Tak lari malam! Bukan mudah jadi warden, kaunselor! Fatin hadapi 1001 cabaran! Selamatkan remaja!
Published by
FATIN Nur Imra Azwa Mohd Yusof memberi kaunseling kepada seorang penghuni Raudhatus Sakinah.
KATA orang memelihara sekandang kerbau itu lebih mudah daripada menjaga seorang anak gadis terutama pada zaman yang serba mencabar hari ini.
Bayangkan, bagaimana pula jika hendak mendidik serta memulihkan 35 orang remaja yang datang dari pelbagai latar belakang, tingkah laku dan hadir dengan ‘pakej masalah’.
Justeru, ia bukan saja menuntut pemahaman serta kesabaran tapi juga komitmen dan pengorbanan yang bukan sedikit.
Inilah cabaran yang perlu dihadapi Fatin Nur Imra Azwa Mohd Yusof, 31, selaku ketua warden dan kaunselor di Raudhatus Sakinah (RS), sebuah rumah perlindungan dan bimbingan remaja di Kundang, Sungai Buloh, Selangor.
Sepanjang tempoh sembilan tahun berkhidmat di RS, Fatin sudah berdepan pelbagai karenah penghuni, jika tidak berhati waja boleh menyebabkan dia ‘lari malam’. Tapi, semua itu dapat ditangani bersandarkan nawaitu yang satu iaitu untuk menyelamatkan ‘adik-adiknya’ daripada terus hanyut tanpa haluan.
PELBAGAI kaedah digunakan oleh Fatin semasa membimbing pelatih di Raudhatus Sakinah agar mereka memahami matlamat hidup. Kredit foto Raudhatus Sakinah.
“Apabila memohon kerja di sini, saya sudah faham cabaran menanti. Saya sedar, akan berdepan dengan gadis-gadis bermasalah yang perlu dibimbing agar pulang ke pangkal jalan.
“Sebenarnya, saya boleh memilih kerjaya lain yang berkaitan dengan kelulusan saya, contohnya menjadi guru kaunselor di sekolah tapi bekerja di RS kerana selain cabaran, saya mahu menyumbangkan sesuatu lebih besar kepada masyarakat,” katanya.
Fatin yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda jurusan kaunseling dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, sejak hari pertama melapor diri ke RS, dia sudah bersedia untuk berdepan dengan apa saja dugaan.
“Adik-adik yang akan saya bimbing ini bukan kanak-kanak yang boleh dipujuk dengan gula-gula. Mereka adalah remaja yang datang ke sini bersama pelbagai masalah terutama membabitkan moral.
“Ada yang datang membawa perut yang memboyot, hamil hasil keterlanjuran dengan teman lelaki. Ramai juga yang hadir, ketagihan seks, ketagihan pornografi, ketagihan judi serta terbabit seks bebas dan hubungan sejenis.
“Kebanyakan mereka dihantar ke RS selepas keluarga sendiri sudah putus asa serta tidak mampu lagi mengawal mereka. Remaja yang terbabit dengan pelbagai gejala sosial ini tidak akan mempedulikan nasihat keluarga malah akan memberontak,” ujar Fatin.
SETIAP penghuni Raudhatus Sakinah mendapat bimbingan selama dua tahun.
Fatin mengakui, bukan mudah untuk memulihkan remaja bermasalah, sebab itu setiap penghuni RS perlu mendapatkan bimbingan selama dua tahun di pusat itu.
“Cabaran paling kritikal adalah tiga hingga enam bulan pertama penghuni ditempatkan di RS kerana ketika itu mereka dalam proses menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu.
“Bayangkan sebelum itu mereka bebas ke mana-mana dan boleh berbuat apa saja sesuka hati mereka tapi bila masuk ke sini, mereka bukan saja terkurung malah terikat dengan pelbagai disiplin dan peraturan.
“Selalunya mereka akan memprotes dan memberontak dengan membuat pelbagai karenah, contohnya melakukan mogok makan, tak mahu mandi, mengurung diri dan mengingkari arahan.
“Dalam situasi ini, saya sebagai kaunselor perlu mengambil pendekatan mendampingi mereka, berbual-bual sambil menyelami perasaan mereka serta memujuk. Selalunya selepas meluahkan perasaan, mereka akan mula tenang.
“Jika mereka ingkar peraturan, contoh tak mahu solat, kami tidak memaksa, sebaliknya memberi bimbingan kepada mereka mengapa solat itu penting sehingga mereka akhirya melakukannya dengan kerelaan,” katanya.
FATIN sentiasa mengambil pendekatan mendampingi pelatihnya.
Selain itu menurut Fatin, terdapat penghuni membuat tindakan lebih ekstrem seperti cuba mencederakan diri sendiri kerana terhimpit dengan masalah keluarga dan tidak rela dihantar ke RS.
“Ada kes penghuni mengurung diri dan cuba mencederakan diri sendiri dengan menoreh tangannya menggunakan kaca. Nasib baik kami cepat membuka pintu dan berjaya menghalangnya daripada bertindak lebih jauh.
“Selain itu, kes pergaduhan sesama penghuni turut berlaku. Begitu juga kes penghuni melarikan diri kerana tidak dapat menyesuaikan diri tinggal di RS. Tapi, bilangan yang meninggalkan RS sebelum tamat tempohnya sangat kecil."
Sambil menganggap cabaran yang dilaluinya itu sebagai biasa, Fatin yang dibantu oleh lima warden berkata cabaran paling hebat dilaluinya adalah untuk memulihkan penghuni yang mengalami ketagihan seks dan pornografi.
“Mereka yang mengalami ketagihan ini akhirnya akan mencari pasangan sesama mereka atau melakukan sendiri untuk memuaskan naluri. Setakat ini, kami berjaya mencegah kerana cepat bertindak mengawal dari awal. Apabila kami nampak bibit-bibit ke arah itu, kami segera menghalang.
SELAIN diberi bimbingan di dalam kelas, penghuni Raudhatus Sakinah juga melakukan pelbagai aktiviti. Kredit foto Raudhatus Sakinah.
“Di sini kami mengambil pendekatan membimbing melalui pelbagai kaedah seperti kaunseling, motivasi dan paling dititiberatkan adalah bimbingan agama kerana kebanyakan mereka terjerumus dalam gejala sosial kerana tidak mendapat didikan agama sewajarnya.
“Alhamdulillah, setakat ini 80 peratus penghuni berjaya dipulihkan, kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat sebagai ‘orang baharu’ malah ada yang berjaya dalam hidup,” katanya.
Bagi Fatin, segala cabaran yang dilalui tidak terasa apabila melihat adik-adik yang dibimbingnya kembali ke pangkal jalan. Ia memberi satu kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Melihat adik-adik ini tekun mengerjakan solat, membaca al-Quran dan mentaati setiap perintah Allah adalah satu kepuasan. Semasa masuk ke sini dulu, mereka jahil dalam segala segi. Tapi, selepas beberapa bulan, mereka sudah berubah,” katanya lagi.
SURAT daripada seorang alumni Raudhatus Sakinah. Kredit foto Raudhatus Sakinah.
Satu peristiwa paling meninggalkan kesan kepada Fatin adalah perubahan drastik yang berlaku ke atas seorang bekas penghuni.
“Dia adalah antara penghuni yang paling sukar untuk dibimbing. Selain degil dan tidak mendengar serta melawan, dia kuat memberontak. Pernah dia mengamuk dengan memecah semua perabot termasuk televisyen sehingga keluarganya terpaksa membayar ganti rugi.
“Tapi, akhirnya, dialah penghuni paling cemerlang, tidak tinggal solat, mampu membaca serta khatam al-Quran beberapa kali dan daripada seorang yang agresif bertukar menjadi yang sangat sopan dan lemah lembut.
“Paling mengharukan, selepas keluar dari sini, dia menjalankan perniagaan dan kini berjaya sebagai pemilik kafe. Saya dapat lihat dia benar-benar berubah,” ujar Fatin.
KOMITMEN semua pihak mendorong kejayaan Raudhatus Sakinah dalam memulihkan remaja yang terbabit gejala sosial. Kredit foto Raudhatus Sakinah.
Begitupun, bagi Fatin kejayaan tidak mungkin dicapai tanpa sokongan semua pihak dan selayaknya mereka turut mendapat kredit.
“Kalau saya sebagai ketua warden dianggap berjaya, ia adalah kerana kepercayaan serta bimbingan diberikan oleh Ummi Ros (Rosmawati Zainal) selaku CEO RS.
"Begitu juga kerana bantuan petugas-petugas lain. Selain itu ibu bapa pelatih, badan-badan tertentu juga orang perseorangan sentiasa menyokong usaha kami.
“Saya juga beruntung kerana bertemu jodoh dengan suami (Muhammad Imran Nasib) yang memahami tugas dan tanggungjawab saya. Bayangkan, kadang-kadang, bila ada kes di RS sama ada tengah malam atau awal pagi, saya terpaksa pergi untuk menanganinya dan dia tidak pernah menghalang,” ujar Fatin yang berkahwin pada Mei 2024 lalu. - KitaReporters