Video| The Concrete Lady of Malaysia! Wani Faizun sekolahkan netizen! Usahanya bina rumah sendirian!
Published byViral dalam media sosial dan arus perdana, kegiatan Auni Hazwani Faizun membina rumah dengan tangan sendiri turut menarik minat pemimpin masyarakat dan pihak istana untuk datang melawat ke tapak pembinaan.
Buat kerja sendiri tak ganggu sesiapa pun, muat naik dalam media sosial sebagai konten pun ada yang persoal dan komen macam-macam. Kesian tuan badan, boleh terganggu perasaan.
Penat bertukang sendirian, dikata itu dan ini pula, dahlah perempuan, ibu tunggal lagi! Terasa hati, beliau pun menjawab komen liar netizen yang merendah-rendahkan usahanya.
Guru KAFA, Auni Hazwani Faizun, 32, menjadikan kegiatan membina rumah dengan tangan sendiri sebagai konten melalui Reels dan TikTok @wanifaizun yang kemudiannya tular, sekali gus usaha gigihnya disedari dan dikagumi ramai, hatta daripada kalangan tukang pun memuji dan memberi semangat kepada beliau.
Bukan sahaja wartawan, malah pemimpin masyarakat dan pihak istana turut terpanggil untuk datang melawat.
Auni Hazwani Faizun melakukan kerja binaan sedikit demi sedikit, peringkat demi peringkat, mengikut bajet semasa yang ada. - Kredit foto: Pahang Media (Farizul Hafiz Awang)
Namun dalam ramai-ramai itu, ada segelintir mempersoal dan memperlekeh usaha wanita ini, seolah tidak mahu menerima hakikat bahawa memang dia melakukan kerja bertukang sendirian, mengikat batu, memasang tiang konkrit dan sebagainya, Sehingga kini sebahagian besar daripada dinding telah pun terdiri megah di kediamannya di Kampung Permatang Badak, Kuantan, Pahang.
Dibangun bersambung dengan bangunan sedia ada, beliau berpandukan maklumat kajian dan pembelajaran sendiri dengan merujuk internet.
Auni Hazwani memberanikan diri membina rumah mengikut setiap panduan yang dikutip, bahkan langkah yang dilakukan lebih teliti berbanding sesetengah kontraktor atau tukang yang kita upah.
Tidak hanya mampu membuat kerja mengikat batu bata, bahkan Auni Hazwani juga pandai menggunakan mesin pemotong besi. Kredit Foto - TikTok @wanifaizun
Misalnya, daripada maklumat di akaun Tik Toknya, penulis yang memang jahil ilmu dalam bidang pembinaan, baru tahu bahawa di atas permukaan tanah yang hendak didirikan bangunan perlu dihamparkan dahulu lapisan bahan kalis air sebelum diletak jaringan besi dan dituangkan simen lantai. Tujuannya untuk mengelak risiko air tanah meresap ke permukaan lantai.
Dengan melihat cara kerja Auni Hazwani, penulis baru sedar tukang yang pernah kami upah untuk membina rumah mengelat, tidak membuat langkah itu kerana kami melihat sendiri sewaktu mereka merender lantai.
Kesannya apabila dipasangkan jubin, dapat lihat, garis penampal (grout) di celah jubin bertukar daripada putih bersih kepada seolah berkarat (kotor), kini baru dapat jawapan. Mesti ada kelembapan yang meresap naik melalui celah jubin berkenaan.
Patutlah, perlu diletak lapisan kalis air sebelum dituangkan simen.
Sempat menyantuni pengikut Tiktok Auni Faizun sewaktu kunjungan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di tapak binaan.
Apa yang dibuat Auni Hazwani adalah hasil mengikut panduan panduan yang sepatutnya. Supaya tidak silap, sudah tentulah kena kaji, teliti dan mengikut semua peraturan membina demi keselamatan. Ibarat kata, 1001 hal kena ambil tahu sebelum memulakan kerja binaan, barulah yakin.
Keyakinan datang dengan maklumat yang cukup dan ia tidak datang dengan sendiri melainkan terpaksa mencari.
Dalam pada ramai mengaguminya, ada juga tersesat komen melekehkan usaha beliau, mahu tak terusik perasaan? Seolah tidak percaya dengan kemampuan Auni Hazwani membina rumah. Langsung di`sekolahkan` abang-abang yang melontarkan kata sewenangnya kepada beliau. Penjelasan beliau di sini.
Menurut Auni Hazwani, sebagai guru KAFA semua orang tahu, gaji tak seberapa, jadi beliau terpaksa buat sedikit demi sedikit. Tiada had masa.
"Ya saya buat seorang, kerja pembinaan bergantung kepada keadaan kewangan dan kesihatan," ujarnya.
Idea untuk menjadi tukang rumah muncul selepas permohonan pembiayaan bank untuk membina rumah tidak mendapat kelulusan.
“Saya bukan tukang rumah tapi sebab gaji tak lepas mana-mana pinjaman, jadi saya putuskan nak buat dan belajar sendiri setakat mana yang mampu," tegasnya yang diberi jolokan The Concrete Lady of Malaysia.
Kegigihan wanita ibu tunggal ini telah menarik perhatian beberapa pemimpin masyarakat dan kenamaan.
Bahkan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan mencemar duli ke tapak pembinaan terbabit bagi meninjau perkembangan pembinaan rumah berkenaan di samping mengurniakan sumbangan. - KitaReporters