MISI Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kajang ke Medan, Indonesia pada 10-13 Januari, 2025 lalu dianggap mencapai matlamat ke arah memantapkan lagi pengurusan pusat untuk orang kurang Upaya (OKU) itu.

Kunjungan selama empat hari yang diketuai pengerusi pusat berkenaan, Azizin Zainudin, disertai 11 orang ahli jawatankuasa dan 9 orang guru itu bukan sahaja memberi peluang mereka ‘terbang’ ke Medan, Indonesia, malah lebih penting dapat memupuk ukhuwah, semangat bekerjasama dan meningkatkan motivasi diri.

Ahli jawatankuasa PPDK Kajang, Firdaus Hashim yang turut menyertai rombongan itu berkata, pendekatan sedemikian dilihat sangat berkesan dalam usaha memperkasakan semangat mereka terutama guru-guru bagi berdepan pelbagai cabaran menyantuni anak-anak OKU yang mendapat bimbingan di pusat itu. 


ROMBONGAN PPDK Kajang diketuai oleh Azizin Zainudin (duduk di tengah barisan depan) menyertai kem bina diri di Medan, Indonesia. Firdaus berdiri di kanan sekali.


“Tujuan kami ke Medan, pertamanya untuk beriadah sebagai menghargai sumbangan AJK dan guru-guru yang bekerja sepanjang tahun dalam memberi penjagaan dan bimbingan kepada anak-anak kurang upaya. 

“Kedua, ia adalah sebagai usaha mengeratkan lagi ukhuwah dalam kalangan AJK (yang juga terdiri daripada keluarga pelajar) dan guru kerana hubungan erat antara kedua-duanya sangat penting bagi memastikan PPDK dapat diurus tadbir dengan berkesan.

“Ketiga, dalam kunjungan ke Medan ini, kami berusaha meningkatkan motivasi diri masing-masing kerana sebagaimana kita maklum, menyantuni anak-anak kurang upaya adalah satu cabaran yang memerlukan semangat, kemahiran serta kesabaran yang tinggi.

“Saya sendiri mempunyai anak Istimewa yang turut mendapat pendidikan di PPDK Kajang, jadi saya sangat memahami apa yang dilalui oleh guru-guru di pusat itu. Mereka perlu sentiasa disokong serta diberikan motivasi,” kata Firdaus. 

Sepanjang empat hari di Medan, mereka berkunjung ke Brastagi, Tasik Danau Toba, Istana Maimun dan Masjid Raya Medan. 

Sesuatu yang mahu ditegaskan, segala kos bukan menggunakan dana PPDK sebaliknya melalui usaha mendapatkan tajaan dan wang poket sendiri. 

Menurut Firdaus, walaupun program di sana berjalan dalam keadaan santai namun ia bukan kunjungan kosong sebaliknya mencapai matlamat yang dirancang. 

“Kami bukan sekadar makan angin tapi program ini turut diisi dengan pelbagai aktiviti yang mengutamakan semangat bekerjasama, meningkatkan ukhuwah dan membina semangat peserta. Ia boleh dianggap sebagai kem bina diri tapi dilakukan secara santai,” katanya.


MENAIKI bot menuju ke Pulau Samosir.


PPDK adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan bertujuan menyantuni anak-anak kurang upaya dengan membimbing mereka untuk berdikari serta diberi pendidikan asas kehidupan serta sahsiah diri.

Ia didaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memperuntuk geran tahunan kepada setiap PPDK, khusus untuk membayar elaun bulanan guru dan pelatih-pelatih.

Setiap OKU yang mendapat bimbingan di pusat itu dibayar elaun bulanan sebanyak RM300 tapi RM100 dipotong oleh PPDK untuk yuran mereka sebagai kos penyelenggaraan seperti penyediaan makanan, pembelajaran dan aktiviti. 

“Untuk guru-guru pula, dulu elaun bulanan mereka adalah RM900 tapi alhamdulillah, Kerajaan Madani hari ini sudah menaikkan kepada RM1,200. Penyelia pula menerima elaun RM1,500.

“Jumlah dana disalurkan oleh JKM bergantung kepada jumlah guru dan murid sesuatu PPDK. Untuk menjalankan aktiviti, PPDK perlu mencari dana sendiri melalui tajaan badan korporat, syarikat swasta dan orang perseorangan.

“Inilah cabaran yang dihadapi AJK dalam memastikan PPDK dapat berfungsi dengan berkesan kerana kos bagi setiap aktiviti bukan sedikit,” jelas Firdaus. 


PESERTA turut mengunjungi rumah tradisional kaum Batak di Pulau Samosir.


PPDK Kajang kini menyantuni 75 orang OKU terdiri daripada pelbagai kategori yang membabitkan kanak-kanak dan dewasa. Mereka pula dikendalikan oleh 12 orang guru termasuk seorang penyelia.

PPDK Kajang adalah antara pusat asuhan orang-orang OKU terbaik di Selangor dengan mendapat penarafan empat daripada lima bintang. Ia juga pernah dinobatkan sebagai Pengurusan PPDK Terbaik Selangor pada 2020. - KitaReporters

11
14
0
13
0

Copy Link: