Video| Leon Spinks: Perginya si lawan Ali! Juara dunia yang tak disangka selama tujuh bulan!

Published by
KitaReporters

LEON Spinks dijulang kru pasukannya selepas diisytiharkan juara baharu tinju heavyweight dunia. - Kredit foto The Guardian.


DIA mencipta kejutan terbesar dalam sukan tinju profesional dunia tetapi mulai khayal dihanyut dengan kejayaan segera itu kerana amalan gaya hidup yang kurang sihat dan keborosan berbelanja.

Kerana menewaskan juara heavyweight dunia, Allahyarham Muhammad Ali pada 15 Februari 1978 di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat, nama petinju yang berusia 25 tahun itu tiba-tiba masyhur sekelip mata.

Kekalahan tipis dengan kiraan mata itu kemudian menjadi ‘wake-up call’ Ali untuk kembali merampas bengkung heavyweight dunia dalam pertarungan ulangan pada 15 September tahun sama.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan sukan tinju:

https://kitareporters.com/search?search=tinju


LEON Spinks (kanan) meninju Muhammad Ali dalam pertarungan 15 Februari 1978 yang dimenanginya dengan kiraan mata yang tipis. - Kredit foto The Guardian.


Gerangan petinju yang mulanya hanya dipandang ringan Ali itu ialah mendiang Leon Spinks yang menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat lalu, 5 Februari 2021.

Mendiang dilaporkan meninggal dunia pada usia 67 tahun di Hendersons, Nevada akibat barah prostat dan komplikasi penyakit lain yang lama dihidapinya.  


Kredit foto: Variety.com



Pemenang pingat emas light heavyweight Sukan Olimpik Montreal 1976 ini meninggalkan isteri, Brenda Glur Spinks dan dua anak lelaki, Darryl Calvin Spinks dan Cory Spinks, bekas juara welterweight dunia dari 2003 hingga 2005. Seorang lagi anaknya, Leon Calvin Spinks mati ditembak pada 1990.

Adik mendiang juga ialah bekas juara heavyweight dunia dan pemenang pingat emas middleweight Olimpik sama, Michael Spinks manakala cucunya, Leon Spinks III kini juga petinju light heavyweight profesional.

Lahir pada 11 Julai 1953, Leon terkenal dengan senyuman lebar bergigi depan yang rongak. Sikap boros berbelanja dengan pendapatan tinju pro, mengakibatkannya terpaksa menyara hidup sebagai penjaga bangunan sebuah pusat belia di Nebraska.

Keazaman dalaman tiba-tiba menjadi sumber kekuatan Leon untuk menumpaskan Ali.

“Di tengah-tengah tumbukan yang saya lepaskan dan terima kepada dan daripada Ali, saya terimbas balik kenangan zaman kanak-kanak saya,” katanya dalam temu bual dengan majalah sukan terkenal, Sports Illustrated.

Anak jati St. Louis, Missouri ini berkata, “bapa saya meninggalkan kami sekeluarga (tujuh beradik) dan beritahu orang ramai, saya tidak akan jadi apa-apa pun. Cakap-cakapnya menyakitkan saya. Saya tidak akan lupakannya.

“Saya bulatkan tekad untuk jadi seseorang dalam dunia ini. Bahawa dengan sebarang harga yang perlu saya bayar, saya akan berjaya dengan sesuatu,” sambung bekas anggota Marin Corps. ini yang menewaskan Ali, hanya dalam pertarungan pro kelapannya.

“Saya bukanlah The Greatest (Yang Terhebat gelaran popular buat Ali). Sayalah The Latest (Yang Terkini)!,” katanya selepas pertarungan mereka.

WAJAH Leon Spinks yang agak lucu bergigi rongak, menghiasi kulit depan majalah Sports Illustrated. - Kredit foto Twitter Leon Spinks.


Seorang penganjur pertarungan, Bob Arum berkata, “satu perkara yang sukar dipercayai apabila Ali bersetuju menentang Leon.

Mengimbas keputusan pertarungan lalu Leon, dia bukanlah pencabar utama malah tidak layak jadi seorang pencabar pun. 

"Namun dia telah menemui satu cara untuk memenanginya,” katanya dipetik daripada laman berita The Guardian.

Leon hanya menang enam daripada tujuh pertarungan pro awalnya malah empat bulan sebelum berdepan Ali, dia hanya seri dengan Scott LeDoux sedangkan Ali yang baru sengit melawan Earnie Shavers dan enggan menentang Ken Norton selepas itu kerana telah dilawannya sebanyak tiga kali.

Leon dikatakan turut mempunyai seorang pengawal peribadi, Mr. T - bekas pelakon utama siri TV popular, ‘The A-Team’ yang turut mendukung watak James ‘Clubber’ Lang dalam filem tinju terkenal, ‘Rocky III’ yang dibintangi Sylvester Stallone a.k.a. Rocky Balboa.


LEON Spinks bersama isteri tersayang, Brenda Glur Spinks. - Kredit foto Twitter Leon Spinks.


Mendiang kemudian menjadi sebahagian daripada kumpulan bekas petinju yang otak mereka menjadi bahan kajian Klinik Cleveland Pusat Lou Ruvo bagi Kesihatan Otak di Las Vegas.

Ali memenangi pertarungan ulangan dengan Leon menerusi keputusan sebulat suara juri selepas 15 pusingan di hadapan 72,000 penonton di Superdome, New Orleans, Los Angeles - satu rekod kehadiran terbesar dalam sejarah tinju pro, manakala kira-kira 90 juta orang menontonnya menerusi siaran langsung TV.

Leon turut pernah menentang seorang lagi bekas juara dunia, Larry Holmes juga bekas rakan sepelatih Ali, namun dia ditumbangkan hanya dalam pusingan ketiga pada 1981.

Rekod pro Leon ialah 26 kemenangan (14 daripadanya secara tumbangan - KO), 17 kekalahan dan tiga kali seri. - KitaReporters

0
0
2
0
0

Copy Link: