CHHATTISGARH terletak di India Tengah, di mana lori sampah digunakan untuk mengangkut mayat pesakit Covid-19 ke tempat pembakaran. -Kredit foto: Google Map


KASIHAN sungguh nasib pesakit yang meninggal dunia akibat pandemik Covid-19 di Chhattisgarh, India. Sudahlah ketika hidup mereka menderita dijangkiti penyakit tersebut, sesudah mati pun mereka tidak dapat diurus dengan baik dan sempurna. 

Tiada ambulans untuk membawa mereka ke tempat pembakaran, sebaliknya hanyalah lori sampah!

Chhattisgarh antara 10 negeri di India yang paling teruk dilanda pandemik tersebut. Angka jangkitan dan kematian terus meningkat. Perkhidmatan kesihatan di negeri itu juga telah mencapai tahap kritikal. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan India


PARA pekerja kesihatan memasukkan mayat pesakit Covid-19 ke dalam lori sampah di Chhattisgarh, India. - Kredit  foto: ndtv.com


Memetik laporan ndtv.com, lori pengangkut sampah digunakan membawa mayat untuk dibakar di wilayah Rajnandgaon. Mayat pesakit Covid-19 diangkat dan dimasukkan ke dalam lori berkenaan oleh para petugas yang lengkap memakai pakaian perlindungan diri.

Sungguh memilukan pemandangan ini. Pihak berkuasa kesihatan apabila ditanya mengenai perkara ini memberitahu, tanggungjawab menyediakan kenderaan untuk membawa mayat terletak pada tangan majlis perbandaran.

Namun keadaan genting melanda Chhattisgarh menyebabkan perkhidmatan kesihatan juga tidak menang tangan, bukan sahaja untuk menguruskan yang mati tetapi juga menyediakan kemudahan rawatan dan perubatan kepada pesakit.

Katil hospital sudah sampai ke tahap maksimum. Hospital kerajaan utama di ibu kota negeri itu, Raipur, bertungkus lumus menangani jumlah kematian. Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital dan katil yang dilengkapi oksigen sudah mencapai 100 peratus kapasiti.

Bilik mayat juga sudah penuh. Penyimpanan mayat sudah tidak lagi menurut prosedur iaitu di dalam peti sejuk. Sebaliknya mayat-mayat diletakkan di mana-mana sahaya yang ada tempat kosong.

Tentunya meletakkan mayat di tempat yang bukan sepatutnya boleh menimbulkan risiko lain, seperti jangkitan kepada yang hidup. Tetapi kekangan kemudahan menyebabkan pihak hospital terpaksa berbuat demikian.


PEKERJA kesihatan lengkap berpakaian perlindungan diri memasukkan mayat pesakit Covid-19 ke dalam lori sampah untuk dibawa ke tempat pembakaran mayat. - Kredit foto: ndtv.com


Dalam usaha membantu mengatasi keadaan kritikal ini, Kelab Media Rajnandgaon dengan sukarela mengubah suai pejabatnya menjadi Pusat Covid-19 di mana mereka yang tidak bergejala Covid-19 dirawat dengan percuma. Ahli kelab media tersebut menyediakan 30 buah katil untuk pesakit ini yang walau pun tidak bergejala tetapi memerlukan bantuan perubatan. 

Pengarah Kelab Media, Ajay Soni memberitahu, satu pasukan perubatan berada di kelab tersebut 24 jam untuk mengawasi pesakit.

Pada hari Rabu 14 April 2020, Chhattisgarh mencatatkan 14,250 kes jangkitan Covid-19 baharu dan 120 kematian. Bagaimana pun angka ini menurun daripada 15,121 yang dicatatkan pada hari sebelumnya (Selasa, 13 April 2021) yang merupakan catatan harian teringgi di negeri itu sehingga kini.

Menurut seorang pegawai perubatan, jumlah ini menjadikan keseluruhan kes jangkitan di negeri itu sehingga ini kepada hampir 500,000 dengan angka kematian 5,307 orang. Bulan Mac 2021 sahaja, Chhattisgarh mencatatkan 160,000 kes dengan 1,417 kematian.

Untuk rekod, Chhattisgarh ialah sebuah negeri terletak di India Tengah. Diisytihar sebagai negeri pada 2000, ia merupakan negeri kesembilan terbesar di India dengan penduduk berjumlah 30 juta. Ini meletakkannya pada kedudukan ke-17 sebagai negeri yang paling ramai penduduk di India. - KitaReporters.com


 

0
0
3
0
0

Copy Link: