BAGI masyarakat umum, seseorang artis yang memiliki kelayakan akademik tinggi sudah dikira sempurna hidup di dunia ini. Ia cukup pakej sebagai ikon, penghibur, dikenali dan cerdik pandai. Tapi berapa ramai artis kita memiliki kelayakan akademik yang tinggi seperti sarjana dan doktor falsafah?? : KitaReporters


Lagi cerita-cerita berkaitan hiburan:

https://kitareporters.com/tag/hiburan


Sudah tentu mentaliti masyarakat terhadap mereka ini cukup berbeza sekali. Apa yang difikirkan oleh masyarakat terhadap artis yang punya kelayakan tinggi sehingga peringkat Master atau PhD adalah cukup serba serbi. 

Namun penyanyi Dr. Soo Wincci, 35, mendedahkan sebaliknya. 

Beliau berkongsi pengalaman terpaksa makan sisa makanan pelajar lain disebabkan kekangan wang sewaktu melanjutkan pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di Sepanyol, beberapa tahun lalu.

Wincci berkata, dia hampir putus asa meneruskan pengajiannya apatah lagi ramai menasihatkan dia pulang dan teruskan kerjaya sebagai artis di tanah air.

“Beberapa tahun lalu, apabila wang saya berbaki RM4.90 (1 Euro) di Sepanyol, saya tidak dapat pulang disebabkan isu visa yang ketat serta peraturan universiti.

“Terus-terang, setiap hari saya risau mengenai yuran pengajian, pinjaman hutang, kena marah, diketawakan dan markah universiti.

“Sambil mengisi perut dengan sisa makanan pelajar lain, saya hampir putus asa dan bertanya kenapa hidup orang lain senang. Sedangkan saya pada usia 33 ketika itu sangat bodoh kerana mahu bermula dari bawah semula,” katanya.


Bagaimanapun, graduan PhD dalam bidang Produksi Artistik di University of Polytechnic, Sepanyol itu terus kuatkan semangat untuk terus menamatkan pengajian.

“Ramai menyuruh saya untuk balik saja dan teruskan menikmati populariti yang sudah diraih. Tapi, saya tetap berkeras mengejar impian, tidak beralah dan tiada sesalan untuk tempuh setiap dugaan,” katanya.

Wincci memiliki ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of Reading, United Kingdom berserta tiga sarjana lain iaitu Sarjana Pentadbiran Perniagaan (University of Sunshine Coast, Australia); Sarjana Produksi Muzik, Teknologi dan Inovasi (Berklee Valencia, Sepanyol); dan Sarjana Fellowship Live Music Production (Berklee Valencia, Sepanyol).


Lebih membanggakan, Wincci juga berjaya memperoleh PhD Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Terbuka Malaysia (OUM) sebelum itu. 

Ini sekali gus meletakkan beliau sebagai seorang rakyat Malaysia yang memperoleh lima ijazah tertinggi dalam tempoh 15 tahun sahaja.

Justeru, Wincci telah menerima dua pengiktirafan dari Malaysia Book of Records sebagai Most Number of Academic Degrees Obtained by A Beauty Queen (Ratu Cantik Yang Memiliki Ijazah Pengajian Paling Banyak) dan Most Number of Academic Degrees Obtained by a Recording Artist (Artis Rakaman Yang Memiliki Ijazah Pengajian Paling Banyak). - KitaReporters



5
3
0
0
0

Copy Link: