Sama-sama bantu mereka di sekeliling kita! NGO We Listen Malaysia ajak rakyat tolong jiran!
Published byTIADA siapa boleh nafikan bahawa keadaan negara kita kini sedang teruk dibadai dengan wabak pandemik COVID-19. Disebabkan itu, ramai orang yang kalau dahulunya hidup bersederhana, kini hidup susah tak cukup makan, manakala orang susah pula lagi bertambah susah.
Pada masa sama, dalam keadaan sebegini lahirnya ramai orang berhati murni mula tampil ke hadapan untuk memberi pertolongan kepada orang perseorangan yang terkesan dan memerlukan bantuan.
Antara ramai-ramai dikalangan mereka, nama Muizz Nasruddin turut timbul selalu dalam membantu golongan susah ini telah membuatkannya diangkat sebagai duta badan bukan kerajaan (NGO) yang bernama We Listen Malaysia (We Listen My).
NGO We Listen MY sudah mula tampil membantu masyarakat di Malaysia yang tertindas sejak tahun lalu lagi.
“We Listen Malaysia cuba membantu golongan B40 & M40 yang terjejas teruk hingga hilang punca pendapatan.
“Malah baru baru ini masyarakat prihatin juga tampil dengan solidariti serta kempen mengibarkan bendera putih jika terputus bekalan makanan dan dalam serba serbi tekanan menyentuh hati saya.
“Ia jadi lambang kekuatan rakyat. Kita sama sama tolong setakat yang termampu. Bahkan misi dan visi kami di We Listen MY juga berpaksikan usaha sama untuk membantu mereka yang benar benar tertampar pada saat getir ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
NGO berkenaan juga turut risau mengenai masalah kesihatan mental yang banyak terjadi sejak kebelakangan ini yang membuatkan seseorang itu mengambil langkah pintas untuk keluar daripada masalah seperti bunuh diri.
“Soal kesihatan mental bukan perkara mainan. Kita tidak tahu sejauh mana tekanan dan pergelutan hidup mampu membuatkan manusia melakukan pelbagai perkara mengejutkan saat buntu akal fikiran dan diuji.
“Jadi sama samalah kita memainkan peranan untuk membantu mereka yang berada di sekeliling kita. Kecil atau besar bantuan itu bukan ukuran. Namun ia tetap memberi makna tersendiri kepada yang menerimanya.
“Benar tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima. Jadi saya menyeru sama samalah kita menyalurkan bantuan apa adanya. Tak semestinya dengan wang ringgit, tenaga dan idea serta masa juga amat bermakna dalam paksi membantu,” katanya.
Kredit foto: FB We Listen MY
Beliau cuba membantu membekalkan barangan keperluan asas seperti beras, telur, minyak masak dan sebagainya kepada keluarga yang terjejas dengan menggunakan modalnya sendiri pada awal-awal dia menggerakkan badan NGO tersebut.
“Kini, pihak We Listen MY menggunakan satu platform ‘payment gateway’ bagi mengumpul dana melalui ‘crowdfunding’ di mana orang ramai boleh menderma sebelum dana tersebut digunakan untuk mendapatkan bekalan. Ia seterusnya disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
“Sepanjang platform tersebut diperkenalkan, pihak kami sudah berjaya mengumpul dana sebanyak RM80,000 bagi tujuan bantuan melalui kempen yang dijalankan,” katanya.
Kempen yang dilancarkan oleh We Listen MY bermula dengan kempen #1Rumah1Ratus pada akhir tahun lalu sehinggalah yang terbaru iaitu kempen #WeListenPack yang menyasarkan golongan B40 dan M40 sebagai penerima bantuan.
We Listen MY juga turut menggalakkan orang ramai yang ingin menjadi sukarelawan dan mencurahkan idea dan menyumbang tenaga untuk menjayakan setiap kempen yang dijalankan dengan hanya menghubungi pihaknya atau boleh berkunjung ke laman media sosial untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Bagi mendapatkan maklumat lanjut, bolehlah menghubungi pihak kami melalui emel [email protected] atau di laman Twitter di @welistenMY mahupun laman Instagram @WeListenMY.
“Bersamalah kita bantu-membantu antara satu sama lain demi menjaga kebajikan rakyat kerana #KitaJagaKita dan #KitaBantuKita,” katanya. - KitaReporters