Masjid mempunyai banyak peranan, bukan sekadar sebagai tempat solat dan belajar agama. Dengan mempunyai pengurusan yang baik, masjid mampu menjadi institusi kebajikan yang berwibawa.

Dan perkara itulah yang dibuktikan oleh Masjid Nurul Ashri di Jalan Deresan, Caturtunggal, Depok, Sleman, Yogyakarta, Indonesia.

Beberapa bulan lalu, masjid ini tular setelah memborong sayur daripada petani ketika mengalami masalah kejatuhan harga yang teruk dan ia dijual kepada para jemaah.


Kini Masjid Nurul Ashri mengadakan jualan sayuran pada setiap pagi Jumaat dengan harga sederhana dan mendapat sambutan hebat daripada masyarakat setempat.

Penjual diminta memberi sedikit sumbangan kepada masjid hasil untung jualan.

Dan kegiatan amal terbaharu yang  dilakukan masjid itu ialah dengan membeli susu lembu daripada penternak dan penjual di daerah Boyolali yang tidak dapat menjualnya ke pusat pengumpulan susu yang mengehadkan jumlah belian. 

Ia menyebabkan sebahagian pengusaha membuat protes dengan mandi susu, memberi secara percuma dan membuang susu ke tempat pembuangan sampah.



Menurut  Pengurus Komunikasi Masjid Nurul Ashri, Faturrahman Arhaby bagi membantu pengusaha susu lembu yang terkesan dengan situasi itu, masjid itu mengambil langkah drastik.

Pengurusan masjid itu mengarah sepasukan sukarelawan pergi ke Boyolali bagi membeli susu lembu daripada penternak dan penjual susu yang terkesan.

Harga belian ialah Rp7.500 (RM2.12) seliter dan dijual kepada jemaah masjid Rp8,000 (RM2.26), Rp500 (14 sen) untuk tabung masjid.

Sebanyak 1,200 liter dibeli oleh jemaah masjid sehari dan program itu diteruskan sehingga pendapatan penternak dan penjual susu di Boyolali stabil.



Sementara itu, para penternak dan penjual susu segar sudah memberhentikan tindakan protes setelah Kementerian Pertanian Indonesia mengarahkan kilang pemproses membeli susu segar yang dijual oleh petani dan penjual susu. 

Sementara pembelian susu dari luar negara hanya dilakukan jika jumlah susu segar dalam negara tidak mencukupi.

Masjid Nurul Ashri dianggap sebagai masjid contoh dan makmur kerana mempunyai pengurusan yang baik. 

Justeru dia tidak menghadapi masalah kewangan kerana sentiasa mempunyai ramai penyumbang terdiri golongan berduit. - KitaReporters



11
11
0
10
0

Copy Link: