Akibat banyak berhutang, wanita palsukan kematiannya! Tapi tidak berjaya tipu pihak berkuasa!

Published by
KitaReporters

Upacara pengkebumian palsu diadakan untuk Tran Thi Tuyen di kampungnya di Wilayah Soc Trang. Kredit Tin Tuc Online


APABILA hutang sudah banyak dan kepala buntu berfikir untuk membayar, pelbagai cara dilakukan untuk mengelakkan diri daripada melunaskan hutang tersebut. Misalnya bersembunyi atau melarikan diri daripada tempat kediaman dengan harapan tidak daparti dijejak oleh pemberi hutang.

Tetapi di Vietnam, lain pula ceritanya. Seorang wanita, Tran Thi Tuyen, 56, yang terbeban dengan hutang, melakukan helah dengan ‘mengisytiharkan’ kononnya dia sudah mati. Harapannya ialah dengan itu pemberi hutang tidak lagi menganggu.

Memetik laporan TheSmartLocal pada 1 April 2021, Tran memalsukan kematiannya dengan mengadakan upacara pengkebumian bertujuan mengelirukan pemberi hutang agar dia boleh mengelakkan daripada daripada membayar hutang yang banyak.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan hutang

BUKAN mayat di dalam keranda, tetapi tiga guni besar berisi pasir dan daun. - Kredit Vietnamnet


Tran, dari Wilayah Soc Trang, berhutang terlalu banyak kepada ramai orang. Namun laporan tersebut tidak menyebut berapa banyak hutangnya.

Bagi mengelakkan dicari oleh pemberi hutang, dia bersembunyi di Wilayah Dong Thap. Ketika bersembunyi dia memikirkan satu cara terbaik agar tidak terus diburu oleh pemberi hutang dan dia tidak perlu lagi memikirkan bagaimana membayar hutangnya. Dari situlah dia mendapat idea memalsukan kematian.

Tran kemudian meminta keluarganya memaklumkan dia sudah mati dan mengadakan upacara pengkebumian untuknya bagi meyakinkan pemberi hutang bahawa dia sudah mati.

Dalam usaha melaksanakan rancangan ini, pada 29 Mac 2021, dia dan anaknya membeli keranda di Dong Thap untuk dihantar ke rumahnya di di Soc Trang bagi membolehkan upacara pengekebumian palsu diadakan.

Anak-anak Tran kemudian memaklumkan kepada semua orang emak mereka mati di sebuah wilayah lain dan keluarga memutuskan membawa mayatnya kembali ke kampung kediaman mereka untuk upacara pengkebumian.

Rancangan mereka berjalan lancar. Keluarganya siap sedia mengadakan upacara pengkebumian. Keranda sudah ada, tempat pembakar gaharu sudah sedia dan orang ramai memakai pakaian pengkebumian.

Namun keluarga ini tidak cukup bijak menipu. Mereka tidak bersedia dengan jawapan apakah punca kematian Tran.

Akibatnya apabila pihak berkuasa datang menyiasat, anak-anaknya memberi jawapan berlainan sehingga mendatangkan syak kepada pihak berkuasa.


TRAN memberi keterangan ketika disoal siasat oleh polis mengenai perbuatannya memalsukan kematian. - Kredit Doi Song Phap Luat.


Di Vietnam, apa juga jenis kematian mesti diikuti dengan proses penyiasatan rapi dan pengesahan sebelum mayat boleh dikembalikan kepada keluarga untuk dikebumikan. Jika Tran dibunuh, pihak berkuasa tempatan di mana Tran tinggal perlu dimaklumkan mengenainya.

Kerana tidak bersedia dengan jawapan seragam, anak-anak Tran memberikan pelbagai jawapan berlainan apabila disoal oleh pihak berkuasa.

Seorang anaknya memberitahu, emaknya mati kerana kemalangan jalan raya. Seorang lagi berkata, emaknya mati kerana lemas di sungai Dong Thap.

Seorang lagi anaknya malah memberitahu, emaknya mati kerana sakit di satu tempat berhampiran sempadan Kemboja. Ini menimbulkan syak wanita itu mungkin dijangkiti Covid-19. Polis tempatan segera diarah menyiasat dan menyembur kawasan upacara pengkebumian.

Berpegang kepada kenyataan anaknya emaknya meninggal di sempadan sebelum mayatnya dibawa balik ke kampungnya, Cu Lao Dung, pihak berkuasa tempatan memutuskan membuka keranda untuk menyiasat punca kematian dan menyembur mayatnya.

Apabila keranda dibuka, semua yang hadir terperanjat, kecuali anak-anaknya. Keranda itu bukan berisi mayat tetapi tiga guni besar berisi pasir serta 10 kilogram daun.

Tran kemudian diperintah hadir ke balai polis untuk diambil keterangan. Sewaktu disoal siasat dia mengaku memalsukan kematiannya untuk melepaskan diri daripada hutang.

Walaupun memalsukan kematian bukan kesalahan jenayah di Vietnam, pihak berkuasa tempatan akan terus menyiasat kes tersebut. - KitaReporters

0
1
1
4
2

Copy Link: