Murid sekolah rendah paling tua di dunia meninggal! Pada usia 99 tahun! Idola wanita Kenya, sedunia!
Published bySEORANG warga emas Kenya yang pernah mendapat pengiktirafan dan pujian dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana kesungguhan dirinya untuk memasuki sekolah rendah bagi mendapatkan pendidikan dilaporkan meninggal dunia.
Memetik BBC, kematian pelajar sekolah rendah paling tua di dunia yang kini berusia 99 tahun itu berlaku pada 16 November 2022 lalu di kediamannya di Kenya.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan rekod-rekod dunia
Menurut cicitnya, Sammy Chepsiror, kesihatan Priscilla Sitienei dilaporkan mula merosot selepas dia menghadiri kelas pada pagi sebelum kematiannya.
Malah, wanita berusia 99 tahun bersama rakan-rakan sekelasnya yang berusia 12 tahun dikatakan sedang bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan akhir yang dijadual berlangsung minggu depan.
Kisah wanita yang dikenali dengan panggilan Gogo yang bermaksud nenek dalam bahasa Kenya pernah mendapat penghargaan pihak UNESCO sebelum ini kerana berminat untuk memasuki alam sekolah walapuan pada usia emas.
Malah kesungguhan Gogo memasuki alam persekolahan pada usia emas itu turut memberi inspirasi kepada wanita-wanita lain di negara untuk bersekolah dan mengenal huruf.
Katanya dia mahu menjadi idola kepada wanita di seluruh dunia yang pernah tercicir di alam persekolahan bahawa pembelajaran tidak perlu mengenal usia.
“Saya mahu menunjukkan contoh bukan sekadar untuk mereka bahkan gadis-gadis lain di seluruh dunia yang tercicir daripada persekolahan.
“Tanpa pendidikan, tiada bezanya diri anda dan ayam,” katanya.
Gogo yang memulakan persekolahan di Leader Vision Preparatory School pada tahun 2010 berjaya mengenal huruf selepas lima tahun kemudian pada 2015, dan mengakui sudah pandai membaca dan menulis, sesuatu yang tidak pernah dipelajarinya ketika kecil.
Malah wanita hebat itu turut bergelar bidan selama 65 tahun di kampungnya mengakui tidak pernah ponteng ke kelas sepanjang tempoh bersekolah.
Dia juga sering membantu ‘rakan-rakan’ sekelasnya yang berusia 10 hingga 14 tahun bersalin dan menggunakan khidmatnya ketika proses melahirkan anak.
Malah sepanjang usianya wanita hebat tersebut sering memujuk anak-anak kecil yang tidak berminat ke sekolah dan berkongsi kepentingan untuk mendapatkan ilmu.
“Mereka sering memberitahu saya dirinya terlalu tua untuk ke sekolah sehingga menyebabkan tidak layak untuk belajar mengenal huruf lagi,” kongsinya.
Bagaimanapun Gogo sering berkongsi pengalaman dirinya yang pembelajaran tidak mengehadkan usia dan dirinya sendiri juga memasuki alam persekolahan pada usia emas.
Malah kongsi wanita tersebut kepada BBC sebelum ini, permohonan untuk menjadi pelajar pernah ditolak kerana usianya namun berjaya diterima semula tidak lama selepas itu.
Kesungguhan dirinya untuk mengubah dirinya dari buta huruf melayakkan diri menerima Guinness World Records sebagai pelajar sekolah rendah tertua di dunia.
Pengiktirafan berkenaan sebelum ini dipegang oleh seorang lagi warga Kenya, mendiang Kimani Maruge yang bersekolah ketika usia 84 tahun pada 2004 sebelum meninggal dunia lima tahun kemudian. - KitaReporters