Video| Mula-mula sangka 2, 3! Kemudian jangka 7! Apabila bersalin keluar 9 anak! Rekod dunia!

Published by
KitaReporters

HALIMA Cisse tersenyum gembira di samping doktor di Klinik Ain Borja, Maghribi, di mana dia melahirkan anak kembar sembilan. - Kredit foto: asiaone.com 


Kandungan Halima Cisse, 25, seorang rakyat Mali, memang nampak berlainan daripada biasa. Kerana itu dia dipercayai mengandung lebih daripada dua atau tiga orang. Ternyata ini benar. 

Apabila doktor membuat pemeriksaan rapi mendapati dia mengandung tujuh orang. Namun rupanya jangkaan doktor juga meleset. Apabila bersalin, Halima melahirkan anak kembar sembilan pada 4 Mei 2021 lalu! 

Memetik laporan Reuters, kandungan Halima telah menarik perhatian ramai di negara di Afrika Barat itu, termasuk para pemimpin. Kerana itu pada Mac 2021 lalu apabila para doktor memberitahu Halima memerlukan perhatian dan penjagaan rapi, pihak berkuasa menerbangkannya ke Maghribi di mana dia melahirkan semua sembilan anaknya, lima perempuan dan empat lelaki.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kelahiran


JURURAWAT di Klinik Ain Borja, Maghribi memantau keadaaan salah seorang daripada sembilan anak Halima Cisse yang kini masih diletakkan dalam inkubator di klinik bekenaan. - Kredit foto: Reuters.  


Menteri Kesihatan Mali, Fanta Siby, yang turut gembira dengan kelahiran bayi sembilan beradik itu memberitahu, kesemua bayi yang dilahirkan melalui pembedahan itu dalam sihat. Dia juga mengucapkan tahniah kepada para doktor di Mali dan Maghribi di atas kelahiran bayi-bayi berkenaan.

Berdasarkan ujian ultrasound yang dijalankan sebelumnya di Maghribi, Halima didapati mengandung tujuh orang. Ujian tersebut tidak dapat mengesan sebenarnya ada dua lagi kandungan di dalam rahim ibu berkenaan.

Sememangnya kejadian melahirkan sembilan anak jarang berlaku, dan jika berlaku kemungkinan berlaku komplikasi. Dalam keadaan ini beberapa bayi tidak akan dapat bertahan lama selepas dilahirkan.

Namun dalam kes Halima, kesemua bayinya sihat. Suaminya, Adjudant Kaber Arby memberitahu BBC, dia sangat gembira dengan kurniaan yang diterima dan bersyukur kerana semua bayi tersebut dalam keadaan baik. 

dia yang berada di Mali bersama anak perempuan sulung mereka, sentiasa berhubung dan mendapat maklumat terkini mengenai perkembangan isteri dan anak-anaknya di Maghribi. Dia tidak bimbang dengan keadaan mereka dan menyerahkannya kepada Allah. 

Arby gembira kerana sokongan yang diterima daripada orang ramai dan kerajaan. Ramai menghubunginya mengucapkan tahniah dan berkonsgi kegembiraan, termasuk Presiden Mali sendiri.


SEBAHAGIAN daripada sembilan anak Halima Cisse yang dlahirkan di Klinik Ain Borja, Maghribi pada 4 Mei 2021. - Kredit foto: The Mirror UK



Sehingga ini seorang ibu yang melahirkan lapan anak di Amerika pada 2009, Nadya Suleman, memegang Rekod Guinness melahirkan lapan anak serentak dan kesemuanya hidup. Kesemuanya kini berusia 12 tahun.

Sebelum Halima, terdapat juga rekod kelahiran sembilan bayi, iaitu di Australia pada 1971 dan seorang wanita Malaysia pada 1999. Tetapi bayi-bayi tersebut tidak dapat bertahan lama dan meninggal selepas beberapa hari dilahirkan.

Pengarah Perubatan di Klinik Ain Borja, Maghribi, di mana Halima melahirkan anaknya, Profesor Youssef Alaoui, menyifatkan kes tersebut sebagai sesuatu yang istimewa dan jarang berlaku.

Menurutnya, satu pasukan terdiri daripada 10 orang doktor dan 25 pekerja perubatan terlibat dalam proses kelahiran tersebut.

Bayi-bayi tersebut, yang beratnya antara 500 gram hingga 1 kilogram kini diletakkan di dalam inkubator untuk tempoh dua hingga tiga bulan.


Kredit foto: BBC.com


Halima dan kandungannya menjadi perhatian ramai, sementara doktor di Mali risau mengenai tahap kesihatan dan kebajikannya serta peluang untuk kandungannya hidup. Ini menyebabkan kerajaan Mali campur tangan dengan menghantar Halima ke Magribi untuk mendapatkan rawatan lebih baik.

Keputusan ini dibuat selepas dua minggu Halima berada di sebuah hospital di Bamako, ibu negara Mali. Dia dihantar ke Maghribi pada 30 Mac 2021. Selepas lima minggu di Klinik Ain Borja,  Halima melahirkan anaknya secara pembedahan pada 4 Mei 2021.

Menurut Prof. Youssef, sewaktu Halima dimasukkan ke kliniknya, usia kandungannya ialah 25 minggu. Dia dan pasukan perubatannya berjaya melanjutkan tempuh kandungan tersebut sehingga mencapai 30 minggu.  - KitaReporters.com


2
1
1
1
1

Copy Link: