SOS! Tolong! Rakyat mulakan Kempen Bendera Putih! Jangan malu minta bantuan! Jangan bunuh diri!
Published byRAKYAT yang kehabisan bekalan makanan diminta mengibarkan kain putih di rumah masing-masing sebagai isyarat kepada semua pihak terutama jiran-jiran terdekat agar mereka tahu penghuni rumah itu sudah kehabisan bekalan makanan.
Seorang netizen yang prihatin, Alma La Ni dalam hantaran Facebooknya semalam (Isnin, 28 Jun 2021) mencadangkan supaya keluarga yang tiada makanan supaya segera naikkan bendera putih untuk menggelakkan daripada terfikir mengambil tindakan yang akan merugikan diri sendiri.
"Tidak perlu merayu, tidak perlu malu. Hanya kibarkan kain putih. Semoga ada yang datang membantu. Biar orang sekeliling pakat gi bantu dan berikan sedikit yang termampu," katanya yang mengemukakan idea itu selepas `penat` berfikir untuk mencari bantuan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bendera
Difahamkan dia sendiri sudah keputusan bekalan dan sudah tidak ada cara lain untuk meminta bantuan kerana anak-anaknya masih kecil dan isterinya sedang mengandung.
Alma menasihatkan warga negara agar jangan mengambil tindakan yang merugikan diri dan orang tersayang. "Elakkan rasa malu, kibarkan saja kain di depan rumah, semoga Allah permudahkan urusan kita semua."
Alma La Ni membuat rayuan terbuka kepada orang ramai terutama mereka yang `ada niat` membunuh diri berikutan kehilangan kerja, rumah, kemurungan dan akhir sekali memilih bunuh diri sebagai penyelesaian segera.
"Semoga Allah jaga kita, semoga kita semua kuat, kuat iman, semangat. Ingat la org2 tesayang, mereka lagi seksa jika kita tiada," demikian kata seorang lagi warga FB Surya Sue, yang turut sedih kes bunuh diri kian menjadi-jadi sekarang.
"Jiwa kena kuat lebih-lebih lagi zaman mencabar ini. Semua ini Allah sedang menguji kita kalau kita orang Islam. Banyakkan berzikir yang menjadi makanan rohani kita," Has memberi pendapatnya.
Seorang lagi warga FB, Ramli Jamaluddin berkata "disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lama sangat, orang mula merasai tekanan emosi" dan disokong oleh seorang lagi, Noraini Ain sambil berkata, "Mau tak murung kerana asyik dalam rumah saja."
Ayang Kamel pula berpendapat apa pun masalah yang menimpa negara ini masih ada jalan lain lagi untuk selesaikan masalah, bukannya dengan membunuh diri,
Mereka berkata demikian ketika mengulas laporan berita seorang lelaki maut apabila dikatakan terjun dari tingkat 10 sebuah pangsapuri di Pulau Pinang yang menjadikan bilangan kes membunuh diri kian bertambah.
Dalam kes terbaru di Kemaman, seorang peniaga ditemui mati dalam restorannya dengan menggantungkan dirinya. Dipercayai kesan tekanan perniagaannya.
Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dalam laporan terbarunya "Kes Bunuh Diri Sedunia" pada 17 Jun 2021 lalu, menyebut dalam setiap 100 kes kematian, seorang bunuh diri.
Daripada jumlah itu, seorang bunuh diri setiap 40 saat, demikian kata Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam kenyataan akhbarnya sambil menyifatkan kes kematian akibat bunuh diri, fenomena yang tidak boleh dipandang mudah kerana berlaku sepanjang hayat manusia.
Katanya selama 20 tahun sehingga 2019 lalu, lebih 700,000 mati akibat bunuh diri sepanjang tahun dan 77 peratus kematian itu membabitkan masyarakat daripada kelas rendah dan sederhana.
Bunuh diri membabitkan 1.3 peratus kematian seluruh dunia dan ini meletakkan ia di tangga 17 punca kematian pada 2019.
"Ada pertunjuk daripada satu kematian yang berlaku dalam kalangan orang dewasa mungkin ada 20 percubaan mencabut nyawa sendiri. Hasilnya, satu benar-benar dilakukan dengan `jayanya`," katanya.
Badan itu juga menyifatkan kes bunuh diri punca utama kematian berbanding yang meninggal dunia akibat HIV, malaria atau barah payu dara. Ini juga mendorong WHO memperkenalkan beberapa langkah baru membantu negara mencegah kejadian itu dan cara merawatnya.
Dalam kalangan penduduk berusia dari 19 hingga 28 tahun, bunuh diri menjadi angka keempat kematian selain nahas jalan raya, penyakit tibi dan penderaan.
Lelaki di negara yang berpendapatan tinggi lebih ramai membunuh diri, manakala wanita pula, di negara kapita pendapatannya di bawah pendapatan sederhana. Negara paling rendah kes kematian ialah di wilayah timur laut Mediterranean.
Racun serangga menjadi 20 peratus kematian turut mendorong WHO mengharamkan penggunaan bahan itu selain mengehadkan pemilikan senjata api, mengurangkan saiz pemberian ubat-ubatan dan membina penghalang di tempat yang mempunyai risiko untuk orang terjun bangunan.
Walaupun kes kematian itu berkurangan sejak 20 tahun dengan 36 peratus dan 17% timur Mediterranean, 47% di Eropah dan 49% di Pacific Barat tetapi di Amerika Syarikat meningkat kepada 17% peratus.
Setakat ini, hanya 38 negara yang ada tindakan pencegahan terbaik termasuk Australia, Ghana, Guyana, India, Iraq, Republik Korea, Sweden dan di AS. Ini selaras dengan hasrat mencapai sasaran tiga peratus negara yang berjaya mengurangkan kes bunuh diri menjelang tahuun 2030.
WHO menggariskan empat tindakan iaitu mengehadkan akses kepada produk racun dan senjata api, pendidikan dan kempen dalam media, kemahiran membantu orang dewasa mengenal pasti masalah emosi dan mengesan peringkat awal orang yang ada niat membunuh diri.