Mereka wirawati kebanggaan Bebar! Mereka mangsa banjir tapi tetap masuk dapur untuk memasak!
Published bySIKAP saling membantu antara satu sama lain dalam kalangan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) termasuk menjadi tukang masak secara 'bidan terjun' amatlah dihargai. Bukan mudah untuk menyediakan masakan dalam kuantiti yang besar tetapi dengan kerjasama erat itu mereka tidak kekok untuk menyediakan masakan dalam kuantiti yang banyak. : KitaReporters
Kumpulan wanita yang memasak di PPS Kg Pulau Rumput, Bebar, Pahang. - Kredit foto-foto: FB Fakhruddin Ariff
Tidak terkecuali sebahagian daripada mangsa banjir di PPS Kampung Pulau Rumput, Bebar di Pekan, Pahang yang sanggup berbuat demikian.
Banjir yang melanda negeri Pahang baru-baru ini meninggalkan 'trauma' yang bukan sedikit dalam kalangan lebih 27,000 penduduk di beberapa daerah seperti Temerloh, Maran, Lipis, Kuantan, Jerantut, Raub, Pekan, Bera Dan Rompin.
Sebaik banjir reda, pelbagai bantuan mulai tiba untuk membantu mangsa banjir di setiap kawasan yang terlbat.
Perasaan suka, duka, sedih dan gembira saling bercampur baur. Pelbagai kisah dirakam pihak-pihak yang terbabit sama ada pengamal media, sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Tidak terkecuali satu kisah menarik di PPS Pulau Rumput, Bebar, Pekan apabila mangsa banjir sendiri bertindak sebagai 'tukang masak' untuk menyediakan makanan kepada 'rakan banjir' mereka di situ turut dikongsi di laman media sosial Facebook.
Mereka ikhlas memasak untuk kira-kira 100 mangsa banjir yang telah berada di situ hampir dua minggu. Syabas diucapkan kepada geng bidan terjun ini!
Menerusi perkongsian di Facebook miliknya, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Bebar menyatakan mereka yang bekerja dalam suasana ceria akan menghasilkan masakan yang enak dan secara tidak langsung membantu menggembirakan mereka yang sedang berduka.
Mohammad Fakhruddin menulis :
"Tugas mereka adalah sebagai tukang masak untuk mangsa banjir. Merekalah yang akan menyediakan masakan yang sedap dan lazat untuk dijamu hampir 100 orang mangsa banjir yang telah 2 minggu berada di situ.
"Tugas yang diberikan tidak sedikitpun membebankan mereka malah semakin ceria dan bersemangat. Jika tukang masak ceria seperti ini sudah tentu yang makan masakan mereka nanti juga akan turut serta gembira. Anak-anak mereka, pelapis masa hadapan juga dilihat gembira membantu ibu-ibu mereka memasak.
"Memasak merupakan salah satu kunci kepada kegembiraan. Hanya mereka yang suka memasak sahaja yang akan merasainya. Memasak dengan gembira akan menghasilkan masakan yang juga menggembirakan.
"Patutlah kari ayam semalam sedap, kerja mereka ini rupanya.
“Suka-suka je guys.. untuk menghilangkan kebosanan nak hiburkan hati ini, sudi-sudilah makan masakan kami," ibarat kata Sasa Jual Rempah.
"Kepada, Sasa Jual Rempah, Kak Long Kawasan, Ida Bise, Kema Bini Tok4, Kak Nor, Mak Long SA dan Kak Niah sememangnya anda semua terbaik. Teruskan memasak dengan gembira. Anda semua merupakan wirawati kebanggaan Bebar."
Kisah mereka yang turut dikongsi salah seorang 'tukang masak' yang juga pengguna Facebook dengan nama Meylis Sasa menerima komen positif.
Rata-rata memuji masakan dan menghargai tugas memasak yang dilakukan.
Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Bebar menikmati hidangan di PPS Kg Pulau Rumput
Tidak semestinya apabila kita sebagai mangsa banjir hanya duduk goyang kaki menunggu makanan disediakan sepanjang masa. Apa salahnya kita luangkan sedikit masa dengan membantu apa-apa yang patut sama seperti kumpulan wanita ini. Kerja murni dan seikhlas hati pasti menerima ganjaran yang besar. - KitaReporters