SHASHI KAPOOR dan Rakhee Gulzar dalam satu adegan 'Jaanwar Aur Insaan'. - Kredit foto: youtube.com


SEWAKTU penggambaran filem, sedikit kesilapan boleh membawa padah. 

Aktres Rakhee Gulzar, 73, nyaris ‘dikerjakan’ oleh seekor harimau ketika penggambaran filem ‘Jaanwar Aur Insaan’ (Haiwan dan Manusia) gara-gara harimau terlibat melakukan lebih daripada yang sepatutnya dilakukan. Inilah padah apabila sesuatu yang tidak diduga berlaku di set penggambaran. 

Ketika penggambaran filem Bollywood arahan Tapi Chanakya keluaran tahun 1972 itu, terdapat satu adegan di mana Rakhee, heroin filem tersebut, dikejar oleh harimau. Setelah dikejar untuk beberapa ketika, dia dikehendaki melompat ke dalam parit untuk menyelamatkan diri. Harimau pula patut berhenti mengejar selepas Rakhee melompat ke dalam parit.

Tetapi entah di mana silapnya harimau terlatih itu ‘gagal’ menurut skrip. Maklum haiwan, bagaimana terlatih pun tidak akan faham seperti manusia. Malah manusia sendiri pun kadangkala membuat silap.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Bollywood

AKTRES jelita Rakhee pada masa muda, heroin filem 'Jaanwar Aur Insaan'. - Kredit foto: Pinterest


SHASHI KAPOOR bintang utama filem 'Jaanwar Aur Insaan' keluaran tahun 1972. - Kredit foto: Wikipedia 


Setelah Rakhee jatuh ke dalam parit, harimau itu turut melompat ke dalam parit menerkam ke arahnya. 

Mujurlah di saat cemas itu hero filem berkenaan, Shashi Kapoor, dengan pantas menarik Rakhee dari dalam parit sementara harimau itu jatuh ke dalamnya.

Bayangkan apa terjadi jika Rakhee masih di situ. Kemungkinannya jika tidak dibaham pun, Rakhee akan cedera teruk digigit atau dicakar.

Peristiwa mendebarkan ini diceritakan sendiri oleh Rakhie, 73, kepada Times of India ketika mengingati kisah silamnya berlakon bersama Shashi Kapoor sempena ulang tahun ke-83 aktor itu jika dia masih hidup. 

Shashi meninggal dunia pada 4 Disember 2017.

Rakhee menyifatkan adegan dikejar oleh harimau itu sangat menakutkan dan sentiasa terpahat dalam ingatan. Dia sangat berterima kasih kepada Shashi yang telah menyelamatkannya pada saat genting.

Kepantasan Shashi menarik Rakhee keluar dari parit sebelum harimau itu sempat menerkamnya telah menyelamatkannya daripada kejadian buruk. Dia tidak dapat membayangkan apa akan terjadi jika dia masih di dalam parit.

Harimau tersebut jatuh terhempas dalam keadaan terlentang. Tidak lama kemudian harimau tersebut mati dipercayai cedera dalaman akibat jatuh dalam penggambaran itu.  


POSTER filem 'Jaanwar Aur Insaan' arahan Tapi Chanakya keluaran 1972. - Kredit foto: cinestaan.com


Menurut Rakhee, sebenarnya dia tidak mahu membintangi ‘Janwar Aur Insan’  tetapi dipujuk oleh Shashi. Rakhee sendiri tidak selesa ketika menjalani penggambaran. Namun dia melakukannya demi Shashi, seorang pelakon yang dihormati dalam dunia filem Bollywood.

Selain ‘Janwar Aur Insan’, Rakhee dan Shahsi pernah membintangi filem pecah panggung, ‘Sharmilee’. Rakhee memegang dua watak sebagai adik beradik kembar berwajah sama dalam filem itu. 

Satu sebagai gadis desa yang baik hati dan berkahwin dengan Shashi. Satu lagi sebagai kembar jahat yang cuba menyamar sebagai isteri Shashi dan merosakkan rumah tangganya.

Rakhee dan Shashi sepatutnya membintangi tiga lagi filem bersama selepas Sharmilee, iaitu Jeena Teri Gali Mein arahan pengarah hebat, Prakash Mehra. Tetapi filem Hindustan ini tidak siap, terhenti di tengah jalan. Selain itu ialah filem Captain Karanveer diarahkan oleh Lekh Tandon dan Witness arahan Raj Mabros. Kedua-dua filem ini juga tidak menjadi kenyataan.

Namun mereka pernah bergabung dalam filem pecah panggung Trishul arahan pengarah tersohor, Yash Chopra. Filem keluaran tahun 1978 itu turut dibintangi Amitab Bachchan, Hema Malini dan Sanjeev Kumar.

Rakhee menyifatkan Shashi seorang pelakon yang memiliki banyak kualiti terpuji. 

Katanya, antaranya, Shashi sentiasa menepati waktu tiba di set penggambaran, periang serta selalu memberi tunjuk ajar. Rakhee megakui banyak belajar daripada Shahshi melalui filem Sharmilee.

Rakhee memberitahu, sewaktu penggambaran, mereka berkongsi jurumekap. Tetapi baginya Shashi sebenarnya tidak perlukan jurumekap kerana wajahnya memang sudah menawan. Dia memang jejaka tampan. - KitaReporters



ADEGAN Shashi Kapoor membunuh harimau yang mengancam keselamatan diri dan keluarganya dalam 'Jaanwar Aur Insaan'. - Kredit foto: youtube.com

1
2
0
0
0

Copy Link: