Video| Lain macam masjid ni! Masjid Perahu tempat beribadah unik, dilengkapi taman tema! Kena ziarah!
Published byWALAU pun bentuknya seperti kapal besar, ia bukan sebuah kapal. Sebaliknya ia adalah sebuah masjid dengan reka bentuk unik yang tidak terdapat di tempat lain.
Inilah ciri yang menjadikan Masjid Sri Soewarto atau popular dengan nama ‘Masjid Perahu’ di Sukabumi, Indonesia, sangat istimewa. Tambah menarik, warna masjid juga unik iaitu ungu (purple).
Masjid bertingkat ini direka bentuk, dibina dan dimiliki oleh Haji Sri Soewarto. Kerana itu nama masjid mengambil sempena namanya.
Ia terletak di Kampung Desa Purwasari, Kacamatan Cicurug, Kabupaten Sukabumi. Kota ini terletak pada bahagian selatan tengah Jawa Barat.
'Masjid Perahu' di Sukabumi, Jawa Tengah ini menampilkan reka bentuk kapal yang unik dengan dilitupi warna ungu.
Bukan sahaja bentuk masjid unik, ia juga dilengkapi dengan kawasan riadah dan taman tema untuk jemaah dan orang ramai bersantai. Jika biasanya kemudahan ini hanya terdapat di taman tema khusus, di Masjid Perahu ia wujud sebagai sebahagian daripada masjid.
Ini menjadikan masjid tersebut bukan sahaja tempat beribadah tetapi juga masjid pelbagai guna yang menyediakan ruang untuk kegiatan sosial dan kemasyarakatan serta keluarga berlibur. Juga disediakan restoran untuk orang ramai menjamu selera.
Masjid Sri Soewarto mengabadikan nama pemilk dan pereka ciptanya, Haji Sri Soewarto. Masjid ini juga dikenali sebagai 'Masjid Perahu'.
Bagaimana tercetus idea mendirikan Masjid Perahu? Ia didorong oleh minat mendalam Sri Soewarto kepada perahu dan dunia pelayaran. Sebagai simbol minat tersebut, ia diabadikan pada sebuah masjid yang berteras cita rasanya.
Kerana keunikannya, tidak hairan masjid ini tular dan menjadi perhatian dalam kalangan penduduk tempatan dan luar sehingga menimbulkan keinginan untuk melihat sendiri masjid tersebut. Ini menjadikan Masjid Perahu tarikan pelancong di Sukabumi.
Sri Soewarto begitu teliti mereka bentuk masjid ini. Bahagian atas yang merupakan bahagian utama masjid berbentuk perahu. Di dalam perahu ini ialah ruang masjid atau tempat solat, ruang pertemuan atau ruang untuk berkumpul untuk kuliah atau berdiskusi.
Di tingkat tiga dan empat pula, terdapat ruang tinjau. Melalui ruang pada ketinggian ini membolehkan pengunjung menyaksikan panorama indah di persekitaran masjid. Restoran untuk pengunjung terletak di bahagian bawah masjid.
Bahagian dalam 'Masjid Perahu' yang cantik dan luas untuk kegunaan bersolat dan berdiskusi.
Pembinaan Masjid Perahu dimulakan pada 2019. Keseluruhan pembinaan mengambil masa lima tahun. Masjid ini dibuka untuk ramai Januari lalu 2024.
Kehadiran masjid unik ini bukan sahaja dikagumi masyarakat setempat tetapi juga seluruh penduduk Jawa Barat. Ini menyerlahkan rasa bangga mereka terhadap masjid tersebut dan kemudahan yang disediakan.
Tempat beribadah yang disediakan dengan taman tema dan riadah menepati hasrat Sri Soewarto membangunkan masjid tersebut untuk kesejahteraan masyarakat sekitar.
Ruang tinjau membolehkan pengunjung 'Masjid Perahu' meninjau keindahan panaroma sekeliling yang segar menghijau.
Para pengunjung yang pernah sampai ke masjid berkenaan sangat tertarik dengan reka bentuk dan kemudahan disediakan. Mereka menyifatkan pemandangan dari atas masjid sangat indah. Ini pengalaman yang tidak dirasai di masjid lain.
Bagi mereka kemudahan yang disediakan di masjid tersebut serba lengkap, bermula daripada tempat wuduk yang bersih, sehinggalah ke ruang rehat yang nyaman dan menyentuh jiwa. Pendek kata Masjid Perahu ialah tempat beribadah dan tempat mencari ketenangan.
Rakyat Malaysia yang berpeluang melancong ke Jawa Barat jangan ketinggalan berkunjung ke Masjid Perahu. Hayati sendiri keindahan dan kedamaian suasana di masjid berkenaan untuk kenangan dibawa pulang. - KitaReporters
Taman tema menjadi sebahagian daripada 'Masjid Perahu' untuk memenuhi keperluan pengunjung bersantai dan berlibur.