Dah 3 tahun kahwin! Dah ada anak-anak! Baru tahu wali bukanlah adik kandung! Dia anak angkat!
Published byPENGAMBILAN anak angkat sungguh sinonim untuk mereka yang susah untuk mendapat zuriat atau inginkan seorang anak sebagai pelengkap kehidupan. Namun banyak cabaran yang perlu dipertimbangkan untuk mengambil seorang anak angkat. Lagi-lagi kalau anak angkat itu perempuan.
Seorang peguam Khairul Fahmi Rami membuat perkongsian dalam Facebooknya kisah seorang wanita yang sudah berkahwin selama 3 tahun akhirnya mengetahui bahawa dirinya merupakan anak angkat yang dinikahkan oleh adik lelaki yang disangka adalah adik kandungnya sendiri.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pernikahan
Menurut peguam tersebut, kisah ini dikongsikan adalah kisah 4 tahun lalu di mana wanita berkenaan telah dinikahkan oleh satu-satunya adik lelakinya kerana itu sahaja walinya memandangkan ibu bapa mereka sudah meninggal dunia dan mereka juga tidak mempunyai datuk atau bapa saudara.
Bukan itu sahaja perkahwinan mereka diuruskan oleh saudara mara sebelah ibunya.
Hinggalah, satu hari adik lelaki wanita ini berjumpa dia dan penuh perasaan pucat katanya. Memegang sepucuk surat tulisan tangan yang nampak seperti gaya penulisan orang lama.
Wanita ini membaca surat tersebut perlahan-lahan.
Kata wanita itu, surat tersebut menyatakan bahawa ada seorang lelaki bernama Manaf (bukan nama sebenar) menyerahkan bayi perempuan kepada bapanya kerana mereka tidak mampu untuk menjaga ramai anak.
Dia terus mendapatkan bapa saudara sebelah ibunya. Pak ciknya inilah yang banyak bantu mereka selepas kematian ibu. Kata pak ciknya, dahulu, ibu dengan ayahnya pernah lari membawa diri bertahun-tahun lamanya kerana perkahwinan tak dapat restu keluarga.
Selepas mereka pulang ke kampung, mereka membawa bersama anak kecil umur lebih kurang 5 tahun iaitu wanita tersebut. Mereka tak pernah ceritakan apa-apa berkaitan dengan anak angkat.
Ketika itu adiknya masih belum lahir. Maka, tiada siapa pun tahu ibu dan bapanya mengambil anak angkat. Ye la kan. Takkan pulak orang yang dah lama hilang bawa diri, bila jumpa jer nak tanya status anak mereka pulak.
Selepas dengar penjelasan pak ciknya, dia pun tak tahu bagaimana nak sahkan dirinya bukan anak kandung kepada ayah dan ibunya.
Dalam sijil kelahiran dia, namanya dibintikan kepada arwah bapanya. Cuma ada sikit keraguan bila maklumat bapa dalam sijil tersebut ditulis ‘maklumat tidak diketahui’.
Cuma, dia tidak syak apa-apa ketika itu sebab namanya berbintikan kepada arwah bapanya. Bagi mendapatkan jawapan, dia pun mengajak adik lelakinya segera ke hospital untuk membuat ujian pengesahan DNA.
Alangkah terkejut, bila dia dapati, keputusannya adalah gen mereka tidak sama. Keputusan DNA mereka negatif. Disitulah tanda besar yang dia sangkakan mereka berdua tiada pertalian darah.
- Bagaimana situasi ini berlaku?
Kalau dahulu, ada banyak kemungkinan orang yang berjaya meletakkan nama anak angkatnya dibin atau bintikan kepada keluarga angkatnya.
Ada juga situasi, pasangan yang bernikah di sempadan Thai, kemudian balik ke Malaysia tidak buat pengesahan Nikah. Bila lahir anak, anak tersebut dibin atau bintikan kepada bapanya. Ini semua berlaku sebelum undang-undang berkaitan dengan nasab ini dikuatkuasakan sepenuhnya.
Sebab itu, ada beberapa situasi yang menjadikan seorang anak angkat dibin atau bintikan kepada bapa angkat atau anak hasil pernikahan di Siam belum buat pengesahan pun dapat sijil lahir macam biasa.
- Adakah boleh anak angkat dinasabkan kepada bapa angkat?
Tidak boleh. Haram hukumnya seorang anak angkat dibin atau bintikan kepada bapa angkatnya. Dahulu, Nabi Muhammad saw juga mempunyai anak angkat, Zaid bin Harithah.
Orang Arab ketika itu memanggil Zaid bin Muhammad sehinggalah turun dalil al-Quran mengharamkan anak angkat dinasabkan kepada bapa angkat. Islam sangat menjaga isu mengenai nasab dan keturunan berbanding orang bukan Islam.
- Apakah status pernikahan mereka?
Jika wanita itu meyakini tentang status dirinya adalah anak angkat, maka, pernikahan antara dia dan suami tersebut disebut Nikah Fasid.
Maksudnya, pernikahan mereka adalah rosak pada syarat sah nikah tersebut.
Sebabnya, wali pernikahan wanita itu adalah seorang yang tidak mempunyai pertalian darah. Hanya adik kandung sahaja yang layak jadi wali. Maka, pernikahan wanita itu dengan suaminya perlu ‘ifaraqkan’ oleh mahkamah.
Kemudian, mereka boleh bernikah semula dengan wanita tersebut membuat permohonan wali hakim kerana ketiadaan wali lain.
- Apakah status anak mereka?
Anak-anak wanita tersebut tetap dikira sebagai anak sah taraf disebabkan pernikahan dia dengan suami bukanlah atas dasar zina atau lahir kurang daripada umur yang ditetapkan syarak.
Mereka tidak tahu pernikahan tersebut ada kecacatan. Jadi, anak-anak tersebut tetap dikira anak sah taraf kepada suaminya dengan syarat suaminya mengakui itu adalah anak-anaknya.
- Kesimpulannya.
Janganlah kita senyap dalam memberitahu perihal anak angkat. Kenapa nak malu? Kenapa nak sembunyi? Bayangkan situasi wanita itu yang terpaksa terima hakikat setelah besar yang dia adalah anak angkat.
Berterus teranglah kepada anak angkat sejak kecil. Jangan sembunyikan atau cuba nak nasabkan anak yang bukan hak kepada bapa angkat. Yang penting, kasih sayang kepada anak angkat itu mestilah tiada belah bahagi seperti anak kandung sendiri. - KitaReporters