Menanti kemanisan Ramadan! Bulan penuh rahmat! Bulan keampunan! Mencari sinar di Raudhatus Sakinah!
Published by
RAUDHATUS Sakinah menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang bulan Ramadan. - Kredit foto: FB Raudhatus Sakinah.
“YA ALLAH, berkatilah kami dalam bulan Syaaban dan pertemukan kami dengan bulan Ramadan.”
Itulah doa yang tidak pernah kita lupakan dalam tiap solat kita yang kini berada dalam bulan Syaaban. Selain memohon keberkatan Allah pada bulan Syaaban, kita memang sangat mengharapkan Yang Maha Esa memanjangkan usia kita sehingga kita bertemu bulan Ramadan dan dapat mengerjakan ibadah puasa.
Hanya tinggal kira-kira dua minggu sebelum Ramadan 1446H (2025) menjengah. Bagi rakyat Malaysia, kita bakal mula berpuasa sama ada pada 1 Mac atau 2 Mac 2025. Namun, suasananya sudah mula terasa.
KARTIKA menceritakan pengalaman hidupnya kepada wartawan KitaReporters.
Bagi seorang penghuni Raudhatus Sakinah, Kartika (bukan nama sebenar), 17, keterujaan untuk menyambut Ramadan kali ini sudah mula dirasai dan dia benar-benar berharap Allah memanjangkan usianya sebagaimana yang sering diungkap dalam doa.
Ini adalah tahun kedua Kartika akan mengerjakan ibadah puasa di rumah perlindungan dan bimbingan itu. Dia yang ditempatkan di pusat berkenaan sejak Januari 2024 pertama kali berpuasa tanpa keluarga pada tahun 2024.
“Pertama kali berjauhan dengan keluarga, berpuasa di sini bersama penghuni lain, saya berasa agak sedih walaupun hakikatnya, semasa bebas dulupun, saya jarang berpuasa serta berbuka bersama keluarga.
“Malah, dahulu, saya tidak pernah ambil pot pun pasal puasa, cuma bezanya sepanjang Ramadan saya tidaklah makan di khalayak ramai walaupun tidak berpuasa.
“Tapi, bila masuk ke sini (Raudhatus Sakinah) barulah saya benar-benar dapat menghayati erti puasa yang sebenar malah dapat merasai kemanisannya.
"DULU, saya tidak berpuasa malah tidak solat. Saya tak kenal tikar sembahyang, tidak kenal Allah." - KARTIKA
“Sepanjang Ramadan, selain berpuasa, kami memperbanyak aktiviti membaca al-Quran. Walaupun sejujurnya saya tidak pandai membaca Quran dan masih ‘merangkak’ tapi seronok menyertai tadarus.
“Pada malam hari pula, kami solat tarawih berjemaah. Ini semua adalah pengalaman baharu kepada saya dan saya berasa benar-benar seronok. Ia secara tidak langsung menghilangkan kesedihan saya,” ujar Kartika.
Menurut Kartika, suasana sedemikian tidak pernah dilalui sepanjang hidupnya sebelum ini. Dirinya hanyut dalam keseronokan dunia sehingga tergelincir dari landasan agama.
“Dulu, saya bukan saja tidak berpuasa malah tidak solat. Saya tak kenal tikar sembahyang, tidak kenal Allah malah tidak kenal diri sendiri. Saya enjoy dengan keseronokan dunia yang melalaikan malah menjerumuskan saya kepada kehidupan tidak bermoral,” Kartika membuka cerita.
“Saya menjadi gadis liar sejak berusia 13 tahun kerana mahu bebas. Saya degil, tidak mendengar nasihat ibu bapa malah melawan dan memberontak.
“Selepas berlaku perceraian ibu bapa ketika saya masih kecil, saya berasa kurang mendapat perhatian serta kasih sayang walaupun tinggal bersama ibu. Ayah kandung saya yang sudah berkeluarga lain langsung tidak mempedulikan saya.
“Ibu saya juga berkahwin lain. Walaupun bapa tiri saya baik tapi saya tak dapat merasaikan kasih sejati seorang ayah. Ibu saya pula sibuk dengan adik dan pekerjaannya. Saya berasa diri saya lonely,” cerita Kartika.
