Kausar Kasih gembirakan hati warga emas! Kausar Wealth hulurkan sumbangan sempena Aidilfitri!
Published bySebahagian perunding pewarisan harta Islam menyusun barangan untuk diagihkan kepada warga emas dari Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia dan Nur Hasanah.
LEBIH 30 perunding pewarisan harta Islam dari Kausar Wealth Management Sdn Bhd berganding bahu mengumpulkan dana untuk berkongsi rezeki pada penghujung Ramadan dengan warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, di Semenyih dan Pusat Jagaan Nur Hasanah di Beranang, Selangor.
Dalam masa dua bulan mereka membuat perancangan rapi dan mencari dana untuk membeli pelbagai barangan makanan keperluan asas, peralatan bantuan kesihatan dan kelengkapan bersolat untuk disumbangkan kepada pusat jagaan berkenaan menerusi Program Kausar Kasih yang dilaksanakan sejak lima tahun lalu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pusat jagaan
Pengasas syarikat pengurusan wasiat dan hibah keluarga terbaik itu, Khamarul Azhar Hashim, berkata hasil perbincangan dengan perunding terbabit mereka bersetuju untuk membantu warga emas dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU), tiada waris selepas sekian lama terlantar di hospital dan disisih ahli keluarga pada tahun ini.
Menurutnya, hasil pengumpulan dana yang disumbangkan pelbagai pihak termasuk daripada korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang menginfakan harta untuk pewarisan program itu berjaya dilaksanakan.
Khamarul Azhar Hashim (tiga dari kanan) dan Suzana Abu Bakar (dua dari kanan) bersama sebahagian peralatan bantuan kesihatan yang disumbangkan menerusi Program Kausar Kasih.
Katanya, dalam
program yang sama sebelum ini mereka lebih tertumpu berkongsi rezeki dan
menghulurkan bantuan serta duit raya kepada anak yatim, keluarga miskin, asnaf
di samping penduduk yang mendiami kediaman
Program Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Lembah Kelang apabila terkesan dengan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.
“Untuk
jangka panjang kami merancang untuk menubuhkan sebuah yayasan supaya bantuan
amal kebajikan dapat disalurkan secara berterusan dan lebih tersusun selain
mereka yang menginfakkan harta melalui perancangan pewarisan akan turut membina
saham akhirat apabila sudah meninggal dunia.
Suzana dan Khamarul menghulurkan sumbangan kepada seorang warga emas di pusat berkenaan.
“Kita sedang meneliti perkara ini apabila mendapati sudah banyak dilaksanakan di negara Islam apabila pahala bersedekah dengan menginfakkan harta dalam kerja amal kebajikan turut dinikmati mereka walaupun sudah meninggal dunia,” katanya yang ditemui pada majlis penyerahan sumbangan program berkenaan dan bantuan wang RM30,000 di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, pada Ahad 9 Mei 2021 lalu.
Turut hadir pada majlis itu Penaung program, Suzana Abu Bakar; Pengarah program, Ema Izzaila Ibrahim; Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah, Mohiadin Bahado; dan Penasihat Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman.
Dua perunding menghulurkan sumbangan kepada seorang warga emas.
Suzana
berkata, ada antara sumbangan itu diterima daripada ahli-ahli Kausar yang berada di
luar negara apabila sama-sama ingin berkongsi kongsi rezeki dengan warga emas
supaya mereka turut bergembira menyambut Aidilfitri.
“Bagi perunding yang terbabit pula mereka begitu bersemangat mencari dan mengumpul dana untuk terbabit dalam kerja amal kebajikan pada Ramadan disamping ingin meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung pengurusan pusat berkenaan,” katanya.
Seorang petugas yang gigih membantu warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia turut disantuni dalam Program Kausar Kasih.
Ema Izzaila pula berkata, dana yang dikumpul hasil sumbangan korporat, NGO, individu serta ahli Kausar itu diharap dapat dimanfaatkan oleh penghuni supaya dapat menghilangkan rasa kesedihan mereka menyambut Aidilfitri terutama warga emas yang disisih keluarga serta menghadapi masalah kesihatan. - KitaReporters
Dari kiri, Ema Izzaila, Khamarul dan Suzana menyerahkan sumbangan wang RM30,000 kepada Mohiadin dan Azman pada majlis berkenaan.