan saya sering berdoa agar beliau berjaya. 

"Setiap kali mahu melancarkan buku, nama Bonda Nor pasti ada dalam senarai orang yang mahu saya jemput. Tinggal lagi, saya memerhati sama ada beliau sibuk atau dapat meluangkan. Bukan beliau, tetapi saya yang membuat keputusan. 

"Semalam (18 Jun 2022), saya tidak dapat menahan sebak. Air mata membasahi pipi. Namun saya masih boleh tersenyum, bertutur dan meraikan Bonda Nor dan pasukannya yang memberi penghormatan kepada saya. Saya kenang detik semalam dalam memori indah yang saya framekan. Terima kasih."


Bonda Nor sangat menghormati pasangan penulis prolifik ini yang tinggi adab dan keikhlasannya dalam berdakwah.

Benarlah bahawa ikatan ukhuwah yang terjalin tanpa syarat atau sebarang kepentingan peribadi mampu bertahan lama kerana ia berlandaskan keikhlasan kerana Allah.

Sementara itu, pembantu peribadi Bonda Nor, Faizah Ahmad berkongsi bahawa setiap tulisan dan catatan yang ditulis Bonda dalam buku ini banyak yang diketahuinya sebelum bergelar orang kuat wanita itu lagi.

"Sungguhlah benar, tulisan yang baik dan gambar sangat penting untuk ditulis dan dirakam. Banyak peristiwa dalam buku ini saya tahu kerana saya pembaca tegar buku Prof Kamil, tetapi saya tidak menulis posting sejak awal. Cuma beberapa tahun kebelakangan ini sahaja, baru saya menulisnya. 

"Apabila merenung jauh, saya melihat kesungguhan Bonda untuk menghasilkan dan memberikan naskhah Jumpa Nanti... Di Firdaus untuk Prof Kamil," kata Faizah yang turut dicatatkan dalam status Facebooknya. - KitaReporters


Faizah (tiga dari kiri, berkaca mata) merupakan pembaca tegar buku-buku Prof Kamil sebelum mengenali Bonda Nor.

Memetik kata-kata Bonda Nor di halaman terakhir buku ini:

"Buat guruku, Prof Muhd. Kamil Ibrahim dan Kak Roza. Terima kasih kerana mengajarkanku tentang kemanisan ukhuwah. Pada fikrah yang sealiran, pada perjuangan yang menuntut pengorbanan, kalian selalu ada. Memerhati, menegur bahkan merai. Lalu dengan adanya kalian, aku tidak berasa keseorangan, bahkan sering jadi asbab aku menumpuk ilmu dan kekuatan. Untuk kalian, aku berdoa dan memasang impian teramat tulus. Jumpa nanti... di Firdaus! Ya Allah, perkenankanlah."

Oleh kerana mendapat banyak permintaan daripada pengikutnya, Bonda Nor yang juga merupakan Pengasas Kaedah membaca Ekspres-i turut membuka tempahan buku ini agar ia dapat disebarkan lebih meluas dan lebih ramai yang mendapat manfaat daripadanya.

Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 011-23215587. Semoga kita semua mampu berhimpun dan bertemu semula di Syurga Firdaus. Allahumma Amin - KitaReporters

Buku Jumpa Nanti... Di Firdaus adalah ungkapan yang sering diucapkan oleh Prof Kamil kepada Bonda Nor apabila mengakhiri pertemuan antara mereka.

18
10
0
14
0

Copy Link: