Video| Pengusaha stesen Petronas TA16 berbakti! Sumbang barangan dapur untuk pusat jagaan warga emas!
Published byTUJUH belas pengusaha stesen minyak Petronas kawasan Kajang, Semenyih dan Nilai akan terus bekerjasama dalam tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu mereka yang memerlukan sokongan atau bantuan seperti pusat jagaan warga emas.
Usaha itu akan dipertingkat setiap masa di kawasan
operasi stesen minyak mereka demi berkongsi rezeki dan sikap ambil peduli
membela khusus warga emas yang hilang tempat bergantung atau berlindung bagi
meneruskan sisa kehidupan.
Ketua Task Force TA16, Hezir Effez Norsham Mohd Shamsi, berkata dia akan mengadakan perbincangan dengan pengusaha terbabit supaya program CSR dapat diteruskan malah melakukan penambahbaikan supaya ia benar-benar memberi manfaat.
Hafishul Shuib (kanan) dan Hezir Effez Norsham Mohd Shamsi (dua dari kiri) melakukan gimik menyerahkan sumbangan barangan makanan asas dapur kepada Mohiadin (tengah).
Menurutnya, sumbangan bahan mentah khusus barangan makanan asas untuk dapur antara dikenal pasti amat diperlukan pusat jagaan terutama yang beroperasi tanpa mendapat bantuan tetapi sebaliknya terpaksa mencari dana atau infak pelbagai pihak setiap hari.
Tambahnya, mereka juga akan berbincang untuk mengambil
produk yang dikeluarkan oleh pusat jagaan seperti makanan ringan untuk diletakkan
di stesen minyak Petronas sebagai membuka peluang mencari dana untuk membiayai
kos operasi.
“Sebagai langkah percubaan kami akan mengambil buku cerpen kisah benar terbitan pusat jagaan terbabit yang berjudul Terkulai Di Senja Hari (TDSH) untuk dijual di stesen Petronas kerana percaya buku ini akan menarik orang ramai untuk membelinya.
“Bagaimanapun kami pengusaha terpaksa mematuhi prosedur yang ditetapkan untuk menerima kemasukan barangan yang akan dijual di stesen minyak bagi mengelak sebarang masalah malah menjadikannya lebih telus,” ujarnya.
Zahir Yahya (dua dari kiri) bersama-sama pengusaha stesen minyak Petronas menunjukkan cadar yang disumbang untuk katil warga emas PJNH.
Hezir ketika berucap pada Program Ramah Mesra dan Sumbangan CSR Petronas TA16 bersama Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) pada 19 Mac 2024.
Turut hadir pada program itu, Ketua Runcit Wilayah Tengah Petronas, Hafishul Shuib; Ketua Jualan Runcit Wilayah Tengah 3 Petronas, Ikhwan Syah Mokhtar; Ketua Bahagian Rangkaian PPAS, Zahir Yahya; Pembantu Pustakawan PPAS@Semenyih, Mohd Nizam Radzly; Pengurus Kawasan TA16, Norapedah Jalil; Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; dan wakil Kelab Sukarelawan Hospital Kajang serta Kelab Sukarelawan Mahmudah.
Pada program berkenaan pengusaha stesen minyak terbabit menyerahkan sumbangan barangan makanan asas untuk dapur seperti bawang, minyak masak, gula, tepung gandum, milo di samping cadar dan sebagainya. Sebelum mengadakan lawatan sekitar PJNH tetamu yang hadir dihiburkan dengan nyanyian Siso dari Kumpulan Kopratasa dan Pak Din warga emas PJNH.
Mohiadin Bahado (kanan) memberikan taklimat mengenai carta warga emas PJNH termasuk mereka yang sudah meninggal dunia.
Hafishul dalam ucapannya pula, berkata beliau berasa kagum dan bangga dengan usaha yang dilakukan oleh pengusaha stesen minyak Petronas TA16 dan PPAS dalam mengerakkan CSR membantu pusat jagaan warga emas terutama pada Ramadan yang penuh barakah.
Tambahnya, program CSR itu wajar diteruskan dan di samping membuka peluang kepada pusat jagaan untuk mencari dana dengan membantu memasarkan barangan makanan ringan keluaran mereka termasuk buku cerpen TDSH adalah suatu yang baik.
Sementara itu, Zahir, berkata dia akan berbincang dengan pihak pengurusan PPAS mengenai buku cerpen TDSH untuk melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan dana kepada PJNH bagi menampung bebanan kos operasi lebih RM32,000.00 sebulan.
Selain itu, menurutnya, PPAS berharap dapat terus bekerjasama dengan PJNH seperti membekalkan buku ilmiah di samping mengadakan kursus atau memberi motivasi kepada warga emas bagi membantu menghilangkan rasa bosan atau stres mereka.
Pengusaha stesen minyak Petronas TA16 merakamkan kenangan bersama-sama warga emas di Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor pada 19 Mac 2024.
Dalam program lain pada hari yang sama, pihak pengurusan Yayasan Food Bank Malaysia dan Dunkin Donuts Malaysia mengunjungi PJNH untuk mengagihkan baju Melayu baharu kepada warga emas sebagai persiapan menyambut Aidfilfitri.
Mereka turut menaja majlis berbuka puasa bersama penghuni PJNH terbabit bagi memenuhi tuntutan CSR dalam membantu warga emas serta mereka yang memerlukan perhatian kerana kesempitan dan sebagainya. - KitaReporters
Warga emas di PJNH menunjukkan baju Melayu baharu yang disumbangkan oleh Yayasan Food Bank Malaysia dan Dunkin Donuts Malaysia.