KEHIDUPAN seseorang pada penghujung usia sepatutnya berada dalam keadaan selesa dalam berbagai-bagai aspek bagi membolehkannya menjadi individu yang tidak membebankan keluarga mahupun masyarakat. Bagaimanapun semua itu bergantung kepada qadak dan qadar yang ditentukan oleh Maha Pencipta, sekalipun kita telah merancang dan berusaha dalam apa juga bentuk untuk menjadikan kehidupan dalam situasi baik. : KitaReporters
Salah seorang petugas kesihatan menjalankan pemeriksaan ke atas Mohd. Ariffin Othman yang uzur kerana menghidap penyakit darat tinggi dan kencing manis yang agak serius - Kredit Foto-foto: Pusat Khidmat Masyarakat DUN Morib.
Tiada ada sesiapa pun di muka bumi ini yang mahu kehidupannya pada penghujung usia membebankan sesiapa apatalah menyusahkan keluarga, saudara mara dan masyarakat keliling.
Salah satu antara episod kehidupan yang agak suram telah meyelubungi suasana hidup seorang warga emas di Kampung Sungai Buaya, Banting, Kuala Langat, Selangor pada hujung usianya.
Bagaimanapun atas rasa tanggungjawab dan ihsan komuniti setempat di kampung itu tidak menyisihkan Mohd. Ariffin Othman, 77, yang hidup sebatang kara tanpa saudara mara dan dalam keadaan uzur. Para penduduk dan masyarakat sekitar memberikan bantuan serta pertolongan termasuk makanan dan barangan keperluan harian.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Wak Pin yang tidak pernah berkahwin seumur hidup dan tinggal membujang seorang diri dalam keadaan uzur disebabkan menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis pada tahap serius.
Gambar kiri... Hasnul Baharuddin (kiri) membantu Wak Pin menyedut minuman air kotak semasa mengunjungi beliau di Kampung Sungai Buaya,Banting, Kuala Langat, Selangor. Gambar kanan... Beberapa orang penduduk membantu mengangkat Mohd Ariffin untuk dibawa masuk ke dalam kenderaan Jabatan Kesihatan sebelum dihantar ke hospital.
Keadaan fizikal dirinya akhir-akhir ini begitu uzur kerana bergantung dengan ubat-ubatan untuk kedua-dua jenis penyakit yang dihidapi. Malahan turut meyedihkan,
rumah yang didiaminya sekarang yang merupakan pemberian secara percuma seorang hamba Allah, sudah agak usang dan kotor.
Sebelum ini, sewaktu sihat beliau yang bekerja kampung tinggal di beberapa tempat sekitar kawasan Kampung Sungai Buaya tetapi terpaksa kembali ke rumah berkenaan setelah keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.
Setelah berada di rumah yang terletak di No.12, Batu 1, Jalan Tunas Harapan, Kampung Sungai Buaya itu Wak Pin rasa syukur kerana keprihatinan jiran-jiran dan warga komuniti setempat yang sentiasa bekerjasama membantunya untuk bergerak dan makan minum.
Hasnul ( dua daripada kanan) bertanyakan sesuatu kepada Mohd Ariffin semasa beliau menjalani rawatan di Hospital Kuala Langat di Pekan Bantaing.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Morib, Hasnul Baharuddin pada Rabu 23 September 2020 lalu berkunjung kekediaman warga emas berkenaan bersama Pengerusi Majlis Permuakataan Ketua Ketua Kampung (MPKK) Seri Jugra, Anuar Ngatini dan Pengerusi MPKK Kampung Sungai Buaya untuk melihat sendiri keuzuran dan kedaifan hidup Mohd Ariffin.
Mohd Ariffin Othman yang hidup sebatang kara perlu sokongan dan bantuan orang ramai, lebih-lebih lagi beliau berkeadaan uzur kerana menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis tahap serius.
Melalui catatan pada laman sosial Pusat Khidmat Masyarakat DUN Morib, semasa kunjungan tersebut Hasnul berjaya memujuk Wak Pin untuk dibawa ke Hospital Kuala Langat di Banting bagi menjalani rawatan kesihatan.Sebelum itu, beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Langat dalam usaha memindahkan warga emas berkenaan ke rumah Penyayang bagi menjamin urusan penjagaan makan minum dan kesihatan diri Wak Pin sentiasa terjaga dengan baik.
Mohd Ariffin Othman semasa dikunjungi Hasnul Baharuddin (kiri) kelihatan uzur dan kurang bermaya disebabkan mengidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.
Hasnul juga bersama Ahli Jawatankuasa MPKK turut menyediakan makanan dan minuman serta membersihkan diri Mohd. Ariffin sebelum dibawa ke Hospital Kuala Langat.Dengan rawatan yang beliau jalani didoakan semoga Wak Pin sembuh daripada masalah penyakit dihidapi dan dapat meneruskan kehidupan harian dengan lebih baik pada penghujung usia beliau.
Ahli keluarga Ahmad (kiri) menyatakan mengenai kejadian kebakaran kepada Hasnul Baharuddin semasa beliau melawat ke tempat kebakaran yang berlaku di Kampung Kancong Darat, Banting, Kuala Langat.
Sementara itu pada Ahad 27 September 2020 lalu, Hasnul telah meninjau ke lokasi dua unit rumah terbakar dalam satu insiden kebakaran di Kanchong Darat, Banting pada awal pagi. Menurutnya, kebakaran berpunca daripada salah satu unit rumah yang tidak didiami milik keluarga Ahmad dan merebak dengan pantas, bagaimanapun anggota bomba dan penyelamat berjaya mengawal keadaan. Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.
Pusat Khidmat Masyarakat DUN Morib dan MPKK Kanchong Darat telah menghulurkan bantuan awal kepada keluarga Ahmad. Sumbangan itu telah disampaikan oleh Hasnul sendiri. - KitaReporters
Hasnul (berbaju merah) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang keluarga Ahmad yang terlibat dalam satu kebakaran di Kampung Kanchong Darat, Kuala Langat.