PENGHUNI Raudhatus Sakinah gembira menyambut kedatangan Yayasan ARBA pada Ramadan tahun 2024. Kredit foto: FB Raudhatus Sakinah.
Bertitik tolak dari situlah, Kartika mula mencari jalan keluar dengan terbabit pergaulan bebas tanpa batas sehingga hilang kehormatan diri pada usia 13 tahun. Keadaan itu berlarutan sehingga berusia 16 tahun.
“Saya bersyukur Allah masih menyayangi saya dan membawa saya keluar dari jalan gelap ini. Kesedaran itu datang sendiri pada suatu hari ketika saya mengurung diri dalam bilik.
“Saya mula berfikir apa akan jadi kepada diri saya pada masa akan datang. Lelaki yang mendampingi saya datang dan pergi. Mereka hanya menggunakan saya untuk kepuasan nafsu semata-mata.
“Ketika itulah saya tekad untuk berubah. Saya memberitahu ibu dan meminta ibu mencari tempat untuk saya memulihkan diri.
“Saya bersyukur kerana hari ini saya berada di Raudhatus Sakinah. Mereka bukan sahaja membawa saya keluar daripada kegelapan malah memberi sinar kepada kehidupan saya.
“Saya benar-benar mahu berubah dan berharap Allah menerima taubat serta membimbing saya ke jalan yang lurus.
“Saya dapati rasai perubahan yang ketara pada diri saya sejak berada di Raudhatus Sakinah. Saya juga gembira kerana keluarga saya turut berubah selepas saya masuk ke sini. Saya dapat lihat perubahan itu setiap kali mereka melawat saya. Harap kami semua istiqomah,” kata Kartika lagi.
LIA ketika ditemu bual penulis.
Bagi seorang lagi penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Lia, berusia 15 tahun, Ramadan kali ini bakal memberi pengalaman pertama berpuasa di Raudhatus Sakinah.
Lia yang
baru empat bulan menjadi penghuni di situ berkata dia berasa sangat teruja
menanti kedatangan bulan mulia itu kerana ingin merasai pengalaman berpuasa
tanpa keluarga.
“Kawan-kawan sering berkongsi kegembiraan berpuasa di sini dan saya mahu merasainya. Nak kata sedih tak dapat berpuasa bersama keluarga, taklah juga kerana saya lebih teruja nak berpuasa di sini.
“Selain berpuasa dan berbuka beramai-ramai, saya ingin merasai pengalaman solat tarawih berjemaah, sesuatu yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini,” katanya.
Gadis yang berasal dari selatan tanah air itu dimasukkan ke Raudhatus Sakinah oleh keluarga yang sudah tidak mampu mengawal tingkah lakunya.
LIA teruja untuk sambut Ramadan di Raudhatus Sakinah.
Lia
mengaku, selain terbabit gejala seks bebas bersama ramai pasangan, dia juga
tidak hormat kepada ibu bapanya, degil dan sering bercakap kasar dengan mereka.
“Bila mendapat bimbingan di sini, baru saya Insaf betapa saya sudah melakukan banyak dosa termasuk kepada ibu bapa. Saya ingin menebus kesilapan saya, menjadi anak yang baik dan taat kepada perintah Allah.
“Jika sebelum ini saya tak kenal Allah SWT, tak kenal Nabi Muhammad SAW, tak solat, tak puasa malah melakukan kemaksiatan tapi Raudhatus Sakinah telah mampu membawa saya kembali ke jalan yang sebenar.
“Sekarang saya sudah solat, belajar agama dan sudah boleh membaca al-Quran pada hal sebelum masuk ke sini, Alif Ba Ta pun saya tak kenal. Begitulah jahilnya saya.
“Saya baru empat bulan di sini, masih banyak yang perlu saya belajar untuk memantapkan iman. Saya harap pengalaman pertama meraikan Ramadan di sini akan menjadikan saya hamba Allah yang lebih baik dan lebih taat kepadaNya,” ujar Lia. - KitaReporters