PENINGKATAN kes penceraian, jenayah dan sumbang mahram dalam keluarga memberi isyarat betapa kemelut institusi kekeluargaan di negara ini yang semakin meruncing dan sesuatu perlu dilakukan bagi memulih dan memperbetul keadaan itu supaya kita tidak perlu menekan loceng kecemasan.

Jabatan Perangkaan Negara mencatatkan 60,000 kes penceraian pada 2023 berbanding 43,934 kes pada tahun 2022. Kajian mendapati faktor utama penceraian ialah gangguan media sosial, seksualiti dan curang, lemah dalam komunikasi, pegangan   agama dan pengurusan kewangan. 

Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman melaporkan kes sumbang mahram membabitkan bapa kandung sebanyak 169 kes dari 2019 hingga Februari 2021. 

Jumlah itu diikuti bapa tiri (155 kes), bapa saudara (100 kes) dan abang kandung, 55 kes. Akhbar tempatan turut mendedahkan suami gay turut menyumbang kepada kes penceraian. 


Sidang media Kempen Bapa Qawwam Lambang Pengorbanan di ibu pejabat ISMA di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Melihat kepada senario yang berlaku, Ikatan Muslim Malaysia (ISMA) terpanggil untuk menjalankan Kempen Bapa Qawwam bagi menyelesaikan masalah kepincangan institusi kekeluargaan.

Naib Presiden ISMA, Ustaz Muhammad Shahier Sa'min, berkata ini adalah usaha pertama pertubuhan itu bagi menjalankan tanggungjawab sebagai pertubuhan bukan kerajaan yang prihatin dengan masalah yang berlaku dalam masyarakat terutama membabitkan orang Melayu dan umat Islam. 

Beliau berkata, Qawwam bermaksud seorang suami atau bapa sebagai pemimpin keluarga, pemberi nafkah, mendidik keluarga. Inilah ciri-ciri yang dinyatakan dalam al-Quran.


Ustaz Muhammad Shahier Sa'min


"Matlamat kempen ini bagi menyampaikan mesej dan mewujudkan kesedaran kepada masyarakat, terutama golongan suami atau bapa bahawa mereka perlu ada sifat Qawwam. 

"Selain menjadi pemimpin keluarga, suami  atau bapa berperanan membentuk akidah, membina akhlak isteri dan anak-anak mereka. Menjadi bapa Qawwam adalah satu ketaatan kepada  Allah dan ia menuntut kesabaran serta pengorbanan," katanya dalam sidang media Kempen Bapa Qawwam Lambang Pengorbanan di ibu pejabat ISMA di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Kempen Bapa Qawwam akan dijalankan sepanjang bulan ini, bermula 12 Jun hingga 20 Julai 2024. Ia juga bersempena kehadiran Aidiladha yang mengangkat tema perjuangan dan pengorbanan Nabi Ibrahim serta keluarganya. 

Ustazah Dr Siti Sarah Amran,


Bagi Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM), ISMA Ustazah Dr Siti Sarah Amran, antara aktiviti yang akan dijalankan sepanjang kempen itu ialah mengedar risalah Jumaat kepada 14,000 bapa di seluruh negara yang membabitkan 46 cawangan ISMA.

Beliau berkata, beberapa siri ceramah agama di masjid dan surau akan mengangkat tema qudwah Nabi Ibrahim sebagai  contoh Bapa Qawwam. 

Kempen secara agresif akan diadakan melalui media sosial seperti kisah-kisah inspirasi bapa, perkongsian tip yang membawa mesej  “Bapa Qawwam  Lambang Pengorbanan”, penyampaian mesej Qawwam melalui Iftar kejiranan di  komuniti  cawangan seluruh negara selain menghidupkan amalan 10 Awal Zulhijjah.

"Laman Nazim di bawah BKM ISMA akan mengadakan program khusus membabitkan anak-anak dan ibu bapa selain aktiviti perkelahan, riadah dan sukan yang bertemakan “Bapaku Heroku”.

"Kami mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana badan kerajaan, swasta, komuniti atau individu bagi menjayakan kempen ini," katanya lagi. - KitaReporters


Kempen Bapa Qawwam Lambang Pengorbanan akan diadakan secara agresif melalui media sosial seperti kisah-kisah inspirasi bapa. 

_____________________________________________

14
13
0
11
0

Copy Link: