Risma usahanita berjaya di kota Mekah! Hasil perniagaan makanan ringan, katering jemaah haji!

Published by
KitaReporters

Risma peniaga berjaya yang menjalankan perniagaan sebagai pemborong makanan ringan, katering untuk jemaah haji dan pembawa masuk kurma ke Indonesia bersama salah seorang pembantunya di tempat perniagaannya di kota Mekah, Arab Saudi. Kredit foto: Video Faiz Slamet dan Mohamad Sofi AW.


UNTUK menjadi seorang yang berjaya dalam hidup, selain gigih berusaha perlu juga mempunyai tekad dan keazaman tinggi supaya apa yang dilakukan mencapai matlamatnya. Pelbagai rintangan perlu dilalui dengan tabah dan sabar.

Selain itu perlu yakin diri serta sentiasa berdoa memohon pertolongan Allah agar bidang yang diceburi mencapai kejayaan di samping jangan mudah patah semangat atau putus asa jika menghadapi kegagalan, sebaliknya cuba dan terus mencuba.

Ciri-ciri ini merupakan antara perkara yang dijadikan azimat oleh seorang usahawan wanita berjaya dalam bidang perniagaan sehingga beliau dikenali ramai sekalipun hanya belajar sehingga darjah lima sekolah rendah.

Namun disebabkan ingin mahu berubah daripada seorang wanita biasa, Rismah sanggup bertekad dengan penuh keazaman untuk nekad berubah bagi meraih kejayaan diri sekalipun perlu berhadapan dengan keadaan yang mungkin mampu membantutkan segala hasrat diingini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan usahanita (usahawan wanita)

Kerana keazaman dan kegigihannya, Risma merupakan antara wanita yang berjaya dalam bidang perniagaan di kota Mekah.


Hasil pengorbanan dan usaha gigih yang dilakukannya selama ini, usahanita ini sekarang merupakan antara barisan wanita yang berjaya dalam bidang perniagaan di kota Mekah, Arab Saudi hasil usaha dan inisiatifnya sendiri.

Ibu kepada tiga orang anak ini yang berasal dari Indonesia dan kini menetap di kota suci Mekah menjalankan perniagaan sebagai pemborong makanan ringan produk keluaran Indonesia, katering untuk jemaah haji selain menjadi pembawa masuk (pengeksport) kurma ke negara asal kelahiran beliau

Wanita yang nekad mahu berubah ini mula berhijrah ke Arab saudi ketika usia remaja mengikut keluarganya ibu bekerja dengan majikan warga Arab dan bapa menjadi pemandu di kota Mekah, sekalipun ketika itu dia masih belum tamat belajar di sekolah rendah.

Kisah kejayaan wanita gigih ini tular melalui beberapa media sosial hasil rakam siar terus dari kota Mekah oleh Faiz Slamet  dan Mohamad Sofi AW yang dimuat naik dalam You Tube. Beberapa media di Indonesia antaranya Tribun.com, Merdeka.com, Dream.co.id, Wolipop dan Solopos.com melaporkan mengenai kejayaannya.


Antara paparan hadapan video yang dirakam siar oleh Faiz Slamet dari Mekah, Arab Saudi.



Pada peringkat awalnya, Risma memulakan perniagaan yang diceburi secara kecil-kecilan di kaki lima bangunan kedai tanpa ada bantuan keluarga disebabkan kedua-dua orang tuanya mempunyai kerja masing-masing tetapi dengan kegigihan yang penuh berinspirasi, dia pernah meraih pendapatan mencecah 1 juta Saudi Arabia Riyal (SAR) (kira-kira RM1.1 juta).

Malahan usahanita ini kini mampu menyewa pangsapuri (apartmen) empat tingkat mengandungi 27 buah bilik dilengkapi 13 bilik air di satu kawasan kota Mekah yang beliau jadikan sebagai pusat perniagaannya.

Selain itu, pangsapuri yang disewa dengan kadar SAR130,000 (RM144,000) setahun itu merupakan tempat tinggal beliau bersama keluarga serta para pekerjanya.

Buat masa ini, Risma menjadi pemborong 33 jenis makanan ringan produk keluaran Indonesia termasuk pelbagai jenis kerepek, kekacang dan kuih kering yang diedar kepada beberapa toko perniagaan kebanyakannya dikendalikan warga Indonesia dan rakan-rakan kenalan di sekitar kota Mekah, Jeddah, Madinah dan Taif


Pangsapuri empat tingkat yang disewa oleh Risma dan dijadikan sebagai pusat perniagaan serta kediaman beliau bersama keluarga dan pekerjanya.


Di sebalik kejayaan yang diperolehi, beliau juga tidak terlepas daripada menanggung kerugian kerana pernah tidak dibayar khidmat kateringnya oleh agensi pelancongan yang membuat tempahan serta berlaku masalah tidak cukup pekerja untuk mengendali perkhidmatan katering disebabkan terlalu banyak kontrak dengan hotel atau restoran akibatnya terpaksa mengalami kerugian yang besar.

Bagaimanapun belajar daripada pengalaman itu, dia kini lebih berhati-hati dalam urusan perniagaan katering supaya tidak menimbulkan masalah serta mengalami kerugian.

Sebagai usahawan yang berjaya, Risma juga bercita-cita dan berhasrat untuk membina sebuah sekolah berasrama penuh di kampung halamannya di Indonesia bagi kemudahan anak-anak setempat belajar melalui hasil perniagaan dijalankan bila dia kembali ke negaranya nanti. - KitaReporters



Risma memberi penerangan mengenai makanan ringan yang diedarkan di beberapa bandar utama termasuk di Mekah, Jeddah, Madinah dan Taif di Arab Saudi.


Wanita gigih ini menunjukkan salah sebuah bilik yang dijadikan sebagai tempat simpanan sementara barangan makanan ringan sebelum diedarkan kepada para pelanggannya.

1
1
0
0
0

Copy Link: