Kes penculikan dan misteri kehilangan selama 73 tahun terlerai! Dua beradik akhirnya bertemu semula!

Published by
KitaReporters

 

Luis Armando Albino bersama abangnya Roger Albino ketika kanak-kanak. Luis diculik ketika bermain di padang permainan dengan Roger sehingga terpisah selama 73 tahun.


TIDAK diduga selepas lebih tujuh dekad hilang, terpisah daripada kaum keluarga tanpa diketahui entah di mana berada, akhirnya Luis Armando Albino, 79, kembali bertaut dengan kaum keluarga pada Jun 2024 lalu.

Namun berita mengenai pertemuannya dengan keluarga hanya dilaporkan media pada minggu akhir September 2024 lalu. 

Yang pasti ia adalah kegembiraan tidak ternilai bagi Luis yang tidak menjangka akan bertemu kembali selepas 73 tahun terpisah daripada keluarga. Namun dia sendiri tidak mahu bercakap kepada media.

Luis dilahirkan di Puerto Rico yang merupakan wilayah takluk Amerika. Dia adalah anak kepada Antonio Albino dalam keluarga enam beradik. 

Pada tahun 1950, keluarganya berpindah ke West Oakland, Oakland, California, Amerika Syarikat (AS).


West Oakland, tempat tinggal keluarga Luis dan tempat di mana dia diculik.


Pada 21 Februari 1951, setahun selepas berpindah, Luis yang ketika itu berusia enam tahun diculik ketika bermain di taman bersama abangnya, Roger yang berusia 10 tahun.

Ketika asyik bermain, kedua-dua beradik itu dihampiri seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an yang memujuk Luis mengikutnya dengan janji akan dibelikan gula-gula.

Tertarik dengan janji wanita itu, Luis mengikutinya. Pada mulanya Roger ikut sama tetapi dia kemudian berpatah balik dan memaklumkan kepada keluarga mengenai apa yang berlaku.

Berikutan itu laporan dibuat kepada polis Oakland yang segera melancarkan gerakan mencari. Walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi mengesan Luis, dia gagal ditemui. Dia hilang bersama wanita berkenaan.

Selepas menculik Luis, penculiknya membawanya keluar dari California menuju ke Pantai Timur atau 'East Coast' AS. 

Kawasan ini merujuk antaranya kepada negeri-negeri di New England seperti Maine, New Hampshire, Massachusetts dan Rhode Island. Namun lokasi sebenar tidak dinyatakan.


Luis (kanan) bertemu dengan abangnya, Roger pada Jun 2024 selepas 73 tahun terpisah. Roger meninggal dunia dua bulan selepas pertemuan ini. 


Luis dipelihara oleh satu keluarga yang menganggap dia anak sendiri. Setelah dewasa Luis menjadi ahli bomba. Dia juga pernah menjadi tentera marin dan berkhidmat dua tahun di Vietnam.

Namun Luis gagal dikesan oleh ahli keluarga. Mereka terus berusaha mencari. Tahun demi tahun tiada perkembangan positif. 

Keluarga putus asa dan seperti menerima hakikat Luis tidak akan ditemui. Emak Luis meninggal dunia pada 2005 pada umur 92 tahun membawa rindu bersamanya ke pusara.

Masa terus berlalu, tetapi usaha tetap dilakukan oleh ahli keluarga tanpa jemu. 

Dalam arus teknologi moden ini proses mencari lebih mudah. Penat lelah keluarga selama ini mencari dan mengharap Luis kembali tidak sia-sia.


Ibu Luis memeluk potret anaknya dan tidak pernah putus asa akan menemuinya. Dia meninggal pada 2005 sebelum anaknya dijumpai.


Luis berjaya dikesan oleh anak saudaranya, Alida Alequin, 63, hasil bantuan ujian keturunan (DNA) yang dibuatnya secara dalam talian. Selain itu, usahanya dibantu oleh gambar dan keratan akhbar lama. 

Kali ini pihak berkuasa bersungguh-sungguh membantu Alida mengesan pakciknya. Polis, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman berganding bahu sehingga berjaya menjejak Luis di Pantai Timur Amerika. Lokasi sebenar tidak dinyatakan.  

Luis ditemukan dengan keluarganya pada Jun 2024 lalu dalam suasana sedih dan gembira. Dia juga bertemu dengan abangnya, Roger, 83, yang bermain bersamanya ketika diculik. 

Roger meninggal dunia dua bulan selepas pertemuan tersebut. Pasti dia puas hati berjumpa adiknya sebelum menutup mata.

Walaupun lebih 70 tahun Luis hilang, ingatan keluarga terhadanya tidak padam. Gambarnya digantung di rumah saudara mara.


Alida Alequen memainkan peranan penting menjejaki pakciknya sehingga keluarga mereka bertemu semula.


Polis Oakland mengakui Alida memainkan peranan penting menjejaki Luis. 

Ketika mengambil ujian DNA pada 2020, dia yakin bapa saudaranya masih hidup. Melalui ujian itu didapati persamaan 22 peratus dengan DNA seorang lelaki yang kemudian disahkan sebagai pakciknya.

Sebagai tambahan kepada DNA, awal tahun 2024, Alida membuat carian gambar dan keratan akhbar lama di perpustakaan awam Oakland. Dia kemudian melaporkan hasil pencarian ke balai polis Oakland. Penyiasat setuju ada petunjuk baharu dan seterusnya membuka fail baharu kes orang hilang. 

Pada 20 Jun 2024 polis berkunjung ke rumah Alida untuk memberitahu, mereka berjaya menemui pakciknya.

Berikutan itu pada 24 Jun, dengan bantuan FBI, Luis datang ke Oakland bersama ahli keluarga untuk bertemu ahli keluarganya dan suadara mara lain. 

Kehilangan 70 tahun sudah terjawab. Rindu tujuh dekad sudah terubat. Namun identiti penculik tidak diketahui sehingga kini. - KitaReporters

7
16
0
11
0

Copy Link: