Legenda Mat Noh meninggal! Shukor, Santokh kenang ‘permusuhan’ mereka! Pemain berpekerti tinggi!

Published by
KitaReporters

Kredit foto: NST Singapura.


Kepulang ke rahmatullah pemain bola sepak legenda Singapura, Mohamed Noh Hussein pada Isnin, 20 September, 2021, bukan sahaja dirasai warga negara itu malah turut meninggalkan kesan kepada pemain-pemain seangkatannya di Malaysia.

Bekas pemain tengah pasukan kebangsaan dan Pulau Pinang, Datuk Shukor Salleh yang agak terkejut dengan berita pemergian Mohamed Noh berkata beliau kehilangan seorang sahabat yang sangat baik, merendah diri dan berbudi bahasa.

“Walaupun hubungan kami tidaklah terlalu akrab tapi kami saling mengenali dan kerap bertemu dalam perlawanan yang membabitkan pasukan Pulau Pinang dalam Piala Malaysia atau perlawanan antarabangsa antara Malaysia dengan Singapura.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pemain legenda

Datuk Shukor Salleh. Kredit foto: NSTP


“Di dalam padang, kami memang bermusuh tapi apabila di luar padang kami bersahabat. Dia seorang yang sangat merendah diri dan menghormati saya sebagai seorang yang lebih senior daripadanya. 

“Setiap kali berbual, suaranya lembut dan sangat berbudi bahasa. Dia tidak sombong walaupun ketika itu merupakan pemain bintang Singapura apatah lagi dia bertambah popular selepas berkahwin dengan Rahimah Rahim,” kata Shukor.

Walaupun tidak mempunyai momen peribadi untuk dikenang bersama Allahyarham Mohamed Noh atau lebih dikenali sebagai Mat Noh dalam kalangan pemain dan peminat, namun, bila memperkatakan mengenai pemain itu, Shukor akan terkenang kembali perlawanan akhir Piala Malaysia 1977 yang mempertemukan Pulau Pinang dengan Singapura.

“Mat Noh adalah salah seorang pemain dalam pasukan Singapura. Dia memang seorang yang lincah dan sukar dikawal. Namun, suatu hal yang saya hormati dirinya, dia tidak pernah bermain secara kasar malah tidak pernah bertindak balas bila dikasari.


Skuad Singapura 1977 yang menewaskan Pulau Pinang 3-2 pada final Piala Malaysia dan pasukan Malaysia pada kelayakan Piala Dunia. Mohamed Noh berdiri lima dari kiri. - Kredit foto: NST Singapura. 


Jaringan kemenangan Kim Song ke atas Pulau Pinang pada final Piala Malaysia 1977.


“Perlawanan itu sangat sengit. Saya masih ingat, Singapura terlebih dahulu menjaringkan gol (pada minit ke-4) melalui Quah Kim Song tapi Pulau Pinang membalas melalui Isa Bakar (pada minit ke-29) selepas Samad Alapitchay melakukan kesilapan dengan menghantar bola ke belakang.

“Kemudian Ali Bakar menjaringkan gol untuk Pulau Pinang (pada minit 54) tapi Singapura pula membalas (melalui Nasir Jalil pada minit 71). Akhirnya Kim Song menjaringkan gol kemenangan Singapura pada masa tambahan (minit 105).

“Walau pun Mat Noh tak jaringkan gol tapi dia adalah penggerak utama Singapura selain Dollah Kassim dan Kim Song. Itulah antara kenangan saya dengan arwah,” ujar Shukor.

Menurut Shukor, kali terakhir beliau bertemu Mat Noh adalah beberapa tahun lalu ketika beliau menyertai pasukan veteran Pulau Pinang menentang veteran Singapura di republik itu.

“Apa yang saya dengar daripada kawan-kawan di sana, selepas bersara daripada bola sepak, Mat Noh lebih banyak menumpukan perhatiannya dengan mendalami agama,” kata Shukor.


Santokh Singh. Kredit foto: NSTP


Sementara itu, seorang lagi bekas pemain seangkatan Mat Noh, Datuk Santokh Singh turut memuji pekerti bekas bintang Singapura itu.

“Dia seorang yang merendah diri, penyabar dan kacak. Sebagai pemain, kita memang tidak dapat mengelak daripada bertembung dan kadangkala berlaku kekasaran tapi dia sangat tenang, tidak pernah bertindak balas.

“Sebagai pemain, dia seorang yang lincah dan perlu diberi perhatian kerana jika kita leka, dia pantas mengambil kesempatan.

“Selangor dan Singapura dahulu memang musuh ketat, setiap perlawanan pasti sengit. Tapi, di luar padang, kami semua berkawan baik sehingga sekarang. Kematian Mat Noh memang satu kehilangan kepada kami,” ujar Santokh.

Mat Noh, 67, mengalami serangan jantung pada pagi Ahad, 19 September, 2021, dimasukkan ke Hospital Besar Sengkang, Singapura dan meninggal dunia pada pagi Isnin, 20 September, 2021.



Berita kematiannya diumumkan oleh bekas isterinya, penyanyi, Rahimah Rahim serta beberapa orang rakan rapat melalui media sosial.

Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) yang memberi penghormatan kepada Mat Noh menerusi hantaran melalui Facebook, mengenang kembali jaringan penalti bersejarah pemain itu yang memberi kemenangan 1-0 ke atas Malaysia pada kelayakan Piala Dunia 1977.

Mat Noh mengumumkan persaraan daripada bola sepak selepas Singapura dibelasah 4-0 oleh Selangor pada final Piala Malaysia 1981.

Al-Fatihah. - KitaReporters


Mohamed Noh (kiri) menerima ucapan tahniah daripada rakan sepasukan, Abd Nasir Jalil selepas menjaringkan gol kemenangan Singapura untuk mengalahkan Malaysia 1-0 pada kelayakan Piala Dunia 1977. Kredit foto: NST Singapura.

13
12
5
9
0

Copy Link: