HASRAT lebih 221,000 rakyat Indonesia untuk menunai ibadat haji tahun ini terpadam apabila Jakarta mengumumkan pembatalan menghantar Jemaah haji bagi tahun 2020 M/1441HIndonesia menjadi antara negara terawal yang menyatakan tidak akan menghantar jemaah haji, walaupun kerajaan Arab Saudi belum mengeluar kenyataan rasmi mengenai pengerjaan ibadat haji tahun 2020 ini. : KitaReporters

Suasana di Masjidilharam di Mekah kini sepi akibat pandemik Covid-19

Ia ekoran pandemik Covid-19 masih belum reda dan tidak mahu menanggung risiko besar terhadap jemaah khususnya dan negara umumnya.

Pengumuman ini dibuat oleh Menteri Agama Fachrul Razi, sekali gus menjadikan Indonesia antara negara terawal yang menyatakan tidak akan menghantar jemaah haji walaupun kerajaan Arab Saudi belum mengeluar kenyataan rasmi mengenai pengerjaan ibadat haji tahun ini.

Menteri Agama, Fachrul Razi mengumumkan pembatalan penghantaran jemaah haji Indonesia. - Kredit foto: Laman web Kementerian Agama RI


Jumlah jemaah haji tahun ini adalah yang teramai, sedangkan jumlah tahun lalu adalah seramai 203,350 orang. 

“Saya hari ini telah menerbitkan Keputusan Menteri Agama (KMA) Nomor 494 tahun 2020 tentang Pembatalan Keberangkatan Jemaah Haji pada Penyelenggaraan Ibadah Haji Tahun 1441H/2020M,” tegas Menteri Agama dalam sidang video di Jakarta pada Selasa, 2 Jun 2020.

Menurut Fachrul, keputusan ini sudah melalui kajian mendalam. 

Pandemik Covid-19 yang melanda hampir seluruh negara di dunia, termasuk Indonesia dan Arab Saudi, dapat mengancam keselamatan jemaah. 

Agama Islam sendiri mengajarkan menjaga jiwa adalah kewajiban yang harus diutamakan. Ini semua menjadi dasar pertimbangan dalam menetapkan keputusan tersebut, katanya.

Menteri Agama, Fachrul Razi


Selain soal keselamatan, keputusan itu diambil kerana sehingga kini Arab Saudi belum memberi kata putus mengenai urusan mengerjakan haji.

Akibatnya, menurut Fachrul, kerajaan Indonesia tidak mempunyai cukup waktu untuk melakukan persiapan yang selesa untuk jemaah.

Ikut rancangan asal, kumpulan pertama jemaah haji akan berangkat pada 28 Jun 2020.

Bayaran haji akan dipulangkan semula kepada bakal jemaah yang gagal berangkat.

Adakah keputusan diambil Indonesia ini turut akan diambil oleh Malaysia? Keputusan dijangka diambil beberapa hari lagi.

Mengikut maklumat, Arab Saudi pernah beberapa kali menangguhkan urusan mengerjakan ibadat haji termasuk pada tahun 1918 berikutan wabak selesema yang telah meragut lebih 10 juta nyawa di seluruh dunia. - KitaReporters

1
0
2
0
0

Copy Link: