Isteri ditangkap khalwat! Di dalam bilik masa bersama suami?
Published by“DAHSYAT permainan mereka! Aku ditangkap khalwat ketika aku ada di dalam bilik bersama suami dan anak-anak pada pukul 11 malam tadi. Pihak Pejabat Agama datang, dalam rumah aku. Ada kakak dan anak-anaknya dan juga anak angkat keluarga kami lelaki yang belum berkahwin lagi.” Itu keluhan isteri yang ditangkap khalwat. : KitaReporters
Kredit foto-foto: FB Siti Rohayu.
Isteri mencatatkan status dalam Facebook beliau ditangkap khalwat ketika bersama suami
"Walaupun aku bersama suami tetap kena sebab ada orang bukan darah daging tinggal satu rumah. Ada suami tetapi suami tak normal katanya, Allahu... kami semua kena pergi pejabat agama dan baru dijamin oleh mak umy."
Begitulah catatan suri rumah, Siti Rohayu Ibrahim, 30, dari Kampung Kayu Kelat, Jertih, Terengganu.
Beliau terkejut apabila diserbu Penguat Kuasa Pejabat Agama Daerah Besut, pada malam 5 Mei 2020 dan dituduh berkhalwat.
Siti Rohayu bersama dua anaknya hasil perkongsian hidup dengan suaminya Muhamad Ridhwan
Ibu kepada dua anak itu yang memuat status mengenai tangkapan khalwat terhadap beliau menerusi Facebook miliknya pada rabu, 6 Mei 2020 dan mendapat perhatian netizen kerana pelik dengan kejadian berkenaan.
Sejak kisahnya tular dalam media sosial sehingga jam 10.30 malam 6 Mei 2020, lebih 32,000 yang bersimpati dengan beliau menunjukkan tanda suka, selain mendapat lebih 12,000 komen, manakala hampir 10,000 pembaca berkongsi siaran.
Lagi coretan Rohayu dalam Facebook miliknya
Menurut Rohayu atau lebih mesra dengan panggilan Umy, ketika kejadian beliau ada bersama suaminya, Muhamad Ridhwan Abdullah, 29, serta dua anak di dalam bilik rumahnya.
Manakala, kakak dan anak-anaknya serta seorang anak angkat lelaki keluarga mereka yang belum kahwin ada bersama di rumah berkenaan.
Suaminya sakit terlantar selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 2017 dan kini menjadi Orang Kelainan Upaya (OKU).
Suaminya, Muhammad Ridhwan, disahkan mengalami kecederaan pada bahagian otak setelah mengalami kemalangan apabila motorsikal yang dinaikinya dilanggar oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.
Sejak kejadian pada tahun 2017 itu, keluarga kecilnya terputus sumber pendapatan memandangkan beliau merupakan ketua keluarga bagi isteri dan anak-anaknya.
Rohayu bersama dua anak serta suaminya yang terlantar sakit sejak tiga tahun lalu
Ketika ini, isterinya, Siti Rohayu menampung kos keperluan keluarga dengan berniaga secara online dan bekerja di kedai yang berhampiran dengan rumah beliau.
Jika Rohayu bekerja di kedai, dia pasti akan berulang-alik dari rumah ke kedai untuk memeriksa keadaan suaminya.
Sebelum ini, Ridhwan hanya menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Kini, beliau sedang melatih diri untuk berjalan menggunakan tongkat 4 kaki.
Rohayu sangat gembira dengan usaha suaminya itu.
Kes penangkapan suri rumah berkenaan menarik perhatian netizen dan meminta penjelasan dari pihak Pejabat Agama bagi mempastikan perlakuan itu difahami orang ramai.
Selepas tular status dalam Facebook miliknya, terbaharu Rohayu mengeluarkan tiga klip video berhubung kejadian yang menimpa dirinya dan meminta orang ramai terutama penyokongnya bersabar dan jangan salahkan pihak berkuasa, sebaiknya menunggu keputusan siasatan.
Bagaimanpun, rata-rata netizen tidak puas hati dengan tindakan pejabat agama terbabit dan mahu pihak terbabit memberi penjelasan.
Rohayu dituduh dengan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 31 (B) Enekman ETJS (T) TRG 2001 dan dikenakan Bon Jaminan RM,2000 (Akuan Mulut).
Kes beliau akan disebut di Mahkamah Rendah Syariah Besut pada 25 Ogos 2020.
Mojo Kitarepoters berusaha menghubungi Pegawai Agama Daerah Besut untuk mendapatkan penjelasan tetapi gagal. - KitaReporters
Bon jaminan Rohayu dibuat oleh ibunya