Bantu Palestin! Buat kerana Allah bukan nak jadi terkenal, popular! Nasihat Dr Sheikh Muszaphar!
Published byRAKYAT Palestin mahukan ubat, kelengkapan hospital dan bekalan makanan. Buatlah jihad kerana Allah SWT, ikhlas dan tidak perlu `menjerit` kepada dunia segala amalan kita. Insya-Allah semua akan berjalan lancar.
Itu kata-kata bekas angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang berkongsi pandangannya berkenaan isu bantuan kemanusiaan untuk Palestin dalam Facebooknya dan Instagramnya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Palestin
Katanya, banyak pihak berdasarkan bilangan trak dan bas yang ada di sempadan menunggu kebenaran memasuki Palestin untuk pelbagai tujuan. Namun begitu, wilayah bergolak sejak berabad-abad lamanya adalah tanah suci dan mereka yang berjaya memasukinya adalah atas izin Allah.
"Bila Allah izinkan masuk, buat demi jihad kerana Allah SWT bukan kerana nama atau popular. Buat dengan seikhlas hati dan lakukan dalam diam. Malah semua keperluan dan bekalan itu kita boleh salurkan melalui pertubuhan bukan kerajaan.
"Dan iringikan perjuangan mereka dengan doa dan solat harian kita," katanya.
Kredit foto: IG Dr Sheikh Muszaphar Shukor
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu membabitkan penyanyi rap, Caprice yang dikatakan tidak begitu senang dengan `menuduh` pendakwah negara, Ustaz Ebit Lew mencari populariti menerusi cara bantuan disampaikan kepada penduduk Palestin.
Dr Syeikh Muzaphar berkata dia pernah memasuki Gaza dua kali ketika berlaku konflik pada 2009 untuk berkhidmat di Hospital Syifa selama dua minggu bagi kerja kebajikan dan bantuan kemanusiaan. Dia juga turut tinggal bersama penduduk Palestin.
"Kita sentiasa mendengar rintihan mereka, perjuangan dan kesedihan dan cubalah memahami keadaan mereka. Ramai yang minta kita ke sana, menyalurkan bantuan," katanya.
Kredit foto: FB Ebit Lew
Sementara itu, Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 33, menegur Ebit Lew yang dikatakan memberikan hadiah kepada anak-anak Palestin dan bergambar dua kali untuk muatan dalam media sosialnya yang dikatakan tidak digemari oleh penduduk Gaza.
Beliau mendakwa ada penduduk yang bertanya padanya perbuatan Ebit Lew itu yang dikatakan cuba mengaibkan warga miskin negara itu kerana taktik itu boleh digunakan oleh askar Zionis untuk `mengula-gulakan` kanak-kanak Palestin dengan hadiah itu.
Dalam pada itu, berita Facebook Ebit Lew memaparkan pelbagai aktiviti termasuk usaha sama dengan Kementerian Luar Negeri Palestin dan beberapa kementerian lain, membantu membina Cultural Exhibition of Heroism and Sacrifice (Pameran Kebudayaan mengenai Keperwiraan dan Pengorbanan).
Katanya pembinaan galeri atau muzium itu bagi mengingatkan kembali apa yang berlaku pada Gaza. Berapa ramai menderita akibat kezaliman mereka. Wanita dan kanak-kanak menderita dan syahid.
"Media yang dihapuskan demi menutup kezaliman dan mengelakkan keadilan dapat ditegakkan. Keturunan yang telah dihapuskan terus. Tiada sesiapa keluarga yang tinggal. Mereka bagaikan dipenjara terbesar di dunia.
"Setiap keluarga berkongsi tidur bilik. Ini kerana mereka mahu mati bersama-sama. Bila-bila masa bom atau nuklear. Di badan sentiasa ada 1 beg kecil, siap semua dokumen yang boleh dibawa pergi jika berlaku apa-apa. Begitulah hidup mereka," katanya.
Beliau juga sangat terharu, sebak syukur rasa bila dianugerahkan sebagai Duta Muhibbah Palestine/Palestine Goodwill Ambassador kerana asalnya mahu membantu penduduk negara itu.
"Kami dijemput bertemu Menteri dan Timbalan Menteri dari Kementerian Luar Palestin, Kementerian Pembangunan Palestin, Kementerian Kebudayaan dan Belia dan diberi sijil penghargaan ini.
"Mereka menyambut dan melayan dengan sangat baik. Terharu rasa. Allahuakbar. Kita cuma orang kecil dan bukan sesiapapun. Cuma niat nak menolong sahaja. Kami berbincang untuk melaksanakan program di Palestin di masa depan. Saya bersetuju bekerjasama dengan projek Kementerian Luar - Cultural Exhibition of Heroism and Sacrifice," katanya.
Ebit Lew berterima kasih kepada Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Kerabat Diraja Johor khususnya Tengku Mahkota Johor, Menteri Luar serta Wisma Putra, dan seluruh umat Malaysia yang mendoakan dan menjayakan misi berkenaan. - KitaReporters