KITA sudah biasa mendengar Batman, Superman, Spider Man, Ant Man. Ini semua watak-watak popular dalam filem Hollywood. Selain itu ada siri TV popular tahun 70-an, The Six Million Dollar Man. Filem Melayu pun tidak kurang hebat. Mereka ada Keluang Man, ada Cicak Man. : KitaReporters

GALERI Arkeologi Lembah Lenggong di Kota Tampan, Lenggong menyimpan rangka dan sejarah kehidupan Perak Man yang berusia lebih 10,000 tahun lalu.


Tetapi ada satu lagi ‘Man’ yang mungkin ramai daripada kita belum pernah mendengarnya, iaitu Perak Man. Sesuai dengan namanya, Perak Man wujud di negeri Perak. Tetapi ia bukan cerita masa kini, sebaliknya kisah yang sudah berlalu lebih 10,000 tahun lalu.  

Perak Man tidak boleh terbang seperti Superman atau bergayut dan menjalar di dinding seperti Spider Man. Dia hanya manusia biasa, manusia prasejarah. Kisah hidupnya diabadikan di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong di Kota Tampan, Lenggong, Perak. Melawat arkeologi tersebut baru-baru ini memberi peluang penulis menelusuri riwayat hidup Perak Man.

RANGKA Perak Man di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong disimpan dalam bekas kaca kedap udara yang dijaga dengan rapi dan sentiasa dipantau suhu dan kelembapannya.


Rangka Perak Man tersimpan kukuh dalam arkeologi tersebut dan dijaga rapi. Ia dipercayai rangka manusia paling lama pernah dijumpai di Malaysia atau Asia Tenggara sehingga kini. Ia ditemui pada 1991 dalam kerja-kerja ekskavasi (excavation) atau penggalian di Gunung Runtuh, beberapa kilometer ke utara pekan Lenggong pada ketinggian 105 meter dari paras laut.

Rangka ditemui dalam keadaan tidak terusik dan dengan itu menyediakan data kukuh untuk membuat analisis dan tafsiran terhadap artifak tersebut. Ini adalah rangka purbakala paling lengkap ditemui di Asia Tenggara. Turut ditemui bersama rangka Perak Man ialah ialah 10 peralatan batu, termasuk alat senjata seperti pemukul.

KAWASAN ekskavasi di di mana rangka Perak Man ditemui di Gunung Runtuh, Lenggong, Perak pada 1991. - Kredit foto: Research Gate Net.


Kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi dijalankan antara 1990 hingga 1991 oleh pelajar-pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) yang diketuai pensyarah, Dr Zuraina Majid (Prof. Emeritus Datin Paduka Dr. Zuraina Majid) dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia. Hasil ekskavasi mendedahkan manusia prasejarah telah menduduki gua tersebut bermula kira-kira 13,000 tahun dahulu. 

Prof. Emeritus Datin Paduka Dr. Zuraina Majid. - Kredit foto: FB Jabatan Muzium Malaysia


 

PASUKAN pengkaji dan ekskavasi daripada Universiti Sains Malaysia (USM) yang membuat penyelidikan antara tahun 1990-1991 serta menemui rangka Perak Man di Gunung Runtuh, Lenggong, Perak.


Gunung Runtuh digunakan sebagai tempat kediaman, penyediaan makanan, memasak serta pembuatan peralatan daripada batu. Hasil kajian dan ekskavasi inilah yang menemukan rangka Perak Man. Dipercayai hanya dia seorang yang dikebumikan di kawasan gunung itu.

Perak Man dipercayai dilahirkan lebih 10,000 tahun lalu dalam keadaan cacat dan badannya agak pendek. Bagaimanapun rangka ini diketahui milik lelaki (Perak Man) dan bukan seorang perempuan? Jantina dikesan dengan mengkaji tulang punggung, sakrum (tulang komposit membentuk belakang pelvis) dan tengkorak serta tulang paha. Kesemua ini merupakan petunjuk jantina yang kuat.

LAKARAN wajah Perak Man yang dilahirkan cacat lebih 10,000 tahun lalu diabadikan di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong, Perak.


Dengan meneliti bahagian tengkorak, ciri-ciri kelelakian diperkukuhkan lagi oleh tulang oksipital (tulang bahagian belakang dan bawah tengkorak) yang besar, juga proses pembentukan karang dan gigi. Dagu rahang bawah bersegi memaparkan ciri lelaki. Jika perempuan, ia sepatutnya bulat dengan tanda garis tengah. Sakrum berbentuk lengkung dengan dimensi yang memanjang berbanding kelebarannya merupakan satu lagi tanda kuat ia seorang lelaki.

Bahagian atas kiri badan Perak Man menunjukkan bukti kecacatan anggota badan yang berpanjangan, mungkin sebahagiannya lumpuh. Pergelangan tangan kiri dan keseluruhan tangan juga cacat.

Kerana itu tangan kanan dipercayai lebih banyak digunakan dalam kehidupan seharian. Kecacatanya juga menjadikan dia sukar bergerak pantas, terutama untuk berburu. Kerana itu dia dipercayai melakukan kerja-kerja lebih ringan.

Struktur tulang belakangnya juga menggambarkan Perak Man menghidap sakit tulang belakang. Tempurung lutut pada kedua-dua bahagian kaki menunjukkan dia mencangkung secara  berlebihan atau berpanjangan sejak kecil.

Meskipun cacat, Perak Man hidup hingga usia tua, dipercayai antara 40 hingga 45 tahun, dua kali ganda daripada purata jangka hayat masyarakatnya. Ini kerana jangka hayat masyarakat zaman paleolitik adalah sekitar 20 hingga 30 tahun sahaja.

DIORAMA kehidupan masyarakat zaman batu di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong, Lenggong, Perak. 


Anggaran jangka hayat Perak Man ini diasaskan kepada beberapa ciri, misalnya kesan ruas tulang belakang tengkuk, penipisan tulang belikat, penyusutan tulang periodontal dan tahap kehausan gigi.

Kajian juga menunjukkan Perak Man mati atas sebab biasa, bukan keganasan kerana tidak ada petunjuk ke arah itu. Dipercayai dia seorang yang dihormati atau dianggap ketua dalam masyarakat. Ini dapat digambarkan melalui cara pengkebumian yang teliti dan penuh penghormatan untuknya.

KERJA-KERJA mencari tapak arkeologi, mengkaji dan melakukan ekskavasi tugas yang rumit dan penuh mencabar.


Perak Man dikebumikan bersama kerang-kerangan (shells) dan peralatan batu yang diletakkan di sekeliling dan di atas jasadnya. Tangan kanan diletakkan pada bahagian atas bahu dan tangan kiri berada di perut. Kedua-dua kaki dilipat sehingga menyentuh dada.  

Anda boleh menyaksikan sendiri rangk Perak Man di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong pada kedudukan hampir sama dengan ketika ia dijumpai. Rangka disimpan dalam kabinet kaca kedap udara yang dibina khusus bersama-sama dengan alat mengukur kelembapan dan suhu.


Berkunjunglah ke Galeri Arkeologi Lembah Lenggong untuk memahami sendiri susur kehidupan Perak Man. Lihatlah rangkanya yang banyak memberi maklumat kepada generasi hari ini mengenai kehidupan Perak Man, masyarakatnya serta kisah manusia awal di dunia. Rangkanya adalah tinggalan sejarah yang sangat berharga, dipelihara untuk tatapan manusia sejagat.

Maka, selepas ni, kalau ada orang bertanya: Man apa? Jawablah dengan tenang; Perak Man! - KitaReporters

65
30
2
6
9

Copy Link: