Kecil-kecil cili padi, walaupun kecil tapi pedas berapi! Itulah yang dibuktikan oleh seorang anak kecil berumur sembilan tahun yang menarik perhatian warga media sosial. Sejuk perut ibu mengandung dan mereka tumpang sekaki berasa bangga melihat anak yang dilahirkan sudah mampu menyumbang jasa kepada negara walaupun baru berusia setahun jagung. : KitaReporters


 Nur Afia belajar menjahit daripada ibunya yang juga seorang tukang jahit. 


Nur Afia Qistina Zamzuri menawan hati netizen apabila kisahnya menjadi tular setelah berjaya menghasilkan baju peralatan perlindungan diri (PPE) buat petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak COVID-19 bersama ibunya!

Bayangkan, kanak-kanak yang baru berusia sembilan tahun itu sudah mempunyai kemahiran menjahit pakaian. 

Kita yang sudah dewasa inipun, bukan sahaja menjahit tak tahu, nak masukkan benang dalam jarum pun tak pandai.

Itulah keistimewaan anak kecil dari Seremban, Negeri Sembilan ini. Sementelah, dia sendiri pun kurang arif apa itu COVID-19.

Lapor Bernama, menurut ibu anak kecil ini, Hasnah Hud, segalanya bermula apabila dia menunjukkan gambar seorang kakitangan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah yang sedang memotong bahan PPE.

Kemudian anaknya itu bertanya dan menunjukkan minat untuk membantu dia menyiapkannya apatah lagi mengetahui hospital tersebut kekurangan pakaian tersebut.

Justeru, Nur Afia secara sukarela menyuarakan hasrat untuk membantu menjahit pakaian tersebut walaupun tiada upah.

Nur Afia mampu menyiapkan empat pasang baju PPE dalam masa sehari!


Kemahiran menjahit anak kecil itu mengagumkan semua orang. 

Dimaklumkan, Nur Afia belajar menjahit pada usia lima tahun daripada ibunya yang juga seorang tukang jahit.

Walaupun berpuasa, Nur Afia mampu menjahit empat pasang PPE dalam masa sehari!

Malah khabarnya Nur Afia mula meraih pendapatannya sendiri dengan menjahit sarung bantal dan pakaian-pakaian yang koyak milik jiran tetangga dan saudara maranya. - KitaReporters

1
0
1
0
0

Copy Link: