Warga emas diajak melakukan seniman ringan untuk kesejahteraan kesihatan dalam Program Santunan Kasih 2024 itu.


DALAM kesibukan menyantuni masyarakat untuk menawarkan perlindungan bagi memenuhi aspirasi kehidupan yang boleh mencapai kejayaan pada masa depan, 20 kakitangan Great Eastern Takaful Berhad, Kuala Lumpur menimba pengalaman melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (SCR).

Bagi tujuan itu mereka mengunjungi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor untuk merasai situasi sebenar menyantuni warga emas yang tidak lekang daripada pelbagai masalah dalam Program Santunan Kasih 2024 pada 29 Jun 2024.

Ketua Jabatan Pemasaran syarikat berkenaan, Nurul Sheila Khalib, berkata program yang dirancang rapi sejak beberapa bulan lalu itu bagi memberi peluang julung kali kepada kakitangan turun padang mendampingi masyarakat dan komuniti di luar bandar. 

Menurutnya, dengan menyantuni warga emas itu umpamanya kakitangan akan dapat mengumpul pengalaman untuk memahami nasib penghuni terbabit sehingga tersisih di pusat jagaan tanpa dipedulikan oleh ahli keluarga yang mungkin ada khidmat boleh ditawarkan. 

Tambahnya, kakitangan terbabit diberi kebebasan untuk bermesra dengan warga emas berkenaan dengan bertanya khabar di samping menyelami kesusahan dilalui mereka sehingga terpaksa mencari tempat berlindung di PJMM. 


Kakitangan Great Eastern Takaful Berhad menyantuni warga emas yang uzur.


Jelasnya, program itu juga akan memberi kesedaran serta motivasi kepada kakitangan terbabit bahawa sebagai generasi muda yang berjaya dalam kerjaya namun jasa warga emas termasuk ibu bapa tidak harus dilupakan walaupun mereka tidak menagih sebarang balasan.

“Sebagai seorang anak kita seharusnya memahami tanpa ibu bapa yang banyak berkorban sudah tentu sukar untuk kita merangkul kejayaan dalam kehidupan dan mungkin inilah yang dialami warga emas terbabit apabila jasa mereka tidak dihargai oleh anak sendiri.

“Masalah ini sudah pasti menjadi bualan antara kakitangan dengan warga emas berkenaan apabila menunjukkan reaksi gembira serta berasa seronok apabila disantuni dengan mesra dan menjadi tempat meluahkan perasaan yang terpendam,” ujarnya ketika ditemui pada program berkenaan.


Nurul Sheila menyantuni seorang warga emas yang menghadapi masalah penglihatan sambil menghulurkan cenderamata.


Turut hadir pada majlis itu Naib Presiden Pemasaran dan Komunikasi Jenama Korporat syarikat itu, Mastura Abd Rahim; Pengerusi PJMM, Azman Rasman dan Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado. 

Pada program itu kakitangan terbabit mengadakan aktiviti senaman ringan, permainan uji minda dan menyantuni warga emas yang terlantar di atas katil kerana keuzuran dengan mengagihkan cenderamata.

Pada program itu juga Nurul Sheila menyerahkan sumbangan syarikat RM5,000 dan pelbagai barangan keperluan asas harian seperti pampers pakai buang, makanan ringan dan sebagainya kepada PJMM serta menyediakan makan tengah hari untuk dinikmati bersama-sama warga emas.

Manakala Mastura pula mengadakan demonstrasi mesin hasil semula daripada barangan plastik yang dikitar semula menggunakan mesin khas untuk jadikan pelbagai barangan kegunaan harian seperti sikap rambut, pembaris dan sebagainya.


Mastura (kiri) menerangkan fungsi mesin hasil semula kepada warga emas dalam usaha memulihara alam sekitar.


Nurul Sheila berkata, program berkenaan bukan yang terakhir sebaliknya akan terus mengukuhkan jalinan kerjasama serta ukhuwah dengan PJMM dan akan mengadakan lagi kunjungan berikutnya bagi meneruskan aktiviti CSR.

“Kami memahami keperluan serta sokongan yang diperlukan oleh PJMM terutama apabila beroperasi tanpa menerima apa-apa sumbangan setiap bulan dari pihak berkenaan malah terpaksa berusaha mencari sendiri dana bagi menampung pelbagai kos operasi,” katanya.


Warga emas, Fauziah Rashid (berkerusi roda tengah) merakamkan kegembiraan bersama-sama kakitangan Great Eastern Takaful Berhad yang mengadakan Program Santunan Kasih 2024 di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia pada 29 Jun 2024.


Sementara itu seorang warga emas yang ditemui, Fauziah Rashid melahirkan perasaan amat gembira apabila dapat bersembang dengan kakitangan syarikat berkenaan yang mempunyai persamaan dengan kerjaya beliau sebelum menjadi penghuni PJMM. 

Menurutnya, kami bertukar-tukar pengalaman dan berasa terhibur di samping melegakan rasa stres kerana dimanja serta dilayan macam seorang ibu oleh anak yang lama dirindui dan mungkin turut dirasai warga emas lain di pusat jagaan itu.

“Saya berterima kasih kepada kakitangan Great Eastern Takaful Berhad yang sudi mengunjungi pusat jagaan ini dan juga menyedarkan kami ada pihak di luar yang ambil peduli nasib orang tua tersisih,” ujarnya.


Nurul Sheila melakukan gimik penyerahan cek contoh sebanyak RM5,000 dan barangan keperluan asas harian kepada PJMM yang diterima oleh Azman Rasman sambil diperhatikan oleh Mohiadin Bahado.


Bagi warga emas, Mohd Helmi Abd Malik pula berkata, dia memang berasa seronok apabila disantuni  pihak yang mengadakan program CSR di pusat itu kerana dapat peluang bertanya khabar mengenai hal-hal semasa.

Jelasnya, kerana pergerakan terbatas beliau seperti rakan warga emas lain hanya mengisi masa dengan menonton televisyen untuk mengetahui peristiwa di luar, berbanding jika ada ahli pertubuhan bukan kerajaan atau syarikat korporat mengadakan program di pusat itu banyak isu semasa jadi perbualan.

“Saya amat teruja apabila ada pihak datang membuat program di sini kerana bukan setakat menghiburkan hati malah membantu menghilangkan rasa kesunyian terutama apabila diadakan aktiviti berkaraoke serta senamrobik,” katanya. - KitaReporters


Nurul Sheila dan kakitangan  Great Eastern Takaful Berhad merakam kenangan bersama-sama warga emas, Azman serta Mohiadin.

17
11
0
15
0

Copy Link: