Patuhi had laju ditetapkan apabila memandu. Had laju bukan sengaja dipasang tetapi sebagai peringatan kepada pemandu untuk mematuhinya ketika memandu di kawasan berkenaan.


HAD laju di semua jalan Persekutuan diturunkan dari 90 kilometer sejam (km/j) kepada 80 km/j selama enam hari dari 28 Januari hingga 2 Februari 2025 sempena Tahun Baharu China.

Kepada yang mungkin belum faham, jalan Persekutuan ialah rangkaian jalan raya utama negara, tidak termasuk lebuh raya. Semua jalan Persekutuan di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya (KKR).

Kementerian bertanggung jawab merancang, membina dan menyenggara semua jalan Persekutuan yang diwartakan di bawah Akta Jalan Persekutuan 1959. Kebanyakan jalan Persekutuan dibina oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), agensi di bawah KKR.

Bagaimana pun terdapat pengecualian bagi Sabah dan Sarawak di mana JKR di kedua-dua negeri adalah di bawah kuasa kerajaan negeri masing-masing. 

Lebuh raya pula dibangun dan dikendalikan oleh pelbagai syarikat konsesi, di bawah pengawasan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM). Kerana lebuh raya dianggap ‘jalan baharu’, jalan Persekutuan sering dirujuk sebagai ‘jalan lama’.



Biasanya yang terlibat dengan penurunan had laju pada musim perayaan ialah ‘jalan lama’.  Ia merupakan amalan biasa KKR setiap kali musim perayaan. Tujuannya untuk mengurangkan kemalangan. 

Sejajar itu, Operasi Bersepadu dijalankan oleh agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan peraturan dipatuhi.

Untuk enam hari dari 28 Januari hingga 2 Februari, had laju dikurang 10km/j. Sama ada penurunan ini benar-benar boleh meminimumkan kemalangan jalan raya hanya boleh dinilai berdasar statistik yang bakal dikeluarkan kelak.

Adakah dengan kadar had laju 80km/j impak kemalangan tidak serius, mampu mengurangkan kehilangan jiwa atau kecederaan parah? Kadar 80km/j pun masih laju. Namun masakan kadar laju hendak diturunkan kepada 20km/j!


Kemalangan jalan raya mengorbankan jiwa dan kerosakan harta benda. Berhati-hati memandu untuk mengelak kejadian tidak diingini. 


Tanpa memperkecil usaha kerajaan untuk menurunkan kadar kemalangan jalan raya, kempen keselamatan seperti menurunkan had laju dilihat lebih bermusim dan hanya tertumpu pada waktu tertentu sahaja.

Usaha ini dilakukan dalam beberapa hari musim perayaan, atau dalam sesuatu operasi khas berkala. Kelihatan seperti hanya pada waktu ini kemalangan mahu dikawal. Pada waktu lain, bagai kurang diberi perhatian.   

Bagi penulis, kadar kemalangan tidak boleh diukur pada musim perayaan atau waktu operasi sahaja, sebaliknya sepanjang masa. Sehubungan itu usaha mengawal kemalangan tidak harus terhad pada hari-hari tertentu tetapi sepanjang masa.

Tidak dinafi kerajaan telah mengambil beberapa pendekatan mengurangkan kemalangan jalan raya. Selain menetapkan kadar had laju di jalan Persekutuan dan lebuh raya, juga dikuatkuasakan larangan menggunakan telefon bimbit atau makan ketika memandu.

Sementara peraturan ini mempunyai maksud murni mengelak hilang tumpuan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan, matlamat sukar dicapai jika yang di belakang stereng tidak mematuhi peraturan, sebaliknya memandu menurut cita rasa sendiri.

Justeru memang mudah membuat peraturan tetapi bukan mudah untuk menguatkuasakannya. 

Siapa yang hendak memantau penurunan had laju daripada 90km/j kepada 80km/j dipatuhi? Begitu juga dengan larangan menggunakan telefon bimbit atau makan?

Pelanggaran had laju dapat dikesan melalui sekatan jalan raya atau perangkap laju. Tetapi mampukah pihak berkuasa melakukan ini berterusan kerana ia melibatkan tenaga kerja yang ramai serta masa bekerja yang panjang?


Tiada siapa mahu ditimpa kemalangan. Patuhilah peraturan jalan raya dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan dan menjadikan jalan raya tempat yang selamat.


Namun akhirnya sikap manusia yang jadi penentu. Jika memandu dengan berdisiplin dan mematuhi peraturan, serta menjadikan jalan raya laluan selamat, matlamat mengurangkan kemalangan mampu dicapai.

Tetapi jika degil dan melanggar segala peraturan, mudarat bakal menanti. Bukan diri sendiri sahaja boleh hilang nyawa atau cedera, orang lain yang tidak berdosa turut jadi mangsa.

 Oleh itu berdisiplin, berwaspada dan bertimbang rasa perlu jadi pegangan ketika memandu. - KitaReporters

 

12
9
0
17
0

Copy Link: