PENGUATKUASAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak pandemik COVID-19 di Malaysia memberi peluang kepada sekumpulan pemilik bot nelayan Kuantan berkongsi rezeki dengan menyumbang hasil laut kepada golongan memerlukan. : KitaReporters

Abdul Rahim Abdul Rahman menyerahkan sumbangan 1.5 kilogram ikan kepada penduduk yang terkesan dengan pelaksanaan PKP.


Hasil tangkapan ikan dibungkus ke dalam plastik untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.


Dalam rezeki kita ada rezeki orang lain. 

Dan konsep rezeki dikongsi bersama turut diamalkan sekumpulan pemilik bot nelayan di Kuantan apabila bersepakat menyumbang hasil laut kepada golongan memerlukan.

Setiap rumah diberikan 1.5 kilogram ikan secara percuma oleh pemilik bot nelayan yang beroperasi di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang berikutan PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April ini.

Terima kasih pakcik bot!! Baiknya hati kalian. Semoga kalian terus dimurahkan rezeki

Antara penerima sumbangan ikan daripada pemilik bot nelayan Kuantan


Wakil pemilik bot, Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, inisiatif yang diambil itu bertujuan meringankan beban masyarakat yang sukar mendapatkan hasil laut ketika PKP.
"Saya bersama 50 pemilik bot bersetuju menyerahkan antara 100 hingga 200 kilogram ikan untuk diagih-agihkan kepada penduduk di beberapa kawasan terpilih sekitar Kuantan.
"Jadi, dalam sehari kita dapat kumpul antara 1,000 hingga 2,000 kilogram ikan dan kita agihkan kira-kira 1.5 kilogram pelbagai jenis ikan kepada sebuah rumah terpilih di daerah ini," katanya ketika ditemui di Jeti Pendaratan Ikan Kompleks LKIM, Kuantan, Pahang pada Ahad, 13 April 2020.

Pekerja sedang membungkus 1.5 kilogram ikan sebelum diagihkan kepada penduduk terpilih.


Beliau berkata, setiap rumah menerima beberapa jenis ikan seperti kerisi, selayang, cencaru, tamban, pelaling, tongkol dan sotong.
"Pemberian ini cukup dijadikan bekalan mereka dalam tempoh dua atau tiga hari tanpa perlu keluar rumah," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata aktiviti pengagihan ikan dilakukan sejak lima hari lalu dengan mengagihkan lebih 8,000 kilogram hasil laut.
"Kita sudah agihkan kepada penduduk Sungai Lembing, Bukit Setongkol, Indera Mahkota, Taman Cenderawasih, Kampung Tiram, Taman Impian dan Felda Panching.
"Kemungkinan rangkaian agihan ini akan berubah dari semasa ke semasa mengikuti sumbangan daripada pemilik bot tetapi kita yakin agihan ini akan dilaksanakan di seluruh daerah ini," katanya.

Pelbagai jenis ikan segar dengan timbangan 1.5 kilogram diserahkan kepada penerima terpilih


Abdul Rahim berkata, selain hasil laut, pemilik bot juga membuat kutipan derma bagi membeli barangan keperluan harian untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
"Kita bantu sekadar yang termampu kerana ada kalangan penerima sumbangan ini memang tidak dapat meneruskan kerja harian mereka seperti peniaga gerai makan dah mereka yang bergaji hari apabila majikan menutup operasi buat sementara," katanya.
Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.  

Semoga pemberian ikhlas ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung untuk sementara waktu. -  KitaReporters

Pelbagai jenis ikan segar dengan timbangan 1.5 kilogram diserahkan kepada penerima terpilih

9
1
0
0
0

Copy Link: