Sebahagian warga emas bersiap sedia untuk menyertai acara sukaneka membaling bola ke dalam bakul.


BAGI meredakan serta mengurangkan rasa tertekan dan terkurung, 25 penghuni serta petugas di Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), di Beranang, Selangor dibawa berlibur dan menyertai aktiviti sukaneka dalam Program Riadah Keluarga Nur Hasanah di A’Famosa Resort, Melaka pada 12 Disember 2021 lalu.

Walaupun program hanya sehari dan menetap semalam sahaja di destinasi pelancongan berkenaan ternyata menyuntik kegembiraan kepada mereka terbabit terutama warga emas yang menjadi penghuni pusat itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Pusat Jagaan Nur Hasanah

Sukarelawan PJNH, Azman Rasman (kanan) memberi kata-kata semangat kepada warga emas setiba di Pantai Pengkalan Balak, Melaka.


Lima acara yang diadakan secara santai iaitu baling bola ke dalam bakul, boling kelapa, sambut belon berisi air, solekan dan karaoke disertai bersama-sama petugas pusat jagaan itu dan sukarelawan berjaya memberi keceriaan kepada warga emas terbabit.

Pengerusi pusat jagaan berkenaan, Mohiadin Bahado, berkata program itu khusus untuk membawa keluar penghuni di pusat itu melihat persekitaran jauh dari tempat yang menjadi pelindung mereka bagi menghilangkan rasa bosan serta tertekan.

Menurutnya, jika kita berada di tempat mereka tidak dapat dinafikan akan berasa seperti bosan, gelisah dan jemu kerana setiap hari terperap di pusat berkenaan dengan pergerakan terbatas dan hanya mampu berlibur dengan menonton televisyen selain terlantar di atas katil.


Warga emas dan sukarelawan PJNH menyertai acara senamrobik.


“Seharusnya tugas membawa warga emas ini melihat dunia luar adalah tanggungjawab ahli keluarga terutama anak-anak tetapi kerana tersisih tanpa waris serta uzur dengan menghidap pelbagai penyakit, tugas itu terpaksa dilakukan petugas serta sukarelawan pusat ini.

“Menyedari keadaan ini semua mereka terbabit membawa serta menyantuni warga emas berkunjung ke Melaka  turut berasa terhibur dengan pelbagai gelagat warga emas apabila dapat melihat dunia luar,” katanya.

Mohiadin turut melahirkan rasa gembira apabila program berkenaan dikongsikan bersama-sama seorang dermawan yang juga kontraktor dari Bukit Punggur, Alai, Azadi Mohd Diah yang turut hadir bagi memeriahkan serta memberi sumbangan bagi membantu menjayakan program itu.


Azadi Mohd Diah (dua dari kanan) menerima sijil penghargaan PJNH kerana turut hadir bagi memeriahkan program berkenaan disamping menghulurkan sumbangan.


Azadi adalah antara penerima pingat Pingat Jasa Kebaktian (PJK) sempena sambutan Hari Jadi ke-72 Yang di-Pertua Negeri Melaka baru-baru ini turut diberi penerangan oleh Mohiadin mengenai operasi pusat jagaan berkenaan.

Mohiadin berkata, program itu juga sebagai penghargaan dan tanda terima kasih kepada petugas pusat jagaan berkenaan kerana bertungkus lumus setiap hari menjaga serta mengurus warga emas yang sentiasa memerlukan perhatian.

Menurut beliau, mereka itu tidak pernah mengeluh dan atau berasa bosan malah menunjukkan sikap bertanggungjawab serta dedikasi melaksanakan tugas sekali pun terpaksa memapah warga emas yang uzur untuk ke tandas, menukar lampin, memandi serta menyucikan najis.


Sebahagian warga emas disantuni makan tengah hari dalam Program Riadah Keluarga Pusat Jagaan Nur Hasanah ketika berkunjung ke Pantai Pengkalan Balak, Melaka untuk berlibur.


“Mereka ini memikul tugas yang amat berat menyantuni warga emas terbabit dengan penuh kasih sayang seperti bapa atau abang kandung yang mungkin tidak mampu dilakukan dalam kalangan kita terutama anak atau isteri.

“Saya tidak nafikan apabila sudah lama berpengalaman dalam tugas sukarela mengurus pusat jagaan ini ada antara warga emas terbabit disisih ahli keluarga tersayang termasuk isteri sendiri apabila uzur dan menghidap pelbagai penyakit,” katanya.

Kepada pelbagai pihak yang ingin menghulurkan bantuan atau ingin mengadakan program khidmat masyarakat di PJNH boleh menghubungi nombor telefon pejabat 03-87668100 dan sumbangan boleh disalurkan ke dalam akauan CIMB-8002 260491. - KitaReporters


Warga emas disolek sukarelawan dan petugas PJNH dalam acara sukaneka.

35
14
0
13
1

Copy Link: