Rumah yang didiami Hashim dari Gong Nering ibarat menunggu masa untuk menyembah bumi 


KEDAIFAN warga emas, Hashim Hamzah, 60, dari Kampung  Gong Nering, Beris Baru, Kuala Besut, Terengganu, yang tinggal  dalam sebuah reban ayam bagi menghabiskan sisa-sisa hidupnya akhirnya mendapat perhatian daripada pihak yang prihatin dengan nasib lelaki tersebut.

Hashim yang tinggal sebatang kara di reban ayam dalam kebun getah milik rakannya sejak lima tahun lalu selepas berpisah dengan isteri dan anak-anaknya bakal mendapat sebuah rumah yang akan dibina oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


Lagi kisah menarik berkaitan kemiskinan


Hashim hidup sebatang kara dan tinggal di reban ayam yang diubah suai untuk dijadikan tempat berteduh


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan Pengurus Projek Rumah Asnaf Muszleem Malaysia, Mohd Izzat Mohd Zubir, yang berkunjung ke lokasi kediaman warga emas tersebut bersepakat untuk membantu membina semula kehidupan warga emas berkenaan.

Tengku Zaihan berkata, pihaknya kini sedang berusaha meminta bantuan Jabatan Kebajikan Rakyat (JKM) untuk memberi pertimbangan supaya diberikan bantuan bulanan kepada Hashim.


Tengku Zaihan (kanan) dan Mohd Izzat  melihat Hashim memasak menggunakan dapur kayu ketika berkunjung ke reban ayam tempat tinggal warga emas tersebut


Manakala Mohd Izzat berkata, pihaknya memerlukan sejumlah RM35,000 untuk membina rumah bagi menempatkan Hashim tinggal di tempat yang lebih selesa dan bersih.

"Insya-Allah kami akan cuba melengkapkan keperluan asas, kita cuba secepat mungkin bergantung kepada sumbangan daripada orang ramai," katanya.


Tengku Zaihan (kanan) dan Mohd Izzat (kiri) berbincang untuk menyelesaikan masalah kehidupan Hashim


Mohd Izzat mewakili NGO Muszleem Malaysia berkata, sehingga kini pihaknya sudah mengumpul RM10,000 hasil sumbangan orang ramai melalui pertubuhan itu bagi tujuan membina rumah untuk Hashim.

Katanya, dengan sumbangan berkenaan, pihaknya akan membina sebuah kediaman yang lebih selesa kepada warga emas berkenaan bagi meneruskan kehidupan.

"Kami akan membina sebuah rumah yang sesuai dengan menyediakan ruang bilik dan juga bilik air kerana kami dimaklumkan peringkat awal, Hashim tinggal di rumah tersebut yang tidak mempunyai elektrik, tidak mempunyai sumber air bersih,” katanya.


Hashim Hamzah tidak menyangka keperitan yang dilalui mendapat perhatian dan menyebabkan dia bakal berpindah ke rumah baharu tidak lama lagi.


Kisah perjalanan hidup warga emas berkenaan pernah disiarkan oleh portal KitaReporter pada 8 Oktober 2021.

(Tolong kami! Bantu Hashim Hamzah! Warga emas hidup sebatang kara! Di dalam reban ayam 5 tahun!)

Hashim menghadapi realiti hidup dan terpaksa tinggal dalam reban ayam sebagai tempat tinggal akibat dibelenggu oleh kemiskinan.

Bukan itu sahaja, dia yang tinggal sebatang kara tetap gigih dan tabah setelah melalui peristiwa hitam lalu dan kini bersendirian mengharungi hidup yang serba kekurangan.

Di reban ayam tersebut dia menumpang tempat berteduh dengan tiada sebarang kemudahan asas termasuk bekalan eletrik, sebaliknya berbekalkan lampu sumbu menggunakan minyak masak sebagai cahaya untuk menerangi waktu malam. 

Reban ayam yang menjadi tempat tinggal Hashim juga tiada mempunyai bilik air dan tiada dapur. 


Hashim berdiri di depan reban ayam manakala di bahagian belakang adalah bilik tidurnya.


Menurut Hashim, dia tinggal di situ adalah dengan ihsan seorang kawan diberi tinggal direban ayam.

Makan minumnya dimasak sendiri hasil daripada menoreh getah dimiliki tuan reban ayam. 

Katanya, pihak tuan tanah memberi kebenaran untuk beliau mengubah suai reban ayam sebagai tempat kediaman bagi beliau meneruskan kehidupan.

Beliau yang mengalami penyakit lelah dan bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan mingguan RM200 mengubah suai reban ayam tersebut kerana tidak mempunyai tempat lain untuk dijadikan kediaman.

“Saya bersyukur kerana tuan tanah membenarkan saya tinggal di tanah miliknya dalam kebun getah dan dapat berteduh daripada hujan dan panas walaupun terpaksa tinggal bersama ayam ternakan,” katanya. 


Mohd Izzat yakin dapat membina kediaman baharu hasil sumbangan daripada orang ramai serta kerjasama daripada wakil rakyat setempat.


Malah dia tidak menyangka akan berpindah di kediaman yang lebih selesa tidak lama lagi.

Beliau, yang pernah berumah tangga  dan mempunyai tiga anak dua lelaki dan seorang perempuan berusia antara 14 dan 21 tahun, sudah lebih lima tahun berpisah. 

“Walaunpun tinggal sebatang kara dalam reban ayam tetapi saya tetap gembira dan bersyukur kerana masih mampu melakukan kerja menorah getah dan menternak ayam sebagai sumber pendapatan,” katanya.

Jika ada pihak yang bersimpati dan ingin membantu Hashim bolehlah menghubungi Mohd Izzat Zubir, Pengurus Projek Rumah Asnaf melalui talian 018-9091687. - KitaReporters


Tengku Zaihan menyampaikan sumbangan barangan asas kepada warga emas Hashim yang tinggal di reban ayam

 

10
15
1
17
0

Copy Link: