PERIBAHASA Melayu ada menyebut, iaitu 'condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegak' bermaksud menolong orang yang ketika ditimpa kesusahan atau bencana. Maka, yang condong perlu bantuan untuk ditegakkan, yang rebah perlu sokongan untuk bangkit semula. : KitaReporters


Barang keperluan dapur sumbangan Ahli Parlimen Jerantut dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan yang baharu tiba dari bandar Jerantut dibawa turun dari kenderaan pacuan empat roda sebelum diagihkan kepada pengusaha dan penggiat ekopelancongan di Taman Negara Kuala Tahan. - Kredit foto: FB Ahmad  Nazlan


Lagi cerita-cerita berkaitan Jerantut:

https://kitareporters.com/search?search=jerantut


Konotasi peribahasa berkenaan lebih tepat ditujukan kepada dua orang wakil rakyat di Jerantut, iaitu Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin yang turun 'lapangan' menghulurkan bantuan keperluan dapur kepada seramai 400 orang penduduk Taman Negara Kuala Tahan pada 23 Oktober 2020 lalu. 

Bantuan dalam bentuk keperluan dapur disumbangkan oleh kedua-dua orang wakil rakyat itu berikutan tekanan kesusahan yang ditanggung oleh penduduk berkenaan yang terdiri daripada pengusaha hospitaliti, pemandu bot penambang, pemandu alam sekitar (guide nature), 'porter' (pembawa barang), pengendali makanan dan restoran terapung, agensi pelancongan serta penggiat ekopelancongan taman itu selepas ketiadaan pendapatan selama penutupan sementara taman peranginan itu mulai 6 hingga 22 Oktober 2020 lalu.


AHMAD NAZLAN IDRIS


Menurut Ahmad Nazlan, kerajaan cukup memahami tekanan yang ditanggung oleh pengusaha dan penggiat sektor ekopelancongan dalam tempoh penutupan sementara Taman Negara sebelum ini dengan menzahirkan keprihatinan membantu kesusahan yang mereka alami hampir tiga minggu.

"Sumbangan keperluan dapur ini sekurangnya dapat meringankan beban perbelanjaan mereka dalam tempoh pemulihan selepas taman ini dibuka pada 23 Oktober 2020 serta yakin kehadiran ramai pelawat domestik mulai hujung minggu ini, sekali gus mampu menjana semula pendapatan masing-masing.


Ahmad Nazlan Idris (kiri) dan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (dua dari kanan) melihat barang keperluan dapur untuk disumbangkan kepada pengusaha dan penggiat ekopelancongan yang terkesan akibat penutupan sementara Taman Negara pada 6 hingga 22 Oktober 2020 lepas. - Kredit foto: FB Ahmad Nazlan


"Saya berharap semua pengusaha dan penggiat ekopelancongan di taman ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP), pemakaian pelitup muka, etika kebersihan berasaskan amalan norma baharu di samping berdoa supaya pandemik COVID-19 beransur pulih bagi membolehkan sektor ekopelancongan di sini terus rancak semula," katanya di Kampung Kuala Tahan, Jerantut pada 23 Oktober 2020. 


NORIS FARISA NORDIN


Sementara itu, pengusaha Julie's Guest House Kuala Tahan, Noris Farisa Nordin berkata, dia dan rakannya bersyukur dan berterima kasih kerana memperoleh bantuan daripada kedua-dua wakil rakyat tersebut termasuk pembukaan taman peranginan itu semula oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kepada pengunjung domestik.

"Bantuan keperluan dapur (makanan) ini mampu meringankan perbelanjaan kami dalam tempoh beberapa hari ini setelah beberapa minggu terputus punca pendapatan akibat ketiadaan pengunjung menginap berikutan penutupan sementara taman ini. 

"Penutupan sementara taman ini secara 'mengejut' diibaratkan 'ketika baru hendak tarik nafas, diselam kembali ke dalam air'. Begitulah yang saya alami bersama rakan pengusaha di sini baharu sahaja pulih perniagaan ini selepas berakhir tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini terjejas semula pendapatan akibat penutupan taman ini kali kedua," katanya.

Selanjutnya, Noris Farisa berkata, perkara yang amat perit dialami sehingga ini, iaitu setiap tempahan bilik pusat inap sebelum ini serta merta dibatalkan oleh pengunjung apabila mendengar berita penutupan taman itu pada 6 Oktober 2020 lalu.


ABDUL JALIL ABD RAHMAN


Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd Rahman berkata, dia berterima kasih kepada kedua-dua orang wakil rakyat tersebut kerana cakna dan endah dengan rintihan kesusahan yang dialami oleh pengusaha dan penggiat ekopelancongan di situ.


Abdul Jalil Abd Rahman (kiri) membantu Ahmad Nazlan Idris (dua dari kiri) dan disaksikan oleh Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (kanan) membuka kotak berisi barang makanan di Kuala Tahan, Jerantut pada 23 Oktober 2020. - Kredit foto: FB Ahmad Nazlan


"Kita berharap bantuan ini dapat meringankan perbelanjaan mereka yang terbabit untuk pulih dalam minggu ini sementara memperoleh pendapatan semula selepas pelawat domestik berkunjung semula ke taman ini dijangka mulai 24 Oktober 2020 dan tempoh sebulan sebelum kami berdepan musim tengkujuh pula.

"JKKK dan Bird Group Taman Negara (BGTN) masih lagi menerima bantuan makanan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar dan kita dalam usaha mengagihkannya (menyampaikan) kepada penduduk Orang Asli etnik Batek di lima buah kampung pesisir Sungai Tembeling berdekatan Taman Negara minggu ini," ujarnya.

Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (kanan) dan Ahmad Nazlan Idris (kiri) sedang menyampaikan bantuan keperluan dapur kepada seorang penggiat ekopelancongan di Kuala Tahan, Jerantut pada 23 Oktober 2020.

1
0
0
0
0

Copy Link: