WALAUPUN dirinya bisu dan pekak, tetapi ia tidak sesekali mematahkan semangat seorang lelaki mengejar impiannya iaitu mahu menawan puncak Gunung Everest satu hari nanti.

Muhammad Hawari Hashim bersama 21 peserta lain sampai di Annapurna Base Camp dan Poon Hill di Nepal pada ketinggian 4,310 meter dari aras laut. - Gambar ihsan Peak Journey Adventure.


Begitulah ketabahan pendaki orang kurang upaya (OKU) bisu dan pekak, Muhammad Hawari Hashim, 29, dari Kepala Batas, Pulau Pinang, yang tidak pernah melihat kekurangan diri sebagai penghalang untuk bergiat aktif dalam bidang sukan mendaki.

Ini terbukti baru-baru ini apabila Hawari adalah salah seorang OKU antara 21 peserta  untuk sampai di Annapurna Base Camp dan Poon Hill di Nepal pada ketinggian 4,310 meter dari aras laut.

 Kesemua mereka menyertai ekspedisi anjuran Telekom Malaysia (TM) dan Peak Journey Adventure Konsultan bersempena Hari Malaysia pada 16 September lalu yang diketuai Azim Afif Ishak ,30, pendaki Everest  2016.

Hawari berkata, beliau merasa berbangga kerana golongan seperti dirinya terpilih dan diberi peluang bagi menyertai ekspedisi yang menjadi impian dalam dirinya selama ini.

Menurut Hawari, sebelum ini beliau pernah menyertai beberapa aktiviti pendakian sebagai persedian yang diadakan selama empat bulan seperti Cameron Ultra Marathon di Cameron Highlands, Pahang; Gunung Pulut dan Bukit Larut, Perak dan Gunung Rinjani, Indonesia.

Hawari yang bertugas sebagai kakitangan pentadbiran di Muzium Pulau Pinang berkata, beliau merasa bangga dapat menamatkan ekspedisi itu dan sebelum ini telahpun bersedia dengan tahap kecergasan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi peluang untuk saya menyertai ekspedisi ini terutama kepada majikan yang banyak memberi bantuan serta  sokongan bagi membuktikan  golongan OKU seperti diri saya mampu melakukan cabaran sukar seperti ini.

"Kejayaan itu juga menjadi salah satu persedian bagi diri saya sebelum menyertai Misi Wawasan Everest 2020 yang akan disertai  tahun depan," katanya.

Muhammad Hawari Hashim (tiga dari kiri) dan peserta-peserta Peak Journey Adventure Konsultan.


Beliau  yang telah berumah tangga dan mempunyai seorang cahaya mata adalah seorang yang aktif bersukan dan pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Persatuan Sukan Orang Pekak dan Ketua Unit Bola Sepak Orang Pekak Pulau Pinang.

 Selain pernah menjadi Timbalan Priseden Persatuan Sukan Orang Pekak Pulau Pinang dari 2017 sehinggga 2019, beliau juga pernah menjadi menganggotai ahli jawatankuasa Persatuan Sukan Orang Pekak Pulau Pinang 2014- 2017.  

Pada March tahun lalu, Hawari mengakhiri  hubungan 'cinta senyap' bersama seorang  wanita mualaf, Safiyyah Tang Xie Li, 29, yang juga seorang OKU bisu dan pekak.

Majlis pernikahan telah diadakan di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan.

Menariknya pada majlis itu, Hawari mempersembahkan bacaan lima surah iaitu al-Fatihah, tiga Qul dan al-Asr menggunakan bahasa isyarat sebelum bernikah atas permintaan pasangannya sebelum dinikahkan bapa angkat Safiyyah, Norakyairee Mohd Raus. Video pernikahan pasangan OKU  itu mendapat ratusan ribu tontonan dan disukai selepas tular di laman Facebook.

Hawari berkata, dia mula mengenali Safiyyah sejak berusia 16 tahun ketika sama-sama bersekolah di sekolah pendidikan khas tetapi hubungan pada masa itu sekadar rakan sekolah.

"Kami bertemu semula kira-kira tujuh tahun lalu, sebelum berkawan secara serius dan membuat keputusan untuk berkahwin selepas mengikat pertunangan, pada tahun lalu," katanya.

17
0
0
0
0

Copy Link: