LUPAKAN tentang Akademi Fantasia keenam (AF6) yang memberi kenangan manis buat Muhammad Shauqi Naim Salim, 35.

Selain menyarung uniform barisan hadapan, beliau yang cukup akrab dengan panggilan Naim AF6 ini juga ketika ini menyarung uniform badutnya untuk menghiburkan sesiapa sahaja terutama kanak-kanak.

Menurut Naim yang berhijrah ke Kedah sejak 2010 atas tuntutan kerjanya itu, beliau menceburi bidang itu sejak dua tahun lepas atas dorongan keluarga untuk meraih pendapatan tambahan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan program Akademi Fantasia

 

NAIM AF6 atau Muhammad Shauqi Naim Salmi


Sebagai badut, Naim mula mengilap bakatnya dengan menghiburkan kanak-kanak di jalanan termasuk taman permainan di sekitar Alor Setar, Kedah.

Bercerita tentang pembabitan awalnya itu, kata Naim, semua bermula ketika beliau gemar memakai pakaian badut untuk menghiburkan anak-anaknya terutama ketika majlis hari lahir mereka.

“Itulah, dulu saya jadi badut hanya nak hiburkan anak-anak sahaja tetapi sampai satu ketika terfikir apa salahnya jika saya hiburkan orang lain pula. Saya mulakan di jalanan termasuk di Taman Jubli Emas di Alor Setar setiap petang.

“Selepas itu bila orang tengok saya buat persembahan dan tularkan tak sangka jadi popular. Ramai yang jemput untuk buat persembahan pada majlis mereka dari hari lahir sampai rumah terbuka,” katanya.


Kerjaya Naim AF6 sebagai badut bermula di rumah.


Bermula dari kosong, Naim tidak menafikan agak kekok beraksi sebagai badut dan membuat belon namun kerja sambilannya itu kini semakin menyeronokkan.

“Banyak yang tanya tak malu ka buat kerja macam ini lagipun saya sudah ada kerja tetap. Itulah banyak yang tak faham kepuasan hati saya bila dapat hiburkan orang terutama kanak-kanak.

“Buat belon dan bagi mereka tersenyum serta gembira itu juga satu nikmat,” cerita bapa kepada dua cahaya mata ini.

Berkenaan teknik solekan badut dan mereka belon, Naim bercerita bahawa beliau mempelajari semua itu cuma dari internet termasuk YouTube sahaja.

“Pakai kostum, bersolek tebal dan pakai rambut palsu jadi badut? Semua ini saya belajar dari YouTube sahaja termasuk seni mereka belon. Alhamdulillah selepas dua tahun saya semakin mahir,” katanya.


 

Tidak kisah beraksi di jalanan. 


Bapa kepada dua cahaya mata, Muhammad Arfa Ryan, 8, dan Nur Nara Atilla, 3, ini juga memberitahu, kerjaya sambilan itu juga mendapat sokongan daripada isteri tersayang, Nor Aida Nazira Mahamad Pauzzi, 33, yang dikahwini sejak sembilan tahun lepas.

“Alhamdulillah semua menyokong saya malah menjadi pendorong utama saya. Menjadi badut ini lebih kepada kepuasan diri sahaja terutama apabila buat persembahan di jalanan saya tidak kisah pun bayaran yang mereka bagi.

“Seikhlas mereka sahaja dan kadang-kadang saya beri percuma sahaja belon itu,” katanya yang sudah menetap di sini sejak 2010.

Menurut Naim, beliau juga masih aktif membuat persembahan jika mendapat jemputan ke majlis-majlis tertentu.

“Namun saya sebenarnya lebih suka tampil di pentas sebagai badut daripada Naim AF6 tetapi jika ada jemputan saya terima juga. Walaupun hilang dari dunia hiburan saja sebenarnya masih aktif bernyanyi dan bermain muzik untuk pancaragam,” jelasnya yang aktif dalam laman Facebooknya, Naim Naiemo.

Naim yang berasal dari Gerik, Perak menyertai Akademi Fantasi musim keenam ketika berusia 20 tahun. AF6 itu menjulang penyanyi Stacy sebagai juara. - KitaReporters


Di samping keluarga tersayang.

9
8
0
16
0

Copy Link: