Video| Pelawak, penghibur Jamali Shadat pergi dalam diam! Atan, Bapak, Atok dah tak ada lagi!

Published by
KitaReporters


SIAPA yang tidak kenal Jamali Shadat atau Atan? Pada era tahun 1980-an aksi keletah watak kanak-kanak bernama Atan yang petah bercakap dan kelakar suka membuli datuknya dalam setiap kali persembahan cetera lawaknya sama ada dalam layar televisyen atau corong-corong radio.

Sepanjang 46 tahun berkecimpung dalam komedi lawak yang mencuit hati setiap penonton atau pendengar dari pelbagai lapisan bangsa, umur dan agama sudah pasti terhibur dengan budaya lawak harmoninya.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan pelawak:

https://kitareporters.com/search?search=pelawak


Allahyarham Datuk Jamali Shadat



Ramai peminat lawak jenaka tanah air hari ini terkejut dan sedih dengan berita kematian Datuk Jamali Shadat, 78, pada jam 8.30 pagi Rabu, 3 Februari 2021. Dilaporkan Allahyarham meninggal dunia sebab sakit tua.

Berita dukacita ini telah dimaklumkan oleh cucunya, Isyraq Ariff Zalull Ariff.

“Doktor sudah mengesahkan datuk sudah tiada. Urusan proses pengebumian akan dimaklumkan kemudian,” kata Israq, 31.



Pada 24 Januari 2021 lalu sebuah media tempatan melaporkan Allahyarham sudah ada sedikit perubahan terhadap masalah kesihatannya dan dia kelihatan beransur pulih serta sudah ada selera makan. Berbanding sebelum ini, Allahyarham langsung tidak mahu makan akibat kurang selera.

Terdahulu, tular berita palsu mengatakan pelawak popular itu sudah meninggal dunia.

Ia turut dinafikan oleh ahli keluarga Jamali dan berasa terkejut dengan penularan berita dalam media sosial.



Allahyarham dikatakan mengalami kemurungan sejak kematian isterinya, Lela Yacob yang meninggal akibat serangan angin ahmar pada Jun 2018.

Sebelum itu, Jamali pernah diserang angin ahmar dan dijaga oleh isteri tersayangnya semasa hayatnya masih ada sehingga pulih.

Allahyarham dilahirkan di Bukit Kapar, Klang, Selangor dan mempunyai lapan orang anak serta  39 orang cucu.

Selepas ketiadaan isterinya dia dikatakan banyak berdiam diri dan bergantung hidup kepada anak, menantu serta cucu untuk menguruskan diri.

Jamali menetap di Pulau Indah, Klang bersama menantu dan lima anak mereka.



Anugerah Lawak Warna 2014 


Allahyarham pernah terlibat berlakon dalam beberapa buah filem tempatan seperti Aku Yang Berhormat (1983), Hantu Siang (1986), Mr. Cinderella 2 (2003), Senario The Movie - Episod 2: Beach Boys (2009), Semerah Cinta Stilleto (2010) dan sebuah filem Tamil berjudul Sun Sun Thatha pada 2012.

Manakala dalam program televisyen tempatan Allahyarham pernah menjadi mentor musim pertama  dalam Raja Lawak Astro 2007 dan terlibat dalam siri kartun animasi kegemaran kanak-kanak Upin & Ipin sebanyak tiga episod (watak suara Atan) yang disiarkan dalam saluran TV9 (2016).

Di kemuncak karier seninya, Allahyarham pernah dianugerahkan Anugerah Lawak Warna 2014 bagi kategori Anugerah Khas Juri – Artis Veteran.

Jamali Shadat muncul kali pertama dalam program RTM, Bakat TV pada tahun 1971. Dalam pertandingan itu, Allahyarham mendapat tempat kedua, namun telah melonjakkan namanya ke pentas seni tanah air.

Salam takziah untuk ahli keluarga Allahyarham, semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama dalam kalangan orang-orang beriman dan soleh... Al-Fatihah!! - Kitareporters


Sumber:

https://www.hmetro.com.my/rap/2021/01/667617/jamali-shadat-dah-ada-selera-makan

1
1
5
0
0

Copy Link